Diterbitkan pada 25 Februari 2026, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Maghrib ialah waktu yang ditunggu-tunggu pada bulan Ramadan. Waktu ini sinonim sebagai waktu berbuka puasa.

Nabi Muhammad SAW menyeru umat Islam untuk segera berbuka puasa dan makruh melewat-lewatkannya. Amalan ini menyalahi amalan ahli kitab yang suka melewat-lewatkan buka puasa.

Namun demikian, masalah timbul apabila umat Islam berlebih-lebihan ketika berbuka puasa. Perkara ini dapat dilihat dalam kalangan sebahagian umat Islam di Malaysia yang menyediakan pelbagai juadah secara berlebihan, serta makan dan minum tanpa kawalan. Akibatnya, mereka berasa mengantuk dan keletihan sehingga tidak lagi mampu melakukan ibadah atau aktiviti lain selepas berbuka.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata, “Nabi SAW berbuka dengan rutab (kurma basah) sebelum solat. Jika tiada rutab, Baginda berbuka dengan tamar (kurma kering). Jika tiada kurma, Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 696).

Apakah isu sebenar ketika berbuka puasa? Adakah amalan makan yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat Malaysia pada hari ini merupakan suatu kesalahan?

Pada hakikatnya, amalan tersebut bukanlah suatu kesalahan. Namun begitu, waktu maghrib merupakan waktu yang sangat singkat dan terhad. Maghrib bermula sebaik-baik sahaja matahari terbenam dan berakhir apabila hilang cahaya merah di langit, lalu ufuk menjadi gelap. Oleh itu, umat Islam disarankan agar tidak melengah-lengahkan ibadah pada waktu tersebut.

Menurut Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya yang masyhur, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, waktu Maghrib berakhir sekadar tempoh yang mencukupi untuk mengambil wuduk, menutup aurat, melaungkan azan, mendirikan iqamat, serta menunaikan solat lima rakaat. Lima rakaat yang dimaksudkan ialah tiga rakaat solat fardu Maghrib dan dua rakaat solat sunat.

Bayangkan dengan waktu yang sempit ini, amalan berbuka puasa secara bersungguh-sungguh semakin menyempitkan waktu maghrib dan mengakibatkan solat Maghrib tidak dilaksanakan secara sempurna. Kesempurnaan solat Maghrib dan solat yang lain boleh dinilai berdasarkan beberapa ciri. Antara ciri tersebut termasuklah melaksanakan solat pada awal waktu secara berjemaah, memakai pakaian terbaik, didahului dengan amalan bersugi (siwak), berwuduk secara sempurna, tidak tergesa-gesa, dan menunaikan solat dengan menyempurnakan semua rukun berserta perkara sunat ketika solat.

Secara umumnya, tahap solat Maghrib bagi orang berbuka puasa ada empat tahap, iaitu:

  1. Solat berjemaah di masjid atau di surau bersama-sama dengan keluarga dan masyarakat.
  2. Solat berjemaah di rumah bersama-sama dengan keluarga.
  3. Solat bersendirian.
  4. Tidak sempat mendirikan solat.

Amat mendukacitakan apabila situasi yang berlaku di Malaysia memperlihatkan sebahagian umat Islam tidak sempat menunaikan solat Maghrib kerana terlalu leka berbuka puasa, bahkan terdapat juga keadaan masjid atau surau tidak mendirikan solat Maghrib secara berjemaah kerana imam dan bilal turut sibuk berbuka bersama-sama dengan keluarga.

Situasi ini wajar diberikan perhatian kerana tidak selari dengan tuntutan syariat. Syiar Islam seharusnya ditegakkan. Kewajipan fardu kifayah, khususnya untuk mendirikan solat berjemaah di masjid dan di surau, hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Perkara yang perlu diberi perhatian ialah keutamaan solat Maghrib sebagai ibadah fardu. Tiada amalan sunat yang mampu menandingi kelebihan dan ganjaran yang terdapat pada ibadah fardu.

Sekiranya umat Islam bersungguh-sungguh menunaikan solat tarawih, maka sewajarnya difahami bahawa dari sudut keutamaan, solat sunat rawatib lebih utama daripada solat tarawih. Solat rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat fardu dan berkaitan rapat dengannya. Perbandingan ini sudah memadai sebagai isyarat bahawa solat fardu merupakan keutamaan tertinggi yang mesti disempurnakan terlebih dahulu sebelum memberikan perhatian kepada amalan sunat yang lain.

 

Menyeimbangkan Solat Maghrib dan Amalan Berbuka Puasa

Meraikan suasana di Malaysia, terdapat beberapa intervensi dan penyelesaian untuk menyeimbangkan antara amalan berbuka dengan solat Maghrib yang sempurna, iaitu:

  1. Berbuka puasa di masjid atau di surau.

Masjid dan surau boleh mengambil inisiatif dengan menganjurkan program iftar harian agar dapat dimanfaatkan oleh masyarakat awam. Sesiapa yang berbuka di masjid atau di surau, sudah tentu terikat dengan jadual solat. Masa berbuka diberikan sekitar 15 minit sebelum solat Maghrib berjemaah dikerjakan. Selain menjadi alternatif kepada masyarakat awam, imam dan bilal juga dapat melaksanakan tugasan mereka dengan sempurna.

  1. Menyediakan tempat untuk keluarga berbuka di masjid atau di surau.

Jika masjid atau surau tidak mampu menganjurkan program berbuka puasa, sekurang-kurangnya sediakan ruang untuk mana-mana individu atau keluarga yang berhasrat berbuka di masjid atau di surau. Ruang itu tidak semestinya berada di kawasan masjid atau surau, mungkin berada di ruang terbuka di luarnya. Sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia mencari lokasi terbuka untuk berbuka puasa bersama-sama dengan keluarga atau rakan taulan. Aktiviti bertukar juadah dan menjamu orang makan juga boleh diamalkan selari dengan konsep ini.

  1. Menyediakan tapak bazar Ramadan yang berdekatan dengan masjid atau surau.

Pembukaan bazar Ramadan berdekatan dengan masjid atau surau merupakan langkah yang baik kerana memudahkan pengunjung untuk berhenti berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat Maghrib secara berjemaah. Walau bagaimanapun, sekiranya tiada kawasan yang sesuai berhampiran dengan masjid atau surau untuk membuka bazar, pihak penganjur boleh mempertimbangkan penyediaan ruang solat khas di kawasan bazar tersebut, lengkap dengan imam yang dilantik. Inisiatif ini dapat memastikan ibadah fardu seperti solat Maghrib tidak diabaikan oleh para pengunjung. Kini, pelaksanaan solat Jumaat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) seperti di Hentian R7R Seremban menunjukkan bahawa kemudahan ibadah boleh disesuaikan mengikut keperluan semasa. Maka itu, tidak salah sekiranya pendekatan yang sama diaplikasikan di bazar Ramadan demi memelihara keutamaan ibadah fardu.

  1. Mengamalkan kempen “solat dahulu baru berbuka”.

Kempen “solat dahulu, baru berbuka” bukanlah bermaksud sebaik sahaja azan berkumandang, seseorang itu perlu terus menunaikan solat tanpa menjamah apa-apa. Sebaliknya, yang dimaksudkan ialah berbuka secara ringan terlebih dahulu, seperti dengan kurma dan air, kemudian menunaikan solat Maghrib, dan selepas itu barulah menikmati hidangan utama.

Konsep ini boleh diringkaskan sebagai KSM, iaitu “Kurma, Solat dan Makan”. Amalan ini sebenarnya sudah biasa dipraktikkan dalam majlis tertentu, khususnya apabila penganjur bimbang waktu Maghrib menjadi sempit atau terlepas dalam keadaan solat belum ditunaikan kerana terlalu leka berbuka. Pendekatan ini bukan bertujuan menyusahkan, tetapi untuk memastikan keutamaan ibadah fardu tetap terpelihara tanpa menafikan keharusan menikmati juadah berbuka.

Kedatangan Ramadan yang penuh berkat dengan tarbiah yang sempurna daripada Allah SWT sememangnya memerlukan penelitian dari setiap sudut kehidupan agar ibadah puasa yang dilakukan dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan Allah SWT membantu seluruh umat Islam untuk sentiasa memperbaik amalan seharian.


Penulis ialah Pensyarah Akademik, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi