Diterbitkan pada 14 April 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Program Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid al-Ittifaqiah Mengkuang Layar baru-baru ini menyaksikan penyerahan agihan zakat negeri itu berjumlah RM105,000 kepada 150 orang penerima asnaf yang terpilih.

Para penerima sumbangan tersebut terdiri daripada 75 orang dari kariah Mengkuang Layar serta 75 orang dari kariah Long Boh.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan program berkenaan.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, cabaran dunia yang kian tidak menentu pada hari ini menuntut umat Islam untuk kembali memperkasakan kekuatan dalaman.

“Ketahanan ummah bukan sekadar bersandarkan faktor luaran, malah bertunjangkan  kepada penguasaan ilmu, keutuhan perpaduan, kestabilan ekonomi serta keluhuran akhlak,” titah baginda.

Sehubungan dengan itu, menurutnya, institusi seperti MAIPs memikul amanah kritikal ini dalam usaha menerajui pembangunan ummah secara holistik.

Melalui pelbagai inisiatif strategik dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pemerkasaan ekonomi, MAIPs komited membina jati diri masyarakat Islam yang kental, khususnya di Perlis dan rantau ini.

Sementara itu, MAIPs terus memperkukuh inisiatif program agihan zakat kepada umat Islam di negeri Perlis bagi meringankan beban kos sara hidup golongan asnaf.

Inisiatif itu menjadi manifestasi komitmen berterusan pihaknya bagi memperkasakan kesejahteraan ummah serta memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan serta sumbangan yang sewajarnya.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs kepada para penerima.

 

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi