Diterbitkan pada 25 Mac 2026, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru umat Islam di negeri itu agar mendirikan solat sunat istisqa’ (memohon hujan) pada esok.

Baginda yang juga selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, solat sunat tersebut akan dilaksanakan di Dataran Istiadat, Istana Arau pada pukul 8.00 pagi.

“Para jemaah dinasihatkan supaya menggunakan payung, membawa sejadah masing-masing dan mengambil wuduk dari rumah, di samping menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka bagi mereka yang mempunyai keuzuran kesihatan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, bagi masjid di seluruh negeri Perlis, doa istisqa’ akan dilaksanakan ketika khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis bermula 27 Mac sehingga tempoh yang dimaklumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Baginda berharap agar seluruh lapisan masyarakat di negeri itu keluar berhimpun bagi bermuhasabah agar segera kembali memohon keampunan dan mengharap kepada-Nya.

“Marilah kita mempertingkat ketakwaan, segera bertaubat daripada semua maksiat, saling memaafkan sesama manusia, memperbanyak puasa dan amalan bersedekah serta meninggalkan perbalahan.

“Semoga permohonan dan rintihan yang dipanjatkan ini mendapat perkenan Allah, lantas dikurniakan hujan rahmat yang mendinginkan jiwa, bukannya hujan azab yang membinasakan,” titah baginda.

Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan solat sunat istisqa’, orang ramai boleh menghubungi pihak JAIPs melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi menerusi hantaran peribadi pada laman Facebook rasmi MAIPs.

Sementara itu, pelaksanaan solat sunat istisqa’ susulan daripada fenomena kemarau dan cuaca panas yang semakin meruncing di Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi