Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Unit Integriti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Surau al-Hukama’ dan PUSPANITA DBP menganjurkan ceramah khas bertajuk “Membina Integriti Berteraskan al-Quran, Rasulullah SAW Ikon Kepimpinan dan Tadbir Urus Islam” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi tadi.
Ceramah tersebut disampaikan oleh Pegawai Staf 2 Agama Markas Tentera Darat, Leftenan Kolonel Haji Mohd Nai’m Haji Ahmad al-Hafiz.
Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan nilai kepimpinan Islam bagi memperkukuh penghayatan akhlak serta integriti dalam kalangan warga kerja DBP.
Menurut beliau, negara ini sedang bergelut dengan krisis integriti yang semakin meruncing dan tidak boleh ditegakkan melalui penguatkuasaan undang-undang semata-mata tanpa kekuatan rohani pada hari ini.
“Umat Islam diingatkan agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan sebagaimana tuntutan dalam Surah al-Anfal, ayat 27.
“Ayat tersebut bermaksud, ‘Dan janganlah engkau mengikut apa-apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT,’” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa amanah merangkumi pelbagai aspek kehidupan, daripada keluarga, pekerjaan, sehinggalah peringkat organisasi dan masyarakat yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
Tegas Leftenan Kolonel Haji Mohd Nai’m al-Hafiz, gejala seperti rasuah, pecah amanah, dan salah guna kuasa merupakan cabaran besar yang menjejaskan integriti masa ini, sekali gus membuktikan bahawa nilai tersebut tidak boleh dibina melalui undang-undang semata-mata tanpa kekuatan rohani dalam diri manusia.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengangkat Nabi Muhammad SAW sebagai ikon terbaik insan berintegriti sehingga Baginda digelar al–Amin atas sifat amanah yang dimiliki.

Jelas Leftenan Kolonel Haji Mohd Nai’m al-Hafiz, integriti dalam Islam merangkumi elemen utama, iaitu amanah, jujur (siddiq), adil dan takwa yang diterjemahkan sebagai pelaksanaan tanggungjawab secara jujur tanpa mengkhianati kepercayaan yang diberikan.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap nikmat kurniaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT seperti mata, telinga, dan hati akan dipertanggungjawabkan di hadapan-Nya, seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Isra’, ayat 36 yang membawa maksud:
“Janganlah engkau mengikut apa-apa yang tidak engkau ketahui; sesungguhnya pendengaran, pelihatan, serta hati – semua insan akan dipersoalkan tentang apa-apa yang telah dikerjakan.”
Beliau menambah bahawa bulan Ramadan merupakan bulan terbaik untuk mendidik manusia membina integriti melalui elemen takwa yang merangkumi perasaan takut kepada Allah, pengamalan al-Quran dan hadis, sifat bersyukur serta berasa cukup (qanaah), selain memperteguh diri untuk bertemu Allah SWT pada detik kematian.
“Elemen takwa menjadi asas utama dalam pembentukan insan berintegriti mengikut acuan Islam,” ujarnya lagi.