Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali Ramadan menjelma, sering timbul tanggapan bahawa bulan puasa ialah bulan yang memperlahankan rentak kerja. Segelintirnya menganggap tenaga, tumpuan dan produktiviti akan menurun.
Puasa sering dianggap seolah-olah menjadi penghalang kepada rutin kerja yang dilaksanakan seperti biasa. Pada hakikatnya, persoalan ini bukanlah tentang Ramadan, tetapi tentang kefahaman kita terhadap makna dan tuntutannya. Benarkah ibadah yang difardukan oleh Allah SWT untuk mendidik manusia boleh menjadi musuh bagi kualiti kerja dan amal bakti terhadap majikan dan tempat kerja?
Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 183 bahawa puasa diwajibkan agar manusia mencapai takwa. Takwa bukan sekadar lafaz yang diulang-ulang dalam khutbah, tetapi suatu kesedaran rohani yang mendalam bahawa setiap gerak dan diam manusia berada dalam pengawasan Allah SWT. Kesedaran inilah yang membentuk disiplin dalaman.
Orang yang bertakwa tidak bekerja semata-mata kerana takut dimarahi oleh majikan, tetapi kerana berasa dirinya sentiasa berada di hadapan Tuhan yang Maha Mengawasi setiap tindakannya. Demikian kesedaran yang melahirkan integriti dan ketelitian dalam tugas.
Dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan bahawa manusia akan melihat hasil usahanya sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan bahawa sesungguhnya seseorang itu tidak memperoleh (apa-apa), melainkan apa-apa yang diusahakannya.” (Surah al-Najm 53:39). Ayat ini meletakkan asas bahawa usaha merupakan satu daripada tuntutan agama.
Islam tidak pernah memisahkan antara ibadah dengan kerja, bahkan kerja yang dilakukan dengan niat yang benar termasuk dalam ruang ibadah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa-apa yang diniatkannya … .” (Hadis riwayat al-Bukhari, no.1). Apabila niat diperbetul, kerja harian berubah menjadi ladang pahala dan bernilai ibadah. Oleh sebab itu, setiap Muslim perlu sentiasa memerhatikan dan mengislahkan niat sebelum bekerja.
Sejarah Islam membuktikan bahawa Ramadan bukan bulan kemunduran. Peristiwa Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Umat Islam pada ketika itu berpuasa dan berada dalam keadaan serba kekurangan. Namun demikian, Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 123 bahawa Allah SWT telah menolong mereka ketika mereka dalam keadaan lemah. Kemenangan itu bukan hasil kekuatan fizikal semata-mata, tetapi hasil keyakinan dan pergantungan pada Allah SWT. Ramadan tidak melemahkan semangat mereka, bahkan memurnikan tekad dan keberanian sehingga berjaya mengalahkan pihak musuh.
Puasa pada hakikatnya melatih manusia menguasai diri. Menahan lapar dan dahaga sepanjang hari bukan sekadar ujian jasmani, tetapi latihan mental dan rohani. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Orang yang kuat bukanlah orang yang mengalahkan orang lain (dalam gusti), tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6114). Puasa mengasah kekuatan dalaman ini. Orang yang mampu mengawal keinginan asasnya lebih berupaya mengawal tekanan kerja dan cabaran hidup dalam alam pekerjaan.
Imam al Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menjelaskan bahawa tujuan puasa adalah untuk melemahkan nafsu yang sering menjadi punca kelalaian. Apabila nafsu dilemahkan, akal menjadi lebih jernih dan hati lebih mudah menerima cahaya hidayah. Kejernihan tersebut melahirkan tindakan yang lebih fokus dan berkesan. Dalam erti kata lain, melahirkan produktiviti yang berkualiti. Puasa bukan mengurangkan tenaga rohani, bahkan menajamkan kesedaran tentang makna kehidupan agar lebih produktif.
Daripada Sayidatina Aisyah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah Azzawajalla menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (bersungguh-sungguh dan sempurna).” (Hadis riwayat al-Baihaqi, no. 4929, 4930 dan 4931).
Itqan menuntut ketelitian dan kesungguhan dan Ramadan mengajar disiplin yang menjadi asas kepada itqan. Tindakan bangun awal untuk sahur, menahan diri sepanjang hari daripada perkara yang membatalkan puasa, serta menjaga lisan dan pandangan ‒ semuanya membina keupayaan mengawal diri. Orang yang terlatih mengawal diri akan lebih tekun dan konsisten dalam pekerjaan.
Selain itu, Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Ra‘d ayat 28 bahawa dengan mengingati Allah SWT, hati menjadi tenang. Ketenangan ialah faktor penting dalam produktiviti. Banyak manusia yang sibuk, tetapi gelisah. Banyak pekerjaan dilakukan, tetapi hati tidak pernah puas. Ramadan menghidupkan zikir, solat dan tilawah al-Quran. Hubungan yang rapat dengan Allah SWT melahirkan ketenangan batin. Daripada ketenangan, lahirnya kerja yang lebih berkualiti dan keputusan yang lebih bijaksana.
Memang benar ada yang merasakan prestasi mereka menurun pada bulan Ramadan. Namun demikian, keadaan tersebut berlaku bukanlah berpunca daripada puasa, tetapi pada pengurusan yang tidak teratur. Berbuka secara berlebih-lebihan, tidur lewat tanpa disiplin dan kurang perancangan menyebabkan tubuh menjadi lesu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidaklah anak Adam memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan untuk menegakkan tulang belakangnya. Sekiranya dia mesti (menambah), maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.”
(Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2380).
Hadis ini menegaskan bahawa kesederhanaan dalam pemakanan merupakan tuntutan rohani yang mendidik disiplin diri. Dengan mengawal nafsu dan tidak berlebih-lebihan, seseorang mampu mengekalkan keseimbangan antara keperluan jasmani dengan kekuatan rohani, sekali gus membentuk peribadi yang lebih teratur, cergas dan berdaya tahan untuk melaksanakan amanah kehidupan.
Ramadan juga mendidik jiwa agar lebih berempati dan peka terhadap realiti sosial. Seseorang yang merasai lapar dan dahaga akan lebih mudah memahami penderitaan golongan fakir dan miskin. Daripada pengalaman itu, lahirnya sifat ihsan dan tanggungjawab yang mendorong seseorang untuk bekerja bukan sekadar demi kepentingan diri, tetapi demi manfaat masyarakat seluruhnya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “… Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong pada perkara dosa dan permusuhan … .” (Surah al-Ma’idah 5:2). Ayat ini menjadi asas bahawa produktiviti dalam Islam tidak terbatas kepada pencapaian atau keuntungan peribadi semata-mata, bahkan merangkumi sumbangan yang membawa kebaikan bersama, memperkukuh kesejahteraan sosial, serta membina masyarakat yang saling membantu dalam kebaikan dan ketakwaan.
Pada akhirnya, setiap manusia perlu merenung kembali akan tujuan penciptaannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat 51:56). Ibadah meliputi seluruh kehidupan yang tunduk kepada perintah Allah SWT. Apabila kerja dilihat sebagai amanah dan ibadah, maka Ramadan bukan penghalang, tetapi pendorong bagi membentuk jiwa yang lebih kental kerana biasa menghadapi kesukaran; menyuburkan semangat untuk memberikan yang terbaik kerana sedar setiap usaha diperhatikan oleh Allah SWT.
Ramadan bukanlah musuh produktiviti, tetapi madrasah yang meluruskan makna produktiviti. Kekuatan sebenar tidak dilihat pada kekenyangan dan keselesaan, sebaliknya pada disiplin dan kesedaran.
Jika difahami dengan benar, Ramadan merupakan bulan untuk kita memperteguh langkah untuk sampai kepada reda Ilahi. Apabila kita benar-benar menghayati makna sebenar roh Ramadan, segala bisikan yang mengajak kita menjadi lesu, malas dan culas akan mampu kita tepis dengan penuh keteguhan.
Penulis ialah Profesor Madya di Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.