Diterbitkan pada 8 April 2026, 07:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tasek Gelugor – Pembangunan Taman Halal PERDA (PERDA Halal Park) dilihat sebagai satu langkah strategik dalam usaha memperkukuh ekosistem industri halal negara, di samping memacu pertumbuhan ekonomi bumiputera.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pembangunan taman tersebut merupakan langkah yang tepat dan selari dengan aspirasi melahirkan masyarakat luar bandar yang mandiri, berdaya saing serta mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam pertumbuhan pesat industri halal global yang diunjurkan mencecah nilai kira-kira AS$5 trilion menjelang tahun 2030, sebaliknya perlu tampil sebagai peneraju utama dalam sektor berkenaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri Taman Halal PERDA di PERDA Food Park, Kubang Menerong pada Selasa.

Tambah beliau, Malaysia mesti berada di barisan hadapan sebagai kuasa besar dalam pengeluaran, inovasi dan perdagangan halal dunia, selain menjadi peneraju pensijilan halal.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini telah diiktiraf sebagai antara peneraju industri halal global dengan sistem pensijilan yang diyakini di hampir 50 negara serta kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun.

“Potensi sebenar Malaysia jauh lebih besar daripada perkara yang telah dicapai kerana industri halal bukan sahaja membuka ruang pertumbuhan ekonomi domestik, malah menjadi pintu masuk Malaysia ke pasaran global yang lebih luas merentasi Asia, Timur Tengah dan Eropah,” jelasnya.

Beliau berkata, permintaan global terhadap produk halal terus meningkat dengan pesat, namun penawaran masih jauh ketinggalan dengan jurang dianggarkan mencecah kira-kira 80 peratus.

Ujarnya, jurang ini bukan satu kelemahan, tetapi satu peluang besar untuk Malaysia, khususnya usahawan Bumiputera, mengambil peranan lebih besar dalam rantaian bekalan halal global.

“Menjelang tahun 2030, pasaran halal global dijangka mencecah AS$5 trilion, manakala pasaran domestik pula dianggarkan bernilai AS$113.3 bilion, sekali gus menjadikan sektor itu antara pemacu utama ekonomi negara,” jelasnya.

Menurut beliau, nilai eksport halal Malaysia pada tahun 2024 mencecah RM61.79 bilion dengan produk tempatan berjaya menembusi pasaran utama termasuk China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Tambah beliau, sektor makanan dan minuman kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai melebihi RM34.03 bilion, diikuti sektor ramuan halal yang semakin berkembang.

Jelas beliau, hal tersebut membuktikan bahawa produk halal Malaysia bukan sahaja diyakini, tetapi juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam pasaran global.

Kredit Foto: Facebook - Zahid Hamidi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi