Diterbitkan pada 9 Mac 2026, 18:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramadan ialah bulan latihan rohani yang mendidik manusia untuk mengawal nafsu, memperbaik akhlak dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.

Ramadan juga merupakan peluang bagi wanita Muslimah untuk membaiki diri dan menyucikan jiwa. Antara bentuk pengabdian yang dizahirkan dalam kehidupan wanita Muslimah pada bulan puasa termasuklah pengajaran tentang keikhlasan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam sebuah hadis kudsi yang bermaksud, “Puasa itu adalah untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan makanan dan minuman kerana-Ku, dan meninggalkan syahwatnya kerana-Ku. Puasa itu adalah untuk-Ku, dan Aku yang akan membalasnya. Dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1894; Muslim, no. 1151).

Ramadan mendidik wanita agar menjaga rahsia antara dirinya dengan Allah SWT, dengan menjauhi perkara yang membatalkan puasa, serta memelihara amanah untuk menyempurnakannya dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Latihan keikhlasan dan kesabaran ini turut membentuk sikap dalam amalan lain yang dilakukan kerana mencari keredaan Allah SWT, sama ada dalam ibadah, dakwah, menuntut ilmu ataupun kerja kebajikan.

Bagi wanita, Ramadan ialah peluang besar untuk mengukuhkan kekuatan rohani di tengah kesibukan mengurus keluarga dan rumah tangga. Islam tidak memisahkan ibadah daripada kehidupan seharian. Setiap tugas seperti memasak, mengurus anak dan menjaga rumah, jika disertai niat yang betul, akan menjadi ibadah yang berpahala. Oleh itu, wanita Muslimah bukan sahaja meraih ganjaran melalui solat, puasa dan al-Quran, bahkan melalui khidmatnya kepada keluarga.

Antara Ibadah dengan Tanggungjawab Rumah Tangga

Satu daripada cabaran utama wanita pada bulan Ramadan adalah untuk mengurus masa antara ibadah dengan tanggungjawab rumah tangga. Tidak dapat dinafikan, persiapan berbuka, sahur dan keperluan keluarga memerlukan masa dan tenaga, namun Islam mengajar keseimbangan dalam kehidupan umatnya.

Masalah yang sering berlaku adalah apabila sebahagian besar waktu siang dihabiskan di dapur sehingga hampir tiada ruang untuk al-Quran, zikir dan doa, sedangkan Ramadan ialah bulan al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bulan Ramadan ialah bulan yang diturunkan padanya al-Quran.” (Surah al-Baqarah 2:185).

Ayat ini mengingatkan umat Islam bahawa Ramadan mempunyai hubungan yang sangat erat dengan al-Quran. Oleh sebab itu, wanita Muslimah perlu bijak menyusun keutamaan dengan cara memasak sekadar perlu, mengelakkan pembaziran masa dan tenaga, serta memberikan ruang yang mencukupi untuk ibadah.

Pada masa yang sama, zikir boleh menjadi teman ketika wanita melakukan kerja rumah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dua kalimah yang ringan pada lidah (untuk disebut), berat pada timbangan dan dicintai pula oleh al-Rahman, iaitu ‘subahanallah wa bihamdih, subhanallah al-‘azim’.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6682; Muslim, no. 2694). Dengan zikir dan niat yang betul, kerja harian juga boleh menjadi ladang pahala.

Wanita, Solat Tarawih dan Adab Beribadah

Solat tarawih adalah antara syiar Ramadan yang sangat besar pahalanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 37; Muslim no. 759).

Hadis ini menunjukkan keutamaan besar menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan ibadah, khususnya solat tarawih dan qiamullail, dengan dua syarat utama, iaitu iman dan ihtisab.

Iman bermaksud meyakini perintah Allah SWT dan kebenaran janji-Nya, manakala ihtisab bermaksud melakukannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT serta mengharapkan ganjaran daripada-Nya, bukan kerana riyak atau ingin dipuji manusia.

Sesiapa yang melaksanakan qiyam Ramadan dengan cara ini, Allah SWT menjanjikan keampunan dosa yang telah lalu (dosa kecil), sebagai satu kurniaan dan rahmat daripada-Nya. Hadis ini juga mendorong umat Islam agar bersungguh-sungguh menghidupkan Ramadan dengan ibadah kerana ganjarannya amat besar dan berlipat ganda.

Wanita juga dibenarkan untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat tarawih secara berjemaah dengan menjaga adab syarak. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu melarang kaum wanita pergi ke masjid. Akan tetapi, sebenarnya solat di rumah mereka itu adalah lebih baik bagi mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud, no. 567).

Hadis ini menunjukkan keluasan rahmat Islam apabila wanita boleh memilih untuk solat di masjid atau di rumah, dan kedua-duanya ada kebaikan. Yang penting ialah keikhlasan dan penjagaan adab, seperti menutup aurat dengan sempurna dan tidak memakai wangian yang boleh menarik perhatian.

Mendidik Anak dengan Roh Ramadan

Wanita, khususnya para ibu, mempunyai peranan besar untuk membentuk suasana Ramadan dalam keluarga. Anak belajar bukan hanya melalui nasihat, tetapi melalui contoh teladan. Apabila mereka melihat ibu menjaga solat, membaca al-Quran, berzikir dan bersabar, nilai tersebut akan tertanam dalam jiwa mereka.

Selain itu, Ramadan juga merupakan masa yang sangat sesuai untuk melatih anak mencintai ibadah secara berperingkat. Mereka boleh dibiasakan dengan amalan puasa mengikut kemampuan, diajak solat bersama-sama, didorong untuk bersedekah walaupun dengan jumlah yang kecil, dan dilibatkan dalam amalan mudah seperti menyediakan juadah berbuka untuk ahli keluarga. Semua amalan ini menanamkan sikap bertanggungjawab, empati dan kecintaan kepada kebaikan dalam diri mereka sejak usia awal.

Hal yang lebih penting, pendidikan Ramadan bukan sekadar bertujuan membentuk rutin sementara, tetapi untuk membina watak dan keperibadian jangka panjang. Apabila anak membesar dalam suasana yang menghargai masa, ibadah dan akhlak yang baik, mereka akan lebih mudah membawa nilai tersebut juga pada bulan lain dan tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja.

Ramadan sebagai Titik Perubahan

Ramadan dengan segala keistimewaan imannya dan keluasan ruang amal padanya seharusnya membimbing umat Islam, khususnya wanita, agar tidak menjadikan kesibukan pada bulan ini sekadar berkisar pada perkara yang sia-sia.

Ramadan wajar dijadikan titik permulaan kepada kebangkitan amal kebaikan dan pembaharuan peranan wanita dalam seluruh aspek kehidupan seperti menghidupkannya dengan membaca al-Quran, membanyakkan zikir dan doa, mengukuhkan tarbiah keluarga, serta menyuburkan semangat berdakwah dan berbuat kebajikan.

Sesungguhnya, Ramadan ialah peluang yang belum tentu akan kita temui pada tahun hadapan. Maka itu, beruntunglah wanita yang bijak memanfaatkan setiap saatnya untuk membina kekuatan iman, memperbaik diri dan membentuk generasi, agar Ramadan bukan sekadar menjadi musim ibadah yang berlalu, tetapi menjadi titik perubahan yang berpanjangan dalam perjalanan hidup menuju keredaan Allah SWT.


Penulis ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya Bachok, Kelantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi