Diterbitkan pada 18 April 2026, 23:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sepang – Operasi haji 1447H/2026M bermula secara rasmi pada hari ini dengan keberangkatan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang membabitkan sebanyak 284 orang ke tanah suci.

Menurut Tabung Haji (TH) dalam suatu kenyataannya, kumpulan pertama yang merangkumi jemaah dari stesen berlepas Alor Setar dan Sepang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.05 pagi.

Penerbangan tersebut menggunakan pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada pukul 7.50 pagi waktu tempatan Arab Saudi.

Jelas pihaknya lagi, musim haji pada tahun ini menyaksikan sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan melalui kerjasama AMAL Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa 31 600 orang jemaah haji Malaysia.

“Penerbangan pertama bermula pada hari ini, manakala penerbangan terakhir ke tanah suci bakal dijadualkan berlepas pada 20 Mei 2026,” katanya.

Bagi melancarkan pengurusan, TH turut memaklumkan bahawa dua pasukan petugas haji dihantar ke Arab Saudi seawal 11 April bagi melaksanakan persediaan awal untuk menyambut ketibaan jemaah.

Katanya, selain stesen Alor Setar dan Sepang, enam lagi stesen berlepas turut dibuka di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu bagi urusan lapor diri jemaah haji di seluruh negara.

Sementara itu, majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada TH dan semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan bagi memastikan pengurusan haji Malaysia kekal cemerlang.

Beliau turut menyeru para jemaah agar menghayati peranan sebagai duyuf al-Rahman (tetamu Allah) dengan mengikhlaskan niat, menjaga adab serta memperbanyak amal ibadah sepanjang berada di tanah suci.

“Jemaah juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memberikan kerjasama penuh kepada petugas haji demi kelancaran perjalanan ibadah,” tambah beliau.

Pada masa yang sama, Dr. Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah atas kesinambungan pelaksanaan inisiatif Makkah Route yang memasuki tahun kelapan pelaksanaannya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli; Pengerusi Lembaga Tabung Haji, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBrs. Tuan Mustakim Mohamad serta barisan pengurusan kanan TH.

Kredit Foto: Facebook - Senator Dr. Zulkifli Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi