Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada hakikatnya, masyarakat perlu mengetahui bahawa penarikan sijil bukanlah suatu hal yang luar biasa dalam proses pensijilan halal.
Dalam sistem pensijilan halal, pemantauan dilakukan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan sentiasa terpelihara. Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, perubahan bahan, isu kebersihan atau pelanggaran prosedur, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan termasuk penggantungan sementara atau penarikan sijil.
Memahami Hierarki Pelanggaran Halal
Untuk mengelakkan pengguna daripada cepat melatah apabila berlaku penarikan atau penggantungan sijil halal, wajar difahami terlebih dahulu hal yang sebenarnya berlaku di dalam bilik mesyuarat panel pensijilan halal.
Dalam setiap sesi mesyuarat, jawatankuasa panel akan meneliti pelbagai laporan berkaitan dengan penemuan dan ketidakakuran terhadap piawaian halal. Laporan ini meliputi pelbagai jenis kesalahan, bermula daripada kesilapan teknikal sehinggalah kepada pelanggaran syariah yang berat. Secara amnya, prosedur naik taraf hukuman akan dilaksanakan berdasarkan tahap kritikal sesuatu kes.
Kategori Ketidakakuran

Kategori ini kebiasaannya melibatkan isu kebersihan tahap rendah yang masih terkawal, kepincangan dalam pengurusan fail Sistem Jaminan Halal (HAS) atau dokumen Sistem Kawalan Halal Dalaman (IHCS bagi industri mikro dan kecil), mahupun penggunaan bahan mentah yang tidak diisytiharkan dalam sistem MYeHALAL. Untuk kes sebegini, syarikat tidak akan terus dikenakan hukuman gantung Sijil Pensijilan Halal Malaysia (SPHM). Sebaliknya, mereka akan diberikan Notis Ketidakakuran (NCR) berserta tempoh masa tertentu untuk melaksanakan tindakan pembetulan. Sungguhpun begitu, kegagalan mematuhi arahan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan kes ini dinaik taraf kepada Ketidakakuran Besar.

Tahap ini terpakai apabila syarikat melakukan pelanggaran yang mendatangkan risiko tinggi terhadap status halal atau rentetan daripada kegagalan mematuhi arahan pembaikan pada tahap Ketidakakuran Kecil. Antara contoh pelanggaran pada tahap ini termasuklah penambahan ramuan yang diragui status halalnya, penemuan najis haiwan seperti tikus pada bahan mentah atau produk, serta penggunaan peralatan yang menjejaskan integriti Pensijilan Halal Malaysia. Kesalahan pada peringkat ini akan mengakibatkan SPHM digantung.
Penggantungan bermaksud sijil tersebut ditahan sementara waktu sehinggalah syarikat berjaya melaksanakan proses pembersihan menyeluruh atau menyelesaikan isu dokumentasi. Selari dengan prosedur sebelumnya, kegagalan mematuhi arahan tindakan pembetulan oleh pihak berkuasa berwibawa pada peringkat ini akan menyebabkan kesalahan tersebut dinaik taraf menjadi Ketidakakuran Serius.
Keadaan ini merupakan tahap kesalahan yang paling kritikal. Secara asasnya, pelanggaran pada peringkat ini merangkumi dua bentuk pelanggaran utama, iaitu kesalahan berkaitan dengan syariah dan isu teknikal yang berat. Sebagaimana yang dijelaskan, Ketidakakuran Besar yang gagal dipatuhi arahan pembetulannya akan ditingkatkan kepada kategori ini secara automatik.
Selain itu, kes juga akan terus diklasifikasikan sebagai serius tanpa sebarang amaran jika wujud penemuan mutlak yang melanggar hukum syarak mahupun integriti pensijilan. Hal ini merangkumi pengesahan status tidak halal ke atas bahan mentah oleh pihak berkuasa berwibawa, sama ada di Malaysia ataupun badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf.
Kesalahan ini turut mencakupi kesalahan berat lain seperti pemalsuan, penyelewengan, atau pengubahsuaian dokumen SPHM serta logo Halal Malaysia. Pelanggaran Ketidakakuran Serius ini membawa kepada penarikan SPHM serta pembekuan akaun MYeHALAL syarikat bagi satu tempoh yang diputuskan dalam mesyuarat panel pengesahan halal yang bersidang.
Penarikan Sijil Halal: Tidak Semestinya Disebabkan Unsur Babi
Kefahaman terhadap tiga hierarki ini mendedahkan suatu realiti yang amat penting. Masyarakat wajar mengubah mentaliti dan membina kerangka pemikiran yang lebih matang, iaitu sekiranya kita melihat atau mendengar berita tentang penarikan SPHM terhadap sesebuah syarikat, usahlah terlalu pantas menjatuhkan hukuman bahawa syarikat tersebut menggunakan berus bulu babi atau menghidangkan daging babi semata-mata.
Sebenarnya, terdapat pelbagai faktor lain yang boleh menyumbang kepada tindakan penarikan tersebut. Antaranya termasuklah kegagalan syarikat memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mematuhi arahan tindakan pembetulan bagi Ketidakakuran Kecil yang telah dikenal pasti semasa proses audit. Dalam keadaan tertentu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) boleh ditarik balik sekiranya syarikat tersebut gagal mengambil tindakan pembetulan yang diarahkan dalam tempoh yang ditetapkan atau tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada pihak berkuasa pensijilan.
Tidak kurang juga, penarikan itu mungkin berpunca daripada tahap kebersihan premis yang teramat daif, seperti kehadiran lipas yang membiak dan penemuan najis haiwan perosak tersebut di ruangan penyediaan makanan. Situasi sebegini secara langsung telah mencabuli konsep tayyiban (bersih dan selamat) biarpun bahan masakan asasnya dijamin halal.
Apabila pemikiran disempitkan dengan rumusan melulu bahawa “penarikan sijil halal sama dengan kewujudan unsur babi”, hakikatnya tuduhan tersebut boleh membawa kepada penyebaran fitnah yang tidak berasas terhadap pemilik perniagaan. Kesimpulan yang dibuat tanpa memahami konteks sebenar bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh menjejaskan reputasi pihak yang terlibat. Fitnah ini kemudiannya merebak dengan pantas dan membentuk rantaian dosa jariah dalam media sosial yang kelak akan dipersoalkan di akhirat.
Memang benar bahawa masyarakat berhak berasa marah sekiranya terdapat pihak yang didakwa mempersendakan kesucian agama Islam. Namun demikian, pada masa yang sama, tanpa disedari tindakan menyebarkan tuduhan atau kebencian yang tidak bersandarkan fakta empirikal turut berupaya mencemarkan imej umat Islam.
Dalam keadaan sedemikian, reaksi yang tidak berpandukan maklumat yang sahih bukan sahaja menjejaskan reputasi pihak yang dituduh, malah boleh memberikan gambaran negatif terhadap sikap dan kebertanggungjawaban masyarakat bagi menilai sesuatu isu secara adil dan berfakta.
Kesimpulannya, sesuatu isu tular berkaitan dengan pensijilan halal wajar mendewasakan lagi cara kita berfikir sebagai pengguna Muslim di Malaysia. Menjaga batas halal dan haram sememangnya suatu kewajipan bagi setiap individu Muslim. Walau bagaimanapun, semangat tersebut perlulah disulami dengan akhlak, ilmu, serta kefahaman yang jelas tentang undang-undang dan tatacara pengendalian piawai yang sedia ada.
Ketegasan kita mempertahankan hukum syarak seharusnya selari dengan prinsip keadilan Islam. Bertegas biarlah pada tempatnya, dan menghukum biarlah bersandarkan fakta serta kebenaran yang nyata.
Pihak berkuasa berwibawa sentiasa bertungkus lumus melaksanakan amanah yang berat di barisan hadapan. Matlamat utamanya adalah bagi memastikan setiap sumber makanan yang sebati menjadi darah daging umat Islam benar-benar suci, bersih dan penuh keberkatan. Oleh itu, pendekatan berhikmah yang dilaksanakan bagi mengimbangi tindakan menghukum pesalah dan mendidik pihak industri seharusnya disokong penuh oleh masyarakat, bukannya dipertikaikan tanpa asas yang munasabah.
Jadilah pengguna yang bijak. Rujuklah platform rasmi seperti Portal Halal Malaysia untuk memastikan kesahihan berita yang diterima tentang kehalalan sesuatu produk.
Penulis merupakan Penolong Pengarah di Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.