Diterbitkan pada 4 Mei 2026, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Makkah – Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma dari hotel penginapan ke Masjidilharam bagi memastikan kesejahteraan para jemaah haji negara berada pada tahap yang terbaik.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, lapan buah bas disediakan khusus untuk jemaah haji Malaysia merupakan nilai tambah daripada perkhidmatan menyeluruh oleh pihak TH bagi memudahkan perjalanan mereka ke masjid.

“Kesemua bas ini akan beroperasi sepanjang hari selama 24 jam, dan kemudahan ini merupakan bukti komitmen TH melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji pada tahun ini,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, perkhidmatan bas berkenaan beroperasi dari Hotel Abraj Al Tayseer ke stesen bas Jarwal yang terletak berhampiran Dataran Masjidilharam.

Ujar beliau, dengan adanya perkhidmatan sedemikian, jemaah mempunyai alternatif untuk bergerak ke masjid pada bila-bila masa dengan lebih baik, lebih mudah dan lebih lancar, serta membantu mereka lebih fokus terhadap ibadah di tanah suci.

Menurut beliau, inisiatif ini diharapkan dapat membantu memelihara tahap kesihatan para jemaah terutamanya menjelang kemuncak musim haji, iaitu hari wukuf memandangkan keadaan cuaca semakin panas di Makkah.

Katanya lagi, bagi musim haji kali ini, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Makkah yang menempatkan sebanyak 31 600 orang jemaah, iaitu di Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi