Diterbitkan pada 26 Januari 2026, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengemukakan tiga syor utama bagi memastikan cadangan penubuhan jawatankuasa khas belia di masjid seluruh negara dapat dilaksanakan secara impak dan inklusif.

Menurut Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam kenyataannya pada Isnin, antara syor tersebut termasuklah jawatankuasa berkenaan perlu diberikan peranan yang sebenar untuk merancang dan melaksanakan program masjid.

Selain itu, pihaknya turut mencadangkan supaya masjid dibangunkan sebagai ruang mesra anak muda yang mendidik dan menyantuni berasaskan hikmah, dialog dan bimbingan berterusan.

Tambah beliau, anak muda juga wajar diperkasakan sebagai penggerak dakwah hikmah dan hubungan kemasyarakatan menerusi pendekatan program seperti Mosque Tour Guide yang terbukti berkesan bagi membina kefahaman dan keharmonian, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk.

Beliau menegaskan bahawa pengurusan masjid perlu mengamalkan pendekatan inklusif dengan memastikan akses dan penyertaan anak muda orang kurang upaya agar tiada golongan terpinggir daripada kehidupan beragama dan kemasyarakatan.

“Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun dan konsisten, ABIM berpandangan inisiatif itu wajar diperkasakan pada peringkat nasional melalui satu kerangka panduan bersama yang menghormati bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Sehubungan dengan itu, pihaknya mencadangkan penganjuran Persidangan Khas Belia Masjid Se-Malaysia sebagai platform penyelarasan, perkongsian amalan terbaik dan penzahiran suara anak muda.

“Anak muda sebenarnya memerlukan ruang, peranan dan kepercayaan.

“Apabila peluang dan bimbingan diberikan, belia mampu menghidupkan masjid dengan nafas baharu tanpa mengorbankan roh dan kesuciannya,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa ABIM menyambut baik komitmen kerajaan untuk memperkasakan peranan anak muda di masjid melalui cadangan penubuhan jawatankuasa khas belia di masjid seluruh negara.

Dalam kenyataan itu, ABIM menyifatkan langkah tersebut amat strategik dalam usaha mengembalikan peranan masjid sebagai pusat tarbiah, pembangunan ummah dan pembinaan akhlak generasi muda, yang dinilai selari dengan fungsi masjid pada zaman Rasulullah SAW.

“Masjid pada asasnya bukan sekadar ruang ibadah, tetapi pusat ilmu, penyatuan masyarakat dan pembinaan insan.

“Peranan ini perlu dihidupkan semula dengan memberikan tempat yang wajar kepada generasi muda,” ujar beliau lagi.

Beliau menambah bahawa kejayaan inisiatif itu bergantung pada kejelasan mandat dan keberanian pelaksanaan, selain kepercayaan sebenar terhadap kebolehan anak muda.

“Jika tidak dilaksanakan dengan jelas dan berani, kita bimbang perkara tersebut hanya menjadi satu lagi struktur pentadbiran yang bersifat simbolik tanpa membina rasa memiliki dalam kalangan belia,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar jawatankuasa khas anak muda di setiap masjid ditubuhkan untuk memperkasakan peranan belia dalam pembangunan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan pada Ahad menyatakan bahawa pihaknya sedang meneliti cadangan tersebut bagi memperkukuh peranan dan penyertaan belia dalam aktiviti keagamaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi