Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa usaha melahirkan pelajar berketerampilan menuntut pembinaan jati diri yang kukuh, berteraskan keseimbangan ilmu duniawi dan ukhrawi yang berpaksikan al-Quran dan sunah.
“Dengan berpaksikan al-Quran dan sunah, setiap usaha dalam menuntut ilmu bukan sahaja menjadi bekal kejayaan di dunia, malah menjadi jambatan menuju kejayaan hakiki di akhirat,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda turut menzahirkan harapan agar para pelajar beraspirasi untuk menjadi generasi al-Quran yang bukan sahaja menghafal, tetapi menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
Menurut baginda, pelajar berkualiti ialah pelajar yang memiliki hati yang terbuka untuk dididik, lisan yang santun, serta sahsiah yang mencontohi kemuliaan akhlak Rasulullah SAW.
Demikian titah DYTM Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2026 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Alawiyah, Kangar, dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Encik Rose Aza Che Arifin dan Pengetua Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Alawiyah, Kangar, Encik Tho’alimi Jib.
Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan sebanyak 414 orang pelajar.
Encik Tho’alimi Jib, dalam ucapannya menegaskan bahawa komitmen berterusan dalam memacu kecemerlangan melalui penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang menyeluruh merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan fizikal, kewangan, akademik serta pengurusan kurikulum, Hal Ehwal Murid (HEM) dan kokurikulum.
Dari segi akademik, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk Program Khas IMTIAZ serta pembudayaan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) secara holistik.
Hasil daripada inisiatif yang dilakukan menunjukkan bahawa sekolah tersebut berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan kelulusan 100 peratus melibatkan 108 calon serta Gred Purata Sekolah (GPS) 2.82, sekali gus meletakkan sekolah sebagai antara yang terbaik di negeri Perlis.
Sebanyak 34 calon memperoleh keputusan 8A ke atas termasuk empat pelajar yang meraih keputusan cemerlang semua A.
Momentum kecemerlangan ini diteruskan dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 dengan purata GPS 3.39 yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan bagi pelajar di sekolah tersebut.
Mata pelajaran Usuluddin bagi STPM telah mencatat Nilai Gred Mata Pelajaran (NGMP) terbaik, iaitu 3.75, manakala sebanyak empat calon telah mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Bagi bidang kokurikulum pula, sekolah ini turut mencatat kecemerlangan yang membanggakan pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, termasuk kejayaan dalam kejohanan catur, pertandingan inovasi, robotik, serta memanah tradisional.
Pada majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian Bilik al-Khwarizmi sebagai pusat aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan inovasi di sekolah tersebut.
Menudahan ini bakal menjadi platform kepada para pelajar untuk meneroka, membangunkan dan memperkasakan idea kreatif serta inovatif selaras dengan keperluan pendidikan masa ini.