Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited menganjurkan Majlis Berbuka Puasa 2026 bagi memanfaatkan keberkatan bulan Ramadan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan, sekali gus mempererat ukhuwah dalam kalangan warga DBP dan penduduk sekitar.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, umat Islam perlu memanfaatkan diri dengan melakukan ibadah serta memperkukuh ketakwaan kepada Allah SWT.
“Usaha ini bukan sahaja menghidupkan fungsi rumah ibadah secara fizikal, malah dapat meningkatkan kualiti kerohanian dalam kalangan masyarakat,” katanya di Surau Al-Hukama’, Wisma DBP, semalam.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut menzahirkan perasaan simpati dan keprihatinan berikutan konfilk yang melanda umat Islam di Lubnan serta Palestin, sekali gus mengajak para kariah untuk terus mendoakan kekuatan bagi para pejuang yang mempertahankan agama dan negara tersebut.
“Kehormatan umat Islam akan dipandang tinggi sekiranya memiliki kekuatan dan iktisab untuk mempertahankan agama serta tanah air.
“Demikianlah tuntutan agama agar kita mempunyai sikap keprihatinan dengan nasib saudara seagama kita,” ujarnya.

Menyentuh tentang bulan yang mulia ini, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar menyifatkan bulan Ramadan sebagai ruang terbaik bagi seluruh umat Islam untuk menyempurnakan ibadah serta menampung segala kekurangan diri melalui amalan yang diredai oleh Allah SWT.
“Mudah-mudahan kita semua dapat bertemu dengan lailatulqadar dan mengisi malam tersebut dengan ibadah sepenuhnya agar dapat memberikan makna sepanjang kehidupan kita,” jelasnya.
Pada masa yang sama, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyampaikan sumbangan kepada warga asnaf serta bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada sebahagian anak yatim, antaranya termasuklah anak kakitangan DBP.
Inisiatif murni ini merupakan manifestasi keprihatinan pihak pengurusan tertinggi DBP bagi menyantuni kebajikan ahli keluarga DBP serta golongan yang yang memerlukan untuk meringankan beban mereka membuat persiapan menyambut lebaran yang bakal menjelang.
Majlis turut diimarahkan dengan sesi perkongsian ceramah ilmu yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam, YBrs. Dr. Syed Shahrizan Syed Mohammed.

Yang turut hadir dalam Majlis Berbuka Puasa DBP 2026 termasuklah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; ketua-ketua bahagian; pegawai DBP; serta ahli Kariah Samping.