Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarilah kita meningkatkan iman dan memperteguh takwa. Taatilah Allah SWT dengan sepenuh jiwa ketika berhadapan dengan pelbagai dugaan berat untuk mengawal nafsu dan ujian duniawi. Insaflah, dunia hanyalah persinggahan sementara, sedangkan akhirat ialah negeri yang abadi.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memakan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang batil; dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada para hakim dengan maksud supaya kamu dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta benda orang lain dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah 2:188).
Untuk mendapat kehidupan yang diberkati, setiap Muslim wajib memastikan rezeki yang diperoleh ialah rezeki yang halal. Rezeki yang halal akan membawa berkat, mendamaikan hati, menenangkan jiwa dan insya-Allah, dapat mendekatkan diri kita dengan Allah SWT.
Setiap manusia wajib menghindarkan diri daripada memperoleh pendapatan atau harta yang tidak patuh syariah melalui penipuan, riba, pecah amanah, rasuah, mengurangkan timbangan, memakan harta anak yatim, mencuri, merompak, menyamun dan seumpamanya. Ingatlah, pada hari kebangkitan di padang mahsyar, manusia akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT mengenai rezeki yang diperoleh dan cara membelanjakannya.
Umat manusia juga hendaklah berhati-hati dalam ikhtiar mencari rezeki. Kita wajib memperingatkan diri bahawa apa-apa juga pendapatan atau rezeki yang diterima, akan digunakan untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga. Islam menuntut umatnya bekerja dengan bersungguh-sungguh dan memastikan rezeki diperoleh melalui sumber yang halal.
Biarlah rezeki yang diperoleh, secara zahir kelihatan sedikit, tetapi dipastikan halal; berbanding dengan rezeki yang secara zahir kelihatan banyak, tetapi bercanggah dengan syariat Islam. Hal ini akan mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT, selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang dagingnya tumbuh daripada (makanan) haram, maka neraka lebih layak baginya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Menerima dan memakan harta yang haram atau tidak patuh syariah akan memberikan kesan buruk pada ibadah, iman, doa, akhlak dan kehidupan manusia.
Apa-apa juga ibadah seperti sedekah, infak, zakat dan wakaf daripada sumber yang haram atau tidak patuh syariah tidak diterima oleh Allah SWT. Meskipun banyak melakukan ibadah, doa juga sukar dimakbulkan Ilahi dan akan tersekat akibat daripada sumber rezeki yang haram.
Oleh itu, bekerja dan berusahalah mencari rezeki yang halal lagi berkat dengan hati yang ikhlas, bukan semata-mata kerana upah dan gaji, tetapi lebih penting memenuhi amanah sebagai seorang hamba dan khalifah Allah SWT di bumi ini; dengan penuh keinsafan bahawa setiap yang kita lakukan akan dipersoalkan pada hari kebangkitan. Apabila setiap orang menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, masyarakat akan hidup dalam keberkatan dan insya-Allah, negara akan dilimpahi kemakmuran.
Antara pendapatan ataupun rezeki yang terhasil sebagai harta tidak patuh syariah dan wajib dihindari termasuklah:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-87, yang bersidang pada 23 Jun hingga 25 Jun 2009 berpandangan bahawa harta yang diperoleh dengan cara seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan dan seumpamanya merupakan harta tidak patuh syariah.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak melalui Warta Kerajaan Negeri Perak bertarikh 25 September 2014 menetapkan harta dan pendapatan hasil melalui perkara yang dinyatakan itu, hukumnya tidak patuh syariah dan hendaklah diserahkan kepada Baitulmal untuk kegunaan maslahah umum. Akan tetapi, jika diketahui pemiliknya, harta tersebut hendaklah dikembalikan kepadanya.
Umat Islam seharusnya menyemai azam dalam diri untuk memastikan pendapatan dan rezeki yang diperoleh benar-benar daripada sumber yang patuh syariah. Pekerjaan yang dilakukan, baik bekerja di sektor awam, swasta, mahupun bekerja sendiri, bukan sekadar untuk memenuhi keperluan dunia, tetapi merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT pada hari kiamat.
Insaflah! Ketika manusia dibicarakan di mahkamah Rab al-Jalil, tidak ada peguam bela untuk mengolah cerita rekaan bagi membela kesalahan yang pernah dilakukan oleh manusia; tidak ada juga ruang untuk seseorang menegakkan benang basah kerana setiap anggota tubuh akan menjadi saksi yang tidak akan berdusta di hadapan Allah SWT Yang Maha Mengetahui.
Umat Islam seharusnya mengambil pengajaran daripada peringatan Ilahi seperti yang terkandung dalam Surah al-Mukminun, ayat 51:

Maksudnya: “Wahai para rasul, makanlah daripada (makanan) yang baik-baik dan lakukanlah kebajikan! Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa-apa yang kamu lakukan.”
Terdapat tiga perkara yang perlu diingati sebagai panduan bagi umat manusia, iaitu:
(Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 9 Januari 2026, bertajuk “Rezeki Halal Hidup Berkat Berlandaskan Syariat”)