Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi agama yang berwibawa serta komited dalam melaksanakan mandat pengurusan zakat, pembangunan dan kebajikan sosial ummah di negeri ini.
Demikian menurut kenyataan yang dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersempena dengan Program Hijrah Minda MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Ikram, Kampung Sena Kurung Anai, baru-baru ini.
Titah baginda,
Segala usaha serta sumbang saran konstruktif yang digembleng oleh semua pihak amat dihargai dalam memastikan kelangsungan peranan MAIPs sebagai institusi agama yang berkesan.
Menurut baginda, peningkatan hasil kutipan zakat MAIPs melalui kepelbagaian pendekatan serta peluasan rangkaian kerjasama telah memberikan impak yang ketara kepada pembangunan ummah.
Baginda turut menzahirkan bahawa penyaluran bantuan kepada golongan asnaf kini dilaksanakan secara lebih berfokus, tersusun dan pantas, selari dengan aspirasi MAIPs untuk memastikan tiada asnaf yang tercicir atau terlepas pandang di negeri ini.
Tegas baginda, pencapaian tersebut tidak mungkin direalisasikan tanpa kesepaduan semua pihak, sekali gus menyeru agar momentum yang telah dibina terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
Program Hijrah Minda MAIPs merupakan antara inisiatif utama institusi tersebut dalam mentransformasikan pemikiran serta memperkasakan sosioekonomi masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan asnaf di Perlis.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Bersempena dengan program itu, baginda selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berjumlah RM120,000 kepada Teratak Rahmat dan Persatuan Al-Islah Negeri Perlis.

Baginda turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs sebanyak RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih yang terdiri daripada anak kariah Kampung Sena.