Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRamadan merupakan bulan penuh keberkatan yang padanya terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu lailatulqadar. Allah SWT menyatakan kelebihan malam tersebut melalui Surah al-Qadr.
Lailatulqadar sangat istimewa kerana dipenuhi dengan rahmat, keampunan dan keberkatan yang luar biasa. Namun begitu, tarikh sebenar malam ini dirahsiakan oleh Allah SWT.
Suatu peristiwa penting yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim mencatatkan bahawa Rasulullah SAW pada asalnya berniat untuk memberitahu para sahabat mengenai tarikh sebenar Malam lailatulqadar, namun ketika itu berlaku pertengkaran antara dua orang sahabat, menyebabkan ilmu tentang malam tersebut diangkat oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Aku keluar untuk memberitahu kamu tentang (tarikh) lailatulqadar, tetapi si fulan dan si fulan bertengkar, maka (pengetahuan tentangnya) diangkat. Mudah-mudahan ini lebih baik untuk kamu. Maka itu, carilah lailatulqadar pada malam ke-29, ke-27, dan ke-25 (Ramadan).” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 49; dan Muslim, no. 1167). Hadis ini menunjukkan bahawa kerahsiaan malam tersebut bukan suatu kebetulan, sebaliknya ketetapan Allah SWT yang penuh hikmah.
Satu daripada hikmah utama tarikh lailatulqadar dirahsiakan adalah untuk mendorong umat Islam agar lebih bersungguh-sungguh beribadah sepanjang 10 malam terakhir Ramadan. Jika umat Islam mengetahui tarikh tepat malam tersebut, kemungkinan besar mereka akan beribadah pada malam itu sahaja dan mengabaikan malam yang lain.
Sebaliknya, dengan merahsiakannya, umat Islam terdorong untuk meningkatkan amalan sepanjang tempoh tersebut. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Carilah lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2020). Baginda juga menegaskan, “Carilah lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir. Jika kamu tidak mampu, maka janganlah terlepas daripada tujuh malam yang berbaki.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1165).
Selain itu, kerahsiaan ini juga menjadi satu bentuk ujian bagi mengukur keikhlasan dan ketakwaan umat Islam. Hanya insan yang benar-benar ikhlas akan terus beribadah dan berusaha mencari lailatulqadar tanpa bergantung pada kepastian waktunya.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk ayat 2, yang bermaksud, “Supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya.” Dalam erti kata lain, orang yang benar-benar beriman akan sentiasa istiqamah dalam ibadah, bukan sekadar mencari ganjaran tertentu semata-mata.
Di samping itu, dengan tidak mengetahui waktu sebenar lailatulqadar, umat Islam juga dapat melatih diri untuk lebih bersabar dan beristiqamah dalam beribadah. Kesabaran merupakan satu sifat penting untuk mencapai kejayaan dalam ibadah.
Allah SWT berfirman dalam Surah Hud ayat 115 yang bermaksud, “Dan bersabarlah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan.” Kesabaran ketika mencari lailatulqadar juga mengajar kita untuk tidak cepat berputus asa bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Jika tarikh sebenar lailatulqadar diketahui, berkemungkinan umat Islam akan menjadi lalai dan hanya memberikan tumpuan kepada malam tersebut sahaja. Oleh itu, Allah SWT merahsiakan malam ini supaya umat Islam sentiasa berusaha dan tekun beribadah sepanjang Ramadan.
Rasulullah SAW juga menunjukkan contoh terbaik dalam perkara ini. Sayidatina ‘Aisyah r.a. meriwayatkan, “Apabila masuk sepuluh malam terakhir (Ramadan), Nabi SAW akan menghidupkan malam-malam tersebut, membangunkan keluarganya, bersungguh-sungguh dalam ibadah dan mengetatkan ikatan kainnya (yakni menjauhi isteri).” (Riwayat al-Bukhari, no. 2024; dan Muslim, no. 1174). Hadis ini menunjukkan bahawa walaupun Rasulullah SAW ialah insan yang paling hampir dengan Allah SWT, Baginda tetap berusaha sedaya upaya untuk mencari keberkatan dalam sepuluh malam terakhir Ramadan.
Kerahsiaan tarikh lailatulqadar bukanlah suatu penghambat, sebaliknya pemangkin untuk kita meningkatkan ibadah dengan lebih istiqamah dan penuh keikhlasan. Lailatulqadar merupakan peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya dengan sepenuh hati.
Penulis ialah Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia.