Diterbitkan pada 5 Februari 2026, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Allah SWT memberikan kelebihan kepada bulan tertentu berbanding dengan bulan yang lain untuk dimanfaatkan oleh manusia bagi meningkatkan amalan kepada Allah SWT. Bermula dengan Rejab, diikuti Syabaan dan Ramadan pasti dihiasi dengan pelbagai amal soleh bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Rejab, Syaaban dan Ramadan hadir sebagai tiga fasa tarbiah rohani yang mengajar manusia tentang makna istiqamah dalam beramal. Rejab membuka pintu kesedaran dengan seruan kembali kepada Allah SWT melalui taubat, pembaikan niat dan pengekangan dosa. Bulan tersebut sebagai medan awal untuk melatih jiwa agar tidak menangguhkan kebaikan, sebagaimana peringatan Rasulullah SAW agar tidak menunggu petang ketika berada pada pagi hari, dan tidak menunggu pagi ketika berada pada petang hari.

Syaaban pula menjadi bulan kesinambungan, tempat amalan kecil dipelihara agar tidak terputus. Dalam bulan ini, Rasulullah SAW memperbanyak puasa sebagai isyarat bahawa istiqamah tidak semestinya bermula dengan amalan besar, tetapi dengan kesetiaan terhadap amalan yang berterusan. Syaaban mendidik hati agar tidak lemah selepas Rejab dan tidak ghairah sementara menunggu Ramadan, sebaliknya terus konsisten dalam ibadah, doa dan akhlak.

Ramadan akhirnya hadir sebagai kemuncak latihan istiqamah, bukan sekadar sebulan menahan lapar dan dahaga, tetapi medan pembinaan disiplin rohani yang menyeluruh. Namun begitu, kejayaan Ramadan tidak diukur pada semangat awalnya, sebaliknya pada kemampuan mengekalkan amalannya sehingga akhir dan sesudahnya. Maka itu, istiqamah beramal sepanjang Rejab, Syaaban dan Ramadan mengajarkan bahawa perjalanan menuju Allah SWT bukan langkah yang tergesa-gesa, tetapi rentak yang tetap, sabar dan berterusan sehingga akhir hayat.

Bilangan bulan di sisi Allah SWT ialah 12 bulan, dan empat daripadanya merupakan bulan haram, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Setiap bulan Islam mempunyai keistimewaan serta peristiwa bersejarah seperti Asyura, kelahiran Nabi Muhammad SAW, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban dan ibadah haji. Selain bulan, terdapat juga hari tertentu yang mempunyai kelebihan seperti hari Jumaat. Waktu sepertiga malam pula merupakan saat paling afdal untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Hal yang demikian menunjukkan bahawa peluang mengejar kebajikan itu sentiasa terbuka luas setiap waktu dan detik. Maka itu, umat Islam digalakkan untuk sentiasa melazimkan diri dengan amalan yang berpahala dalam tempoh 24 jam hayat yang diberikan oleh Allah SWT dan diulang-ulang setiap hari.

Darjat amalan berpahala itu bergantung pada beberapa keadaan, seperti keikhlasan seorang mukmin melakukan pekerjaan tersebut dan keelokannya melaksanakan ajaran Islam dalam kehidupannya. Tuntutan bersegera untuk membuat kebajikan sangat digalakkan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran 3:133).

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bersegeralah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah seperti kegelapan malam yang gelap-gelita; pada waktu pagi seseorang itu beriman, namun pada petangnya dia menjadi kafir, dan pada waktu petang dia beriman, namun pada paginya dia menjadi kafir. Dia menjual agamanya demi memperoleh habuan dunia.” (Hadis riwayat Muslim).

Kelebihan umat Islam Nabi Muhammad SAW berbanding dengan umat terdahulu adalah dari sudut ganjaran pahala dalam melakukan sesuatu amalan. Amat banyak peluang yang disediakan oleh Allah SWT untuk direbut oleh sekalian umat Islam. Sehubungan dengan itu, kita digalakkan melakukan ketaatan tanpa perlu bertangguh atau berlengah lagi. Tidak salah berlumba-lumba untuk membuat kebajikan kerana galakan itu secara jelas disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud, “… Bersegeralah (dalam) melakukan kebaikan … .” (Surah al-Baqarah 2:148).

Dalam al-Quran, ayat ini diulang sekali lagi, iaitu pada ayat 48, Surah al-Ma’idah. Hal ini menunjukkan bahawa pelaksanaan sesuatu amalan kebajikan perlu dilakukan segera tanpa perlu bertangguh-tangguh. Ayat tersebut juga menjadi rujukan kepada seluruh manusia untuk melakukan amal jariah sebagai usaha untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Sewajarnya juga niat untuk meningkatkan amalan dan melakukan kebaikan tidak ditetapkan pada waktu tertentu sahaja. Sama seperti galakan bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT atas kesalahan yang dilakukan, tidaklah wajar ditangguhkan.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar r.a. yang bermaksud, “Apabila engkau berada pada waktu pagi, janganlah engkau menunggu hingga petang; dan apabila engkau berada pada waktu petang, janganlah engkau menunggu hingga pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Gesaan memanfaatkan lima perkara sebelum datangnya lima perkara menjadi peringatan penting supaya insan merebut peluang beramal selagi ada keselesaan dan kemampuan, iaitu waktu muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati, dan sihat sebelum sakit. Amalan kebaikan yang dilakukan pada masa ini sepatutnya dimaksimumkan agar setiap nikmat hidup dapat digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Rejab, Syaaban dan Ramadan bukan sekadar bulan dalam takwim Islam, tetapi madrasah untuk membina istiqamah dalam beramal. Kebaikan yang dilakukan secara konsisten, walaupun kecil, lebih bernilai di sisi Allah SWT daripada amalan besar yang bersifat sementara. Istiqamah memerlukan usaha, kesabaran dan mujahadah berterusan agar selepas Ramadan, roh beramal terus subur dalam ibadah, akhlak dan cara hidup, seterusnya menjadikan setiap detik peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi