Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Puan Muda Perlis, Dulia Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Tadabbur dan Khatam al-Quran Peringkat Negeri Perlis 2026.
Majlis tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 1089 orang peserta pada tahun ini.
Majlis ilmu yang diadakan bersempena dengan kemuliaan bulan Ramadan itu telah berlangsung di Masjid al-Muqarrabin, Behor Empiang.
Turut berangkat memeriahkan majlis ialah anakanda puteri sulung baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, yang juga merupakan Penaung program berkenaan.
YAM Hajah Sharifah Khatreena menzahirkan ucapan tahniah atas komitmen sebanyak 47 buah masjid di seluruh negeri Perlis yang berjaya menganjurkan kira-kira 78 kumpulan tadarus pada tahun ini.
Beliau menyifatkan usaha murni tersebut sebagai cerminan komitmen umat Islam di Perlis dalam menghidupkan Ramadan dengan amalan berkat, selain menggalakkan pertambahan kumpulan tadarus di masjid.
Pada majlis yang sama, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada sebanyak 22 orang peserta tadarus berserta enam orang imam dan bilal masjid.
Terdahulu, aktiviti majlis dimulakan dengan sesi Tadarus dan Khatam al-Quran, sebelum diteruskan dengan sesi tadabbur yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar al-Hafiz.
Program tahunan ini merupakan anjuran Majlis Gabungan Persatuan Wanita Negeri Perlis (NCWO Perlis) di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Hajah Mastika Junaidah Husin. Program ini turut mendapat kerjasama erat daripada Pertubuhan Khidmat Wanita Negeri Perlis (PERWANIS) dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI).