Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRamadan merupakan madrasah tarbiah iman dan peluang memperbanyak amal ibadah bagi salafussoleh. Mereka sangat menjaga masa bagi memanfaatkan setiap detik Ramadan dengan amal soleh dan muhasabah diri.
Ramadan dalam kehidupan salafussoleh diisi dengan pelbagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Selain tilawah al-Quran, para salaf juga terkenal dengan kesungguhan mereka menghidupkan malam Ramadan dengan qiamullail dan solat tarawih yang merupakan satu daripada syiar bulan Ramadan yang sangat besar pahalanya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 37; dan Muslim, no. 759).
Hadis ini menegaskan bahawa sesiapa yang menghidupkan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, Allah SWT menjanjikan keampunan terhadap dosa-dosa yang telah lalu (dosa kecil) sebagai satu kurniaan dan rahmat daripada-Nya. Oleh itu, hadis ini menjadi dorongan kuat agar umat Islam bersungguh-sungguh memanfaatkan Ramadan dengan ibadah kerana ganjarannya sangat besar dan berlipat ganda. Dorongan inilah yang dapat dilihat dengan jelas dalam kehidupan para salafussoleh yang benar-benar menjadikan qiyam Ramadan sebagai amalan utama mereka.
Berdasarkan al-Zuhd oleh Imam Ahmad bin Hanbal, dinyatakan bahawa Hasan al-Basri berkata, “Aku tidak mendapati sesuatu ibadah yang lebih berat daripada solat pada tengah malam.” Namun begitu, kepayahan itulah yang dicari oleh mereka kerana mereka tahu ganjarannya sangat besar.
Diriwayatkan daripada al-Sa’ib bin Yazid bahawa pada zaman ‘Umar bin al-Khattab r.a., beliau memerintahkan Ubai bin Ka‘ab r.a. dan Tamim al-Dari r.a. untuk mengimamkan orang ramai dengan 11 rakaat pada bulan Ramadan. Mereka membaca ayat-ayat yang panjang sehingga para jemaah terpaksa bersandar pada tongkat kerana lamanya berdiri, dan mereka hanya selesai melakukan solat tersebut ketika hampir tibanya waktu fajar. (Khulasah al-Ahkam, Imam al-Nawawi, 1/578).
Melalui qiamullail, para salaf melatih jiwa mereka untuk khusyuk, merendahkan diri di hadapan Allah SWT, serta memperbaharu keikhlasan dalam ibadah. Pada masa yang sama, amalan ini juga membentuk kekuatan rohani yang memberikan kesan terhadap akhlak dan ketekunan mereka dalam ketaatan pada siang hari.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a., beliau berkata, “Nabi SAW ialah insan yang paling dermawan dalam hal kebaikan (pemurah), dan kemuncak kedermawanannya adalah pada bulan Ramadan kerana Jibril datang kepada Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan sehingga (bulan itu) berakhir, Rasulullah SAW bertadarus al-Quran kepadanya. Apabila Jibril berjumpa dengan Baginda, maka Baginda lebih dermawan dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup.” (Riwayat al-Bukhari, no. 4997).
Hadis ini menegaskan bahawa Rasulullah SAW merupakan manusia yang paling pemurah, dan sifat kemurahan itu semakin terserlah pada bulan Ramadan sehingga Baginda diumpamakan lebih bermanfaat daripada angin yang membawa rahmat.
Kedermawanan Baginda tidak terbatas kepada pemberian harta semata-mata, bahkan merangkumi segala bentuk kebaikan, pertolongan dan sumbangan kepada manusia tanpa berkira dan tanpa menunggu diminta. Ramadan menjadi waktu yang memperlihatkan kemuncak keindahan akhlak ini, apabila Baginda memperbanyak pemberian dan kebajikan demi kesejahteraan umat, sekali gus mengajar bahawa ibadah bukan hanya hubungan peribadi dengan Allah SWT, bahkan juga tanggungjawab sosial terhadap manusia.
Oleh sebab itu, Imam al-Syafi‘i berkata, “Aku suka seseorang memperbanyak sedekah pada bulan Ramadan sebagai mencontohi Rasulullah SAW. Pada bulan itu, banyak orang memerlukan bantuan untuk urusan hidup mereka dan kerana banyak juga yang sibuk dengan puasa dan solat sehingga mereka kurang sempat mencari rezeki.” (Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 315).
Ibn ‘Umar r.a. pula terkenal dengan sikapnya yang sangat menjaga kebajikan orang miskin. Beliau berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan orang miskin. Jika keluarganya menghalang orang miskin daripada bersama-sama dengan beliau, beliau tidak makan malam pada malam itu; bahkan apabila datang seorang pengemis ketika beliau sedang makan, beliau akan mengambil bahagiannya lalu bangun dan memberikannya kepada orang tersebut. (Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 392).
Berdasarkan Makarim oleh Ibn Abu al-Dunya, Hammad bin Abu Sulaiman pula memberi makanan untuk berbuka puasa setiap malam kepada lima puluh orang pada bulan Ramadan. Apabila tiba malam hari raya, beliau memakaikan mereka dengan pakaian dan memberi setiap seorang seratus dirham.
Satu ciri penting yang ada pada para salaf ialah perasaan takut seandainya amalan mereka tidak diterima, walaupun mereka sangat banyak beramal. ‘Abd al-‘Aziz bin Abi Rawwad berkata, “Aku sempat bertemu mereka (para salaf). Mereka bersungguh-sungguh melakukan amal soleh. Apabila mereka telah melakukannya, mereka ditimpa kebimbangan tentang adakah amalan mereka diterima ataupun tidak?” (Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 376).
Demikian keseimbangan yang indah antara kesungguhan beramal dengan perasaan takut terhadap penolakan Allah SWT. Walaupun mereka sangat tekun dalam ibadah dan tidak jemu meningkatkan amal soleh, mereka tetap tidak pernah berasa selesa atau bangga dengan amalan yang telah dilakukan. Sebaliknya, mereka sentiasa memandang diri dengan penuh kerendahan hati, menyedari kelemahan dan kekurangan sebagai hamba, serta menggantungkan sepenuh harapan kepada rahmat dan keampunan Allah SWT.
Mudah-mudahan dengan meneladani jejak langkah mereka, kita bukan sahaja dapat menghidupkan Ramadan dengan lebih bermakna, malah keluar daripadanya sebagai insan yang lebih dekat kepada Allah SWT, lebih lembut hatinya, dan lebih kuat semangatnya untuk istiqamah dalam ketaatan.