Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangUmat Islam sejak dahulu hingga kini menyambut Ramadan dengan penuh pengharapan dan kesungguhan. Jika kita menoleh ke belakang sejarah umat ini, kita akan mendapati bahawa generasi awal Islam yang dikenali sebagai salafussoleh mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan bulan yang penuh keberkatan ini.
Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, salaf bermaksud generasi sahabat Nabi Muhammad SAW, tabiin dan tabi tabiin yang hidup dalam lingkungan 300 tahun selepas Hijrah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia ialah generasiku, kemudian generasi selepas mereka, kemudian generasi selepas mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6429; dan Muslim, no. 2533).
Hadis ini menunjukkan bahawa sebaik-baik manusia ialah generasi yang hidup pada zaman Nabi Muhammad SAW, iaitu para sahabat, kemudian diikuti oleh generasi selepas mereka, iaitu para tabiin, dan seterusnya tabi tabiin.
Keutamaan mereka bukan semata-mata kerana mereka hidup lebih awal, tetapi kerana mereka menerima agama ini secara paling hampir dengan sumber wahyu, memahami al-Quran dan sunah secara langsung, serta mengamalkannya dengan penuh kejujuran dan kesungguhan. Kedekatan mereka dengan zaman kenabian menjadikan iman, akhlak dan pengamalan agama mereka lebih murni dan terpelihara daripada penyelewengan.
Antara amalan para salafussoleh ketika Ramadan termasuklah:
Ketika menyambut Ramadan, para salafussoleh menanti ketibaan bulan ini dengan penuh rindu dan doa. Diriwayatkan bahawa mereka berdoa selama enam bulan sebelum Ramadan agar dipertemukan dengannya, dan berdoa selama enam bulan selepasnya agar amalan mereka diterima oleh Allah SWT. Hal ini menggambarkan betapa Ramadan bukan sekadar rutin tahunan, tetapi merupakan ibadah besar dalam kehidupan mereka.
Antara doa yang sering disebut oleh para salaf termasuklah:
Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya bulan Ramadan, sejahterakanlah Ramadan itu bagiku dan terimalah daripadaku (ibadah pada bulan itu).”
Sikap ini mengajar kita bahawa hal yang lebih utama bukan sekadar banyak beramal, tetapi memastikan amalan itu dilakukan dengan ikhlas dan diterima di sisi Allah SWT. Mereka bukan sahaja bersungguh-sungguh beribadah, bahkan kehidupan mereka sentiasa disertai dengan doa, harapan dan perasaan takut kepada Allah SWT agar usaha yang dicurahkan tidak menjadi sia-sia.
Apabila masuk Ramadan, para salafussoleh benar-benar mengubah rutin kehidupan mereka dengan mengurangkan kesibukan dunia dan menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah.
Diriwayatkan bahawa apabila masuk Ramadan, Imam Malik bin Anas r.a. akan meninggalkan majlis hadis dan perbincangan ilmiah, lalu menumpukan diri kepada pembacaan al-Quran daripada mushaf. Begitu juga al-Zuhri, apabila masuk Ramadan, beliau berkata, “Sesungguhnya Ramadan hanyalah membaca al-Quran dan memberi makan kepada orang yang berpuasa.”
Sufyan al-Thauri pula, apabila masuk Ramadan, beliau meninggalkan banyak amalan lain dan memberikan fokus kepada tilawah al-Quran. Mereka benar-benar memahami nilai masa yang sangat berharga dalam bulan yang mulia ini, lalu mereka mengisinya dengan sebaik-baiknya.
Sikap ini sangat penting untuk kita renungkan pada hari ini. Dalam suasana moden yang penuh dengan gangguan media sosial, hiburan dan kesibukan kerja, Ramadan sering berlalu tanpa perubahan besar dalam kehidupan kita, sedangkan para salaf melihat Ramadan sebagai peluang keemasan yang tidak boleh disia-siakan.
Ibn al-Qayyim berkata: “Antara petunjuk Rasulullah SAW pada bulan Ramadan termasuklah memperbanyak jenis ibadah. Jibril a.s. akan bertadarus al-Quran bersama-sama dengan Baginda pada bulan Ramadan. Apabila Baginda bertemu Jibril a.s., Baginda lebih pemurah dengan kebaikan daripada angin yang bertiup kencang. Baginda manusia yang paling pemurah, dan amat pemurah sekali pada bulan Ramadan. Baginda memperbanyak sedekah, kebaikan, membaca al-Quran, solat, zikir dan iktikaf. Baginda mengkhususkan Ramadan dengan ibadah yang tidak dilakukan pada bulan lain.” (Zad al-Ma‘ad, 2/37).
Oleh sebab itu, para salafussoleh menunggu kedatangan Ramadan dengan penuh rindu dan harapan. Mereka menjadikannya sebagai bulan perlumbaan dalam ketaatan, kebaikan dan kebajikan. Mereka mempunyai keadaan yang istimewa dengan bulan yang mulia lagi diberkati ini.
Ramadan ialah bulan al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran … .” (Surah al-Baqarah 2:185). Oleh sebab itu, para salafussoleh menjadikan al-Quran sebagai teman utama mereka sepanjang Ramadan.
Hubungan antara Ramadan dengan al-Quran turut ditegaskan oleh sunah Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah r.a., disebutkan bahawa Jibril a.s. akan mengulang bacaan al-Quran bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW pada setiap tahun sekali, dan pada tahun kewafatan Baginda, Jibril a.s. mengulanginya sebanyak dua kali.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan al-Quran bersama-sama denganku pada setiap tahun sekali, dan pada tahun aku diwafatkan, dia mengulangnya bersama-sama denganku sebanyak dua kali.” (Hadis riwayat al-Bukhari no. 4998).
Hadis ini menunjukkan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan ibadah secara umum, bahkan merupakan bulan tadarus, penghayatan dan pengukuhan hubungan dengan al-Quran, sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Demikian amalan yang diwarisi dan dihidupkan oleh para salafussoleh dengan penuh kesungguhan dan kecintaan terhadap kalamullah.
Apabila kita meneliti keadaan para salafussoleh, kita akan mendapati bahawa mereka benar-benar mengagungkan al-Quran pada bulan Ramadan. Ibrahim al-Nakha‘i meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan setiap dua malam sekali. Qatadah pula biasanya mengkhatamkan al-Quran setiap tujuh hari, namun apabila tiba Ramadan, beliau mengkhatamkannya setiap tiga hari, dan pada sepuluh malam terakhir, beliau mengkhatamkannya setiap hari.
Mujahid pula diriwayatkan mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan sekali pada setiap malam. Al-Rabi‘ bin Sulaiman menyebut bahawa Imam Syafii mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali pada bulan Ramadan di luar bacaan dalam solat.
Semua contoh ini menggambarkan betapa para salafussoleh tidak memandang Ramadan sebagai bulan biasa, tetapi sebagai musim istimewa untuk mendekatkan diri kepada al-Quran. Walaupun kita mungkin tidak mampu meniru mereka dari segi jumlah khatam, namun semangat, keutamaan dan kesungguhan mereka wajar dijadikan teladan dalam usaha menghidupkan Ramadan dengan al-Quran.
Bersambung…