Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat istisqa’ (memohon hujan) di Dataran Istiadat, Istana Arau, pada pukul 8.00 pagi tadi.
Pelaksanaan solat sunat istisqa’ ini merupakan satu ikhtiar bagi memohon rahmat hujan daripada Allah SWT susulan keadaan cuaca panas yang semakin meruncing ketika ini.
Solat sunat istisqa’ ini diimamkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Haji Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
Beliau turut menyampaikan khutbah kepada kira-kira 1000 orang jemaah yang hadir menyempurnakan solat sunat tersebut.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), doa al-istisqa’ akan dilaksanakan di masjid seluruh negeri Perlis ketika khutbah Jumaat, berdasarkan teks khutbah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.
“Pelaksanaan ini bermula pada 27 Mac 2026 dan diteruskan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan oleh JAIPs,” jelas MAIPs.
Tambah MAIPs, solat sunat istisqa’ merupakan teguran kepada seluruh umat Islam untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbaik amalan, serta bermuhasabah diri kerana setiap nikmat, termasuk turunnya hujan adalah di bawah kekuasaan-Nya.

“Seluruh umat Islam di Perlis diseru untuk bersama-sama memperbaik diri serta memohon keampunan agar negeri itu dikurniakan rahmat hujan dan dijauhkan daripada segala musibah.
“Pada masa yang sama, umat Islam turut dianjurkan untuk memperbanyak doa agar diturunkan hujan untuk mengakhiri musim kemarau dan kekurangan air yang sedang melanda,” ujar MAIPs.
Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.