Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Kempen Wasiat Dhuyufurrahman 2026 bermula 1 April sehingga 20 Mei 2026 bagi menggalakkan umat Islam berwasiat sebelum bermusafir menunaikan ibadat haji.
Pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi MAIS, Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin dalam Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri Bersama Rakan Strategik MAIS di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Selasa.
Salehuddin berkata, kempen berkenaan merupakan inisiatif tahunan pihaknya untuk meningkatkan kesedaran bakal jemaah haji mengenai kepentingan penyediaan dokumentasi wasiat, perancangan pembahagian harta dan pelantikan wasi bagi menguruskan wasiat jika berlaku kematian semasa bermusafir haji.
“Menerusi kempen ini, MAIS menawarkan harga promosi istimewa serendah RM200 bagi perkhidmatan Pelantikan Wasi dan Penyediaan Surat Wasiat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tawaran tersebut turut memberikan peluang kepada umat Islam merancang pengurusan harta secara lebih teratur dan selaras dengan tuntutan syarak.
Menurutnya lagi, sasaran utama tawaran istimewa itu khusus kepada jemaah haji pada tahun 2026 dan mana-mana individu yang bakal menunaikan haji.
Selain itu, ujar beliau, orang ramai yang belum atau telah menunaikan haji, tetapi tidak mempunyai wasiat berpeluang menyertai kempen ini dengan membuat wasiat daripada sekarang.
“Penyediaan wasiat dapat mengurangkan risiko pertikaian harta pusaka dalam kalangan waris, selain menggalakkan tindakan segera daripada masyarakat Islam untuk merancang harta dengan patuh syariah serta mengelakkan berlakunya isu pembekuan harta pusaka.
“Sebagai badan berautoriti agama Islam, MAIS mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi, pentadbir harta pusaka dan pemegang amanah harta orang Islam selaras dengan subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003,” tegasnya.
Permohonan wasiat boleh dibuat secara dalam talian menerusi https://siswa.mais.gov.my atau mengimbas kod respons pantas yang disediakan.
Maklumat lanjut mengenai kempen juga boleh dilayari pada laman sesawang atau media sosial rasmi MAIS.
Majlis pelancaran kempen tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari dan Setiausaha MAIS, YBrs. Tuan Haji Mohd Sabirin Mohd Sarbini.