Diterbitkan pada 8 April 2026, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dunia digemparkan oleh situasi perang yang berlaku antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) akibat daripada gabungan faktor seperti perebutan laluan perdagangan strategik Koridor Ekonomi India‒Timur Tengah‒Eropah, persaingan geopolitik, serta permusuhan lama sejak tahun 1979.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Presiden AS melancarkan serangan bersama-sama dengan Israel, dengan sasaran termasuk infrastruktur penting Iran seperti loji jana kuasa dan grid elektrik, atas alasan mempertahankan kepentingan ekonomi dan minyak.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke beberapa buah negara Teluk seperti Abu Dhabi, Qatar, Kuwait dan Bahrain, yang dituduh membantu operasi ketenteraan AS. Serangan ini turut menjejaskan infrastruktur tenaga di rantau tersebut, sekali gus memperluas konflik dan meningkatkan risiko ketidakstabilan serantau, serta korban jiwa yang semakin meningkat.

Kesan terhadap Negara Kita

Selat Selat Hormuz yang terletak berhampiran dengan Iran merupakan laluan laut penting yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab. Hampir 20 peratus perdagangan minyak mentah dunia melalui selat sempit ini setiap hari untuk dihantar ke pelbagai negara, termasuklah di Asia Tenggara seperti Malaysia.

Jika laluan ini terganggu akibat peperangan, kapal tangki yang membawa minyak dari negara pengeluar utama seperti Arab Saudi, Kuwait dan Iraq tidak dapat beroperasi dengan lancar. Keadaan ini menjejaskan bekalan tenaga global dan menyebabkan harga minyak meningkat kerana permintaan kekal tinggi tetapi bekalan semakin terhad.

Kesan gangguan bekalan ini sudah mula dirasai di beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Filipina dan Thailand yang terpaksa mengehadkan penjualan minyak di stesen minyak. Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesannya walaupun negara ini merupakan pengeluar minyak berkualiti tinggi kerana sebahagian besar minyak tempatan dieksport manakala sebahagian bahan api masih diimport.

Sekiranya konflik berterusan, kerajaan perlu menanggung kos subsidi yang lebih tinggi bagi mengekalkan harga RON95 dan diesel, malah peningkatan kos penghantaran, serta insurans kapal yang melalui Selat Hormuz turut menyumbang kepada kenaikan harga bahan api di pasaran.

Beringat Sebelum Kena

Walaupun banyak dalam kalangan masyarakat masih belum merasai sepenuhnya kesan konflik di Asia Barat, terdapat peringatan terutamanya dalam media sosial agar orang awam mula membuat persediaan kewangan. Antaranya termasuklah mengamalkan sikap berjimat cermat serta menyusun semula perbelanjaan ekonomi isi rumah bagi menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut mengambil beberapa langkah penjimatan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. Langkah tersebut termasuklah mengoptimumkan perbelanjaan awam, mengurangkan lawatan rasmi ke luar negara kecuali bagi urusan penting, membatalkan rumah terbuka Aidilfitri yang menggunakan peruntukan kerajaan, menetapkan suhu pendingin hawa menjadi 24°C di premis kerajaan, serta melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat tertentu. Langkah tersebut bertujuan untuk memastikan kestabilan fiskal negara bagi menghadapi krisis tenaga dan ekonomi global yang mencabar.

Dalam konteks kekeluargaan, ketua isi rumah disarankan untuk menyemak semula pengurusan kewangan harian dan bulanan dengan lebih teliti supaya dapat membezakan antara keperluan dengan kehendak. Perbelanjaan hendaklah diutamakan kepada perkara yang benar-benar penting seperti keperluan asas keluarga, manakala perbelanjaan yang tidak penting atau boleh membawa kepada pembaziran wajar dielakkan.

Dari perspektif Islam, pengurusan kewangan yang baik merupakan sebahagian daripada sikap amanah dan tanggungjawab terhadap keluarga. Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana ketika berbelanja serta menjauhi pembaziran, sebagaimana yang ditegaskan dalam ajaran Islam yang menyeru umatnya agar mengamalkan konsep kesederhanaan dan berjimat cermat dalam kehidupan seharian.

Imam Ibn Hazm dalam kitabnya, al-Muhalla menyatakan bahawa pemborosan dan pembaziran adalah haram di sisi agama. Perkara yang berkaitan rapat dengan amalan boros ini termasuklah membelanjakan wang bagi perkara yang diharamkan oleh Allah SWT sama ada melibatkan jumlah yang sedikit ataupun banyak.

Tabiat yang tidak mempunyai keperluan sebenar, seperti kerap menukar atau membeli barangan berjenama semata-mata untuk mengikut gaya hidup, sedangkan tindakan tersebut melebihi kemampuan kewangan isi rumah dan boleh menambah komitmen hutang. Sikap sebegini perlu dielakkan kerana boleh menjejaskan kestabilan kewangan keluarga.

Selain itu, amalan membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil tanpa tujuan yang bermanfaat juga merupakan perbuatan yang sia-sia. Dalam ajaran Islam, umatnya digalakkan mengurus rezeki dengan bijaksana serta menjauhi pembaziran kerana setiap nikmat yang diberikan hendaklah dimanfaatkan pada perkara yang membawa kebaikan dan keberkatan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang empat perkara: Tentang umurnya, pada apa dia habiskan?; tentang ilmunya, apa yang telah dia lakukan dengannya?; tentang hartanya, dari mana dia memperolehnya dan ke mana dia membelanjakannya?; serta tentang tubuh badannya, pada apa digunakan olehnya?” (Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2417).

Setiap harta yang dimiliki oleh manusia bukan sahaja akan dipersoalkan dari sudut cara harta diperoleh, bahkan cara harta tersebut dibelanjakan akan dihisab oleh Allah SWT pada hari kiamat kelak.

Oleh itu, antara langkah yang wajar diambil oleh ketua isi rumah termasuklah menyediakan dana kecemasan bagi menghadapi perkara luar jangka. Amalan membuat persediaan ini selaras dengan ajaran dalam al-Quran yang menekankan perancangan masa hadapan, kesederhanaan serta pengurusan harta secara bijaksana. Hal ini dapat dilihat melalui kisah a.s. dalam Surah Yusuf ayat 47–49, yang menceritakan tentang keperluan menyimpan hasil tuaian bagi menghadapi musim kemarau yang panjang.

Peringatan ini seharusnya menjadi panduan bagi umat Islam agar mengamalkan budaya berjimat cermat, memperoleh harta melalui cara yang halal, tidak mengambil hak orang lain, serta membuat pelaburan yang selamat dan patuh syariah. Selain itu, sikap sederhana (qanaah) dalam berbelanja juga amat dituntut.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 26–27 yang bermaksud,

Dan berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin, serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros. Sesungguhnya orang yang boros itu ialah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.

Amaran ini menunjukkan betapa besar larangan terhadap sikap boros dalam kehidupan seharian sehingga orang yang membazir disifatkan sebagai saudara kepada syaitan. Oleh itu, sekiranya seseorang memiliki lebihan rezeki, lebih baik dimanfaatkan dengan membantu golongan yang memerlukan setelah memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Di samping itu, langkah lain yang boleh diamalkan termasuk mengurangkan beban hutang serta mempelbagaikan sumber pendapatan. Dengan perkembangan teknologi maklumat pada masa ini, terdapat pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan untuk menambah pendapatan keluarga. Namun begitu, kejayaan memerlukan kesungguhan dan usaha yang disertai doa dan tawakal kepada Allah SWT.

Setiap individu perlu bersikap bijak dengan membuat persediaan menghadapi kemungkinan krisis ekonomi, antaranya termasuklah berjimat cermat, membina simpanan kecemasan sekurang-kurangnya tiga bulan hingga enam bulan, mengurangkan hutang, serta mempelbagaikan sumber pendapatan.

Langkah proaktif seperti memantau perbelanjaan isi rumah, menyimpan aset bernilai dan mengelakkan komitmen kewangan yang tidak perlu merupakan kunci untuk memastikan kelangsungan hidup yang lebih stabil bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia pada ketika ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi