Diterbitkan pada 16 April 2026, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Isu status halal dan haram sesuatu produk, khususnya yang melibatkan najis mughallazah seperti khinzir dan anjing sentiasa menjadi perkara yang amat sensitif bagi umat Islam di Malaysia. Sejak kebelakangan ini, media sosial turut dihujani pelbagai maklumat tular, termasuk pendedahan tentang penggunaan berus bulu babi oleh sebilangan pemain industri.

Setiap kali isu seumpama ini timbul, masyarakat Islam di negara ini kebiasaannya amat peka dan pantas memberikan reaksi. Pelbagai respons ditunjukkan; ada yang meluahkan perasaan marah, ada yang mula keliru, malah tidak kurang juga yang terus melancarkan kempen boikot secara melulu terhadap jenama tertentu tanpa memastikan kesahihan berita tersebut terlebih dahulu.

Tidak dinafikan, keprihatinan umat Islam bagi memelihara aspek halalan tayyiban ini merupakan suatu petanda positif yang mencerminkan betapa tingginya tahap kesedaran beragama. Namun begitu, apabila emosi menguasai diri dan fakta diketepikan, niat asal ini boleh tersasar, lantas menganiaya perniagaan pihak yang belum tentu bersalah.

Oleh sebab itu, sebagai Muslim yang rasional dan berilmu, kita wajar bertindak secara matang bagi mendepani hal ini. Langkah pertama yang perlu diambil bukanlah terburu-buru menjatuhkan hukuman. Sebaliknya, kita seharusnya bertenang dan menyemak dahulu kesahihan maklumat menerusi saluran rasmi pihak berkuasa berwibawa, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Pendekatan berhati-hati ini amat dituntut oleh agama supaya setiap tindakan kita sentiasa berlandaskan neraca keadilan Islam.

 

Bahana Emosi “Membunuh” Perniagaan

Kita tidak boleh menafikan betapa besarnya impak kuasa tular dalam media sosial. Apabila sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti halal mula menular, sentimen emosi masyarakat kelazimannya akan mengatasi kewarasan akal untuk menyelidik. Akibatnya, perniagaan yang sebenarnya beroperasi secara sah, bersih, dan mematuhi etika turut menerima tempias yang merugikan.

Buktinya cukup jelas apabila panik moral dan tindakan melulu ini memberikan kesan buruk terhadap entiti perniagaan yang langsung tidak bersalah. Sebagai contoh, baru-baru ini, ketegangan emosi awam telah mengheret sebuah syarikat pengeluar makanan tempatan ke kancah perdebatan. Insiden ini tercetus apabila wujud pendedahan yang mengaitkan sebuah syarikat lain yang mengeluarkan produk berbeza di negeri lain.

Hanya kerana terdapat sedikit persamaan pada nama syarikat, sebahagian daripada pengguna media sosial terus membuat kesimpulan melulu dan menuduh sebuah jenama makanan yang tidak mempunyai perkaitan dengan isu tersebut. Akibatnya, perniagaan yang beroperasi secara sah dan tidak terlibat dalam kontroversi itu turut menjadi sasaran kecaman serta penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Walaupun semakan mudah melalui Portal Halal Malaysia jelas menunjukkan bahawa status Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat pengeluar makanan tersebut masih sah, keraguan yang tersebar dalam media sosial tidak mudah dipadamkan dalam masa yang singkat. Persepsi yang telah terbentuk sering kali mengambil masa yang lama untuk dibetulkan. Bayangkan, reputasi serta kepercayaan pengguna yang dibina selama berpuluh-puluh tahun boleh tercalar dalam sekelip mata hanya kerana satu hantaran ringkas melalui WhatsApp atau Facebook yang dikongsi secara melulu tanpa semakan dan pertimbangan yang sewajarnya.

Oleh hal yang demikian, Islam melarang keras umatnya daripada bertindak menghukum tanpa usul periksa sehingga menjejaskan periuk nasi orang lain. Allah SWT memberikan peringatan yang cukup tegas dalam al-Quran berhubung dengan kepentingan tabayun (menyelidik) sesuatu berita terlebih dahulu menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini ‒ dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) ‒ sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat 49:6).

Ayat ini menuntut kita supaya mendidik diri agar menjadi pengguna yang bijak, bukan pengguna yang mudah melatah dan terikut-ikut dengan sentimen yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Penarikan Sijil Halal: SOP, Kerahsiaan dan Hikmah Mendidik

Apabila timbul polemik berkaitan dengan sijil halal, reaksi masyarakat sering kali pantas dan penuh persoalan. Setiap kali timbul isu sebegini, satu soalan yang kerap diajukan oleh warga siber: “Mengapakah pihak berkuasa agama tidak mendedahkan senarai nama syarikat yang sijil halalnya ditarik pada dada akhbar supaya diketahui oleh semua orang?”

Bagi menjawab persoalan ini, masyarakat perlu memahami kerangka kerja dan tatacara pengendalian piawai (SOP) pihak berkuasa berwibawa. Penarikan SPHM merupakan perkara biasa dalam ekosistem pensijilan halal. Tindakan tersebut merupakan tindakan tatatertib dan kawal selia yang berterusan, bukan sekadar tindak balas mengejut akibat daripada isu yang tular.

Tindakan pihak pengurusan halal yang tidak membuat hebahan secara terbuka dengan memetik nama syarikat ini sering kali disalah erti. Rentetan itu, banyak yang menuduh dan beranggapan bahawa pihak berkuasa berwibawa cuba melindungi syarikat tertentu, terutamanya syarikat berskala besar. Tanggapan ini sama sekali tidak benar.

Pendekatan untuk tidak mendedahkan nama syarikat yang ditarik sijil halalnya sebenarnya diambil berasaskan peranan dan tanggungjawab institusi agama itu sendiri; iaitu mengimbangi antara fungsi pelaksana undang-undang (menghukum) dengan institusi dakwah (mendidik). Dalam Islam, hukuman bukanlah bertujuan semata-mata untuk mengaibkan atau melumpuhkan perniagaan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memperbetul keadaan (islah).

Syarikat yang ditarik balik sijil halalnya sebenarnya sudah pun menerima hukuman berat berlandaskan akta dan piawaian yang ditetapkan. Mereka kehilangan hak keistimewaan komersial untuk menggunakan logo Halal Malaysia. Hal ini juga belum mengambil kira tindakan susulan lain seperti kompaun, pembekuan akaun MYeHALAL, serta pelbagai tindakan perundangan lain. Walau bagaimanapun, institusi agama tetap menyelitkan pendekatan dakwah yang berhikmah di sebalik ketegasan undang-undang.

Peluang sewajarnya sentiasa dibuka kepada pihak industri untuk bermuhasabah, mengambil langkah pembetulan, menyempurnakan proses penyucian premis (sertu atau samak jika perlu), dan seterusnya memohon semula pensijilan apabila mereka benar-benar bersedia untuk mematuhi keperluan pensijilan halal.

Oleh itu, tindakan mengaibkan nama syarikat secara terbuka bukan sahaja berisiko menutup pintu kesedaran dan pemulihan, malah langkah sedemikian jelas bertentangan dengan adab serta etika pengurusan yang berteraskan Islam.


Penulis merupakan Penolong Pengarah di Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi