Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu ditambah baik berteraskan al-Quran dan tradisi ilmu Islam, di samping meneroka bidang baharu seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M di Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Selasa.
Ujar beliau, gagasan Malaysia MADANI akan terus memperkasakan sistem pendidikan negara dengan memberikan penekanan terhadap penerokaan ilmu dalam pelbagai bidang termasuk teknologi maklumat dan AI, selari dengan nilai dan tradisi Islam.
Selain itu, beliau mengingatkan umat Islam di negara ini agar memperkukuh penguasaan ilmu dan teknologi baharu tanpa mengabaikan nilai serta tradisi al-Quran tatkala menghadapi cabaran global pada masa ini.
Jelas beliau, konsep Kemelut Ummah (Malaise of the Ummah) yang diketengahkan oleh sarjana Islam, Ismail Faruqi merujuk kelemahan umat Islam akibat daripada kekurangan persediaan ilmu, akhlak dan penguasaan teknologi.
Beliau berkata, sejarah penjajahan memberikan kesan besar terhadap pemikiran dan sistem pendidikan umat Islam sehingga menjejaskan kekuatan dalaman mereka.
Menurut beliau, generasi al-Quran perlu dibentuk bukan sahaja melalui pembacaan dan hafazan, malah penghayatan serta pengamalan ajaran al-Quran secara menyeluruh sehingga menjadi asas kekuatan umat.
Beliau turut menyentuh konflik yang melanda dunia Islam ketika ini, termasuk serangan berterusan oleh Israel terhadap Palestin serta ketegangan melibatkan Iran, yang menuntut kesedaran dan persiapan lebih rapi dalam kalangan negara Islam.
“Setiap peristiwa memberikan pengajaran kepada kita tentang keperluan memperkukuh usaha membina kekuatan umat, khususnya melalui penguasaan ilmu dan teknologi,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, beliau memuji usaha kerajaan negeri Terengganu melahirkan generasi para hafiz yang bukan sahaja mahir dalam bidang al-Quran, malah turut menguasai bidang sains dan teknologi.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu, YAM Dato’ Seri Tengku Baharuddin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah; Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dan Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.