Diterbitkan pada 15 Februari 2026, 23:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zulhilmi Shalehuddin melaporkan perkongsian daripada Felow Pusat Pengajian Islam Oxford, England, YBhg. Dato’ Dr. Afifi Al-Akiti dalam program Festival Kreativiti dan Inovasi Islam (ICIF) 2025 pada 14 Ogos 2025 di Auditorium Pusat Penerangan Islam, Majlis Islam Sarawak.

Saling mengenalilah (antara kita) agar kita mampu bertindak dan berlumba-lumba dalam kerja kebaikan. Jika kita memahaminya, perkara ini merupakan misi yang sangat mudah apabila Allah SWT meletakkan kita di dunia ini.

Kita sedang lena. Bangunlah! Inilah tujuan agama untuk mengejutkan kita, sama ada Muslim ataupun Kristian. Pada asasnya, setiap agama mengajar perkara yang sama supaya bangun daripada tidur ini untuk berlumba-lumba melakukan kerja kebaikan.

(YBhg. Dato’ Dr. Afifi Al-Akiti, Kuching, 14 Ogos 2025)

Wacana mengenai “pertembungan Timur dengan Barat” serta “iman dengan kemanusiaan” sebenarnya merangkumi konteks yang lebih luas, iaitu pertemuan dunia Islam dengan dunia bukan Islam, dan kedudukan umat Islam dalam konteks tersebut. Dalam usaha menghubungkan elemen keimanan dengan elemen kemanusiaan, cabaran utamanya ialah pendekatan seseorang yang beriman mengikat dirinya dengan nilai kemanusiaan sejagat yang turut diyakini oleh golongan bukan Islam, dan begitu juga sebaliknya.

Konsep Etika dan Nilai Sejagat dalam Tradisi Islam

Apabila kita menelusuri hubungan antara keimanan dengan kemanusiaan, satu aspek yang ditekankan ialah persoalan mengenai etika. Secara etimologinya, kata “etika” bukan berakar daripada bahasa Arab, malah bukan istilah asal dalam tradisi Islam. Sebaliknya, perkataan ini daripada bahasa Yunani Purba (Ancient Greek), ethos yang bermaksud keperibadian atau karakter.

Daripada istilah ethos, perkataan ini berevolusi – terutamanya menerusi penulisan saintis dan ahli falsafah seperti Aristotle – menjadi perkataan ethikos. Dalam bahasa Latin, perkataan ini diterjemahkan sebagai ethica, lalu diserap ke dalam bahasa Perancis Lama (Old French) dengan isitilah éthique sebelum menjadi kosa kata bahasa Inggeris, ethics pada abad ke-15M.

Para sarjana kebiasaannya membezakan antara etika dengan moral. Walaupun kadangkala berlaku kekeliruan apabila majoriti sarjana dan ahli falsafah menggunakan kedua-duanya secara berganti-ganti, perbezaan nuansa tetap wujud. Sesetengah mereka mentakrifkan etika sebagai sesuatu yang bersifat teori kerana etika bukan sahaja merangkumi persoalan tentang adab yang baik, tetapi juga konsep kebaikan secara menyeluruh.

Adapun istilah moral pula berasal daripada bahasa Latin, moralis yang bermaksud adab atau tatasusila. Moral dilihat sebagai sesuatu yang lebih praktikal seperti perlakuan karakter buruk dan karakter baik.

Penjelasan ini amat signifikan untuk kita memahami bahawa istilah berkenaan bukanlah terminologi yang lahir dalam tradisi kita, tetapi telah diadaptasi mengikut kesesuaian nilai sejagat. Kita sering kali terperangkap dengan persepsi bias budaya ketika menentukan sesuatu yang dianggap islamik atau sebaliknya.

Sesungguhnya, keindahan Islam terpancar menerusi sifatnya kesejagatannya (universal). Mana-mana kawasan yang didatangi oleh Islam sudah pasti mampu beradaptasi menjadi sebahagian daripada identiti budaya setempat. Pada masa yang sama, prinsip ajarannya tetap utuh berteraskan nilai etika yang tidak dibatasi oleh masa dan tempat.

Falsafah Kepelbagaian Manusia dan Hakikat Takwa

Firman Allah SWT yang bermaksud,

Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku-suku puak supaya kamu berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

(Surah al-Hujurat 49:13).

Ungkapan “wahai manusia” dalam ayat ini merupakan sapaan umum Allah SWT buat seluruh umat manusia, merangkumi orang beriman, ahli kitab, dan mereka yang tidak percaya kepada Tuhan.

Persoalan utama tercetus daripada kunci utama ayat ini, iaitu “Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku”. Mengapakah Allah SWT menciptakan manusia dengan pelbagai ras, bahasa dan kepercayaan? Soalan ini merupakan hal metafizik dan falsafah yang kita perlu tafakur.

Tujuannya adalah untuk saling mengenal seperti ungkapan masyhur yang sering didengari, “tak kenal, maka tak cinta.” Proses mengenal ialah asas kepada kasih sayang dan hubungan yang erat.

Selain itu, ayat ini turut menegaskan bahawa kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT diukur melalui ketakwaan. Perihal sebenar yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah orang yang melakukan sesuatu yang terbaik. Dalam konteks sosial, takwa hanya boleh diterjemahkan melalui perbuatan baik sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah r.a. yang bermaksud,

Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberikan manfaat kepada orang lain.

(Hadis riwayat al-Tabarani, no. 5787).

Oleh itu, orang yang bertakwa ialah orang yang takut akan Allah SWT, menyedari bahawa kewujudannya di dunia ini merupakan satu ujian, dan menuntut mereka berkelakuan baik sesama manusia. Perkara inilah merujuk asas etika Islam yang sebenar.

Perbezaan sebagai Medan Ujian

Pemahaman terhadap Surah al-Hujurat ayat 13 sebelum ini tidak akan lengkap tanpa meneliti ayat yang berkaitan rapat dengannya, iaitu Surah al-Ma’idah ayat 48 yang bermaksud,

… Dan jika Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa-apa yang disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu hal yang kamu berselisihan padanya.

Ayat ini amat menakjubkan kerana memaparkan satu hipotesis rabbani menerusi ungkapan “jika Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat” yang menganut agama yang sama, serta memiliki bahasa dan ras yang sama. Namun demikian, dunia sebegitu pastinya membosankan dan tidak memenuhi tujuan penciptaan.

Allah SWT menegaskan bahawa kepelbagaian ini wujud kerana Dia mahu menguji manusia dengan apa-apa yang telah dikurniakan-Nya. Kehidupan dunia ini ibarat taman permainan dan ujian sementara buat manusia. Sayidina ‘Ali bin Abu Talib r.a. pernah berkata,

Manusia itu (sebenarnya) sedang tidur, apabila mereka mati, barulah mereka terjaga.

Realitinya, ketika manusia terjaga di alam akhirat kelak, barulah mereka menyedari hakikat sebenar. Di sana, Allah SWT akan menjelaskan sebab penciptaan-Nya yang berbeza-beza dan perselisihan yang berlaku dalam kalangan manusia. Agama datang bertujuan mengejutkan kita. Oleh itu, usah bersengketa soal perbezaan, sebaliknya berlumba-lumbalah melakukan kebaikan (fastabiqu al-khairat). Kita harus meraikan kepelbagaian ini sebagai manifestasi “kesatuan dalam kepelbagaian”.

Jejak Warisan Islam dalam Sistem Pendidikan Barat

Etika dan sistem nilai yang dibawa oleh Islam mempunyai sifat kesejagatan (universal) yang melangkaui sempadan agama dan bangsa, sehingga mampu diadaptasi sebagai model pembangunan peradaban dunia.

Bukti paling jelas terhadap pengaruh ini dapat dilihat pada sejarah penubuhan Universiti Oxford, England sekitar 900 tahun lalu. Tidak banyak menyedari bahawa institusi tersohor ini pada asalnya berfungsi persis sebuah “madrasah” untuk penganut Kristian. Struktur kolejnya diinspirasikan secara langsung daripada sistem pondok dan madrasah di dunia Islam.

Pengaruh sistem pendidikan Islam ini diterjemahkan oleh Canselor Diraja (Lord Chancellor), Walter de Merton. Beliau telah mengadaptasi instrumen wakaf dalam penubuhan Kolej Merton (Merton College) pada tahun 1264, sekali gus menjadi kolej pertama di Oxford yang beroperasi berasaskan dana kekal (endowment).

Bagi memperkukuh kelangsungan kolej tersebut, Merton kemudiannya memurnikan Statut Pengasasan Kolej Merton (The Foundation Statutes of Merton College) pada tahun 1270. Dokumen ini digubal khusus untuk menetapkan status kolej sebagai harta kekal (perpetuity) yang tidak boleh dijual beli atau diwarisi, sebagaimana prinsip wakaf dalam Islam.

Naratif ini diperkuat lagi dengan peranan Raja Edward I (1239–1307) tatkala pulang ke England daripada Perang Salib ke-9 (1271–1272) setelah gagal menawan Baitulmuqaddis di bawah pemerintahan Kesultanan Mamluk. Beliau membawa pengamatan yang penting dari dunia Islam mengenai gagasan instrumen wakaf. Konsep wakaf inilah pada akhirnya menjadi model inspirasi kepada perkembangan undang-undang Inggeris berkaitan dengan dana amanah (trust funds).

Moto Universiti Oxford dalam bahasa Latin, Dominus Illuminatio Mea (Tuhan ialah Cahayaku) yang dipetik daripada Kitab Zabur (Psalms) kekal menjadi peringatan bahawa asas penubuhan universiti tersebut adalah untuk mengajar ilmu agama. Meskipun institusi tersebut telah berkembang pesat dalam disiplin sains moden, cogan kata ini tetap menunjukkan kepentingan sumber ilmu pengetahuan daripada cahaya Ilahi.

Pengaruh etika Islam terhadap Barat turut diakui oleh sejarawan gereja terkemuka, Profesor Diarmaid MacCulloch bahawa tamadun Islam mengajar dunia Barat tentang nilai etika “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agreeing to disagree) serta seni kehidupan masyarakat majmuk yang meraikan “kesatuan dalam kepelbagaian” (unity in diversity).

Kesimpulannya, inti pati Surah al-Hujurat ayat 13 dan Surah al-Ma’idah ayat 48 saling melengkapi antara satu dengan lain. Hikmah di sebalik perbezaan agama dan budaya dijadikan oleh Allah SWT bukan suatu kebetulan, tetapi sebagai medan ujian untuk melihat golongan manusia yang terbaik amalannya. Usah membuang masa bersengketa soal perbezaan, umat manusia seharusnya kembali memanifestasikan fitrah, akhlak, dan etika yang tinggi melalui dialog antara agama dan peradaban yang harmoni.


Penulis merupakan penolong editor bagi majalah Dewan Tamadun Islam di Dewan dan Bahasa Pustaka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi