Diterbitkan pada 24 Mac 2026, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM725,400 bagi menyokong pembangunan prasarana serta keperluan pendidikan di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan tersebut yang berlangsung di Masjid Ar-Rahmaniah baru-baru ini.

Yang turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Mohd Nazim dalam ucapannya berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan MAIPs bagi memperkasakan institusi pendidikan Islam di Perlis, khususnya bagi memastikan kebajikan para pelajar terus terpelihara, selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti.

“Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan yang berteraskan nilai Islam yang syumul, sekali gus menyumbang kepada pembinaan generasi yang seimbang dari aspek keilmuan, sahsiah dan daya saing,” ujarnya.

Menurut beliau, keprihatinan berterusan MAIPs tersebut diharapkan mampu memberikan impak yang signifikan terhadap pembangunan pendidikan generasi muda, seterusnya melahirkan insan berilmu, berakhlak mulia dan berdaya tahan bagi mendepani cabaran semasa.

Usaha berterusan ini membuktikan iltizam MAIPs memartabatkan pendidikan Islam sebagai tunjang pembinaan ummah demi menjamin kelangsungan kecemerlangan agama, bangsa dan negeri pada masa hadapan.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi