Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Pakar Rujuk Syariah di Jabatan Mufti Sarawak, Sahibus Samahah YBhg. Datu Haji Khalidi Haji Ibrahim secara rasminya dilantik sebagai Mufti Sarawak yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan tersebut dibuat bagi menggantikan YBhg. Datu Haji Kipli Yassin yang menamatkan perkhidmatannya berikutan persaraan beliau pada Sabtu lalu selepas lebih sedekad menerajui institusi keagamaan di negeri itu.
Majlis penyerahan tugas Mufti Sarawak berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada pagi tadi, dan disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Menelusuri latar belakangnya, Datu Haji Khalidi pernah berkhidmat dalam sektor awam di Sarawak selama lebih 30 tahun.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, antara portfolio penting yang pernah disandang oleh beliau termasuklah Penolong Setiausaha Majlis Islam Sarawak dan Pegawai Hal Ehwal Islam (Penyelidikan, Dakwah serta Pengurusan Masjid) di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Beliau juga merupakan mantan Pengarah JAIS yang menerajui jabatan tersebut bermula pada 21 Julai 2018 sehingga bersara pada 20 Mac 2024.
Kepimpinan beliau turut mendapat pengiktirafan apabila diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama Malaysia di Kementerian Perpaduan Negara, serta Ahli Majlis Penasihat Haji di Lembaga Tabung Haji.
Ketika ini, beliau menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) bagi tempoh lantikan selama dua tahun, bermula dari 3 Mei 2025 hingga 2 Mei 2027.