Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 07:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa serta sumbangan para guru JAIS yang mendidik pelajar di bawah kelolaannya.

Pengarahnya, YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sebagai pengiktirafan besar kepada para guru, majlis menghargai dan mengenang jasa para guru bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 21 Mei 2026 ini,” katanya.

Majlis yang diadakan adalah untuk mengiktiraf sumbangan para pendidik dan kecemerlangan sekolah menerusi pelbagai kategori dengan kos melebihi RM200,000.00 daripada peruntukan MAIS dan kerajaan negeri yang akan diberikan kepada tokoh guru dan sekolah cemerlang yang terpilih dalam bentuk tunai atau geran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, keputusan JAIS sebelum ini yang tidak membenarkan sambutan Hari Guru pada peringkat sekolah dan daerah pada tahun ini selaras dengan saranan kerajaan ke arah perbelanjaan berhemat, selain meminimumkan penggunaan bahan tenaga tatkala berhadapan dengan situasi geopolitik semasa yang tidak menentu dan berkemungkinan menjadi lebih buruk.

Beliau berkata, langkah berkenaan turut bertujuan untuk memanfaatkan sumber kewangan kepada peningkatan profesionalisme guru, serta pelaksanaan program peningkatan kualiti dan sahsiah pelajar.

Menurut beliau, perkara tersebut diputuskan berikutan wujudnya kesan kepada ibu bapa atau penjaga yang menjadi tradisi menyediakan hadiah tertentu kepada guru atas permintaan anak.

Mengulas lanjut, pihaknya melihat budaya sedemikian perlu dihentikan buat masa ini memandangkan hal tersebut memberikan kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga.

“JAIS akan mempertimbangkan untuk sambutan Hari Guru dibuat semula pada peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan kembali seperti sedia kala,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beberapa perkara dalam pelaksanaan sambutan Hari Guru juga akan dinilai semula atau dengan beberapa pengubahsuaian agar masa sambutan tidak mengganggu jadual dan proses pembelajaran di dalam kelas, selain tentatif yang ringkas dan selaras untuk diguna pakai oleh semua sekolah di bawah seliaan JAIS.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat jelata di negeri Selangor melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan, berhemat serta bijaksana,” katanya.

Terdahulu, tular surat edaran JAIS kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah seluruh Selangor bertarikh 7 Mei 2026 berhubung dengan arahan yang menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran JAIS tidak dibenarkan untuk menganjurkan sambutan Hari Guru pada peringkat sekolah dan daerah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi