Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan bahawa proses tawaran haji bagi musim 1447/2026 berjalan dengan lancar dan kuota rasmi yang diperuntukkan telah diisi sepenuhnya oleh jemaah haji.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata, TH telah menerima sekitar 85 000 permohonan rayuan haji bagi musim 1447H berbanding dengan kuota tahunan sebanyak 31 600 pada tahun ini.
“Alhamdulillah, dengan inisiatif penambahbaikan TH terutamanya peringatan agar bakal jemaah membuat persediaan, kuota haji rasmi negara telah dapat dipenuhi lebih awal pada tahun ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendedahkan bahawa kadar penangguhan bagi musim ini mencatatkan penurunan yang sangat ketara, iaitu hanya 18 peratus, berbanding dengan 50 peratus pada musim 1446H yang lalu.
“Berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi, TH mengambil keputusan untuk menutup permohonan bermula pada 1 Ramadan 1447H,” jelasnya lagi.
Walau bagaimanapun, Tuan Haji Mustakim menjelaskan bahawa permohonan rayuan yang diterima sebelum tarikh tutup akan dipertimbangkan oleh TH.
Beliau menjelaskan, sekiranya berlaku kekosongan saat akhir akibat pembatalan, pengisian akan dilaksanakan daripada senarai rayuan sedia ada berdasarkan merit dan kriteria yang ditetapkan.
TH merakamkan ucapan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh semua bakal jemaah sepanjang proses tawaran musim ini berlangsung.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, TH akan terus menumpukan usaha bagi memastikan kelancaran operasi haji pada musim 1447H.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April 2026, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei 2026, diikuti dengan hari wukuf pada 26 Mei 2026.