Diterbitkan pada 15 Februari 2026, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan pelarasan waktu bekerja bagi penjawat awam di negeri ini dengan kebenaran pulang seawal jam 12.30 tengah hari pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan 1447H/2026M.

Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketetapan itu akan bermula pada 19 Februari hingga 20 Mac 2026.

Demikian kata Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy setelah pelarasan waktu bekerja tersebut diperkenankan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, baru- baru ini.

Waktu bekerja bagi penjawat awam di negeri Pahang pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan akan bermula selewat-lewatnya pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.

“Kerajaan negeri memahami kepentingan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah.

“Oleh itu, pelarasan ini dibuat dengan penuh tanggungjawab bagi memberikan keseimbangan antara tuntutan tugas dengan penghayatan Ramadan tanpa mengabaikan komitmen penjawat awam kepada rakyat,” tambahnya lagi.

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menzahirkan keyakinan bahawa seluruh penjawat awam di negeri Pahang akan terus mengekalkan profesionalisme, integriti dan komitmen yang tinggi bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepanjang bulan mulia tersebut.

“Semoga Ramadan tahun ini membawa keberkatan dan memperkukuh semangat khidmat bakti kita kepada negeri Pahang Darul Makmur,” ujarnya.

Kredit Foto: Facebook Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi