Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 23:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Penganjuran Program Amali Sembelihan 2025 pada Sabtu memberikan peluang kepada 320 orang pelajar Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) mendalami dan meningkatkan kefahaman berkaitan dengan ilmu penyembelihan.

Program anjuran Unit Pendidikan Islam dan Moral, KMPh dengan kerjasama Jawatankuasa Surau al-Muttaqin KMPh dan Persatuan Islamic Centre of Muttaqin (ICOM) itu berlangsung di Surau al-Muttaqin pada Sabtu.

Sepanjang program ini berlangsung, para peserta didedahkan dengan tatacara penyembelihan mengikut hukum syarak menerusi ceramah yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Pendidikan Islam dan Moral KMPh, Ustaz Ismail Jusoh.

Sesi tersebut amat penting bagi memastikan para peserta memahami rukun dan syarat penyembelihan yang halal dan sah sebelum menjalani proses amali.

Selain itu, perkongsian turut merangkumi pengurusan penyembelihan yang bukan sahaja menjamin kebersihan, malah memastikan daging haiwan sembelihan yang diperoleh adalah selamat dan sihat untuk dimakan.

Keterujaan dalam kalangan para peserta semakin dirasai apabila mereka tampil untuk merasai sendiri pengalaman menyembelih binatang dengan bimbingan para fasilitator semasa sesi amali.

Pengarah KMPh, YBrs. Puan Hajah Latiza A. Latif menzahirkan rasa gembira dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar KMPh dalam program berkenaan.

Menurut beliau, mereka bukan sahaja tekun mengikuti ceramah yang disampaikan, malah berjaya mengaplikasikan ilmu penyembelihan yang telah dipelajari.

“Kefahaman dan pengamalan ilmu ini yang mematuhi syariat dalam penyediaan makanan merupakan tanggungjawab bersama tanpa mengira jantina,” ujar beliau.

Sementara itu, selaku wakil penganjur, Rohimah Zakaria menyatakan bahawa program ini merupakan acara tahunan yang sentiasa dinantikan oleh para pelajar.

“Sambutan pada tahun ini sangat menggalakkan, dan keadaan ini menunjukkan minat generasi muda untuk mendalami ilmu agama secara praktikal,” ujarnya.

“Tugas mencari yang halal lagi bersih merupakan kewajipan bagi setiap individu Muslim, dan semoga pengalaman ini menjadi bekalan ilmu yang berguna buat semua peserta,” tambah beliau lagi.

Pada masa yang sama, program ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi kolej, iaitu Timbalan Pengarah KMPh, YBrs. Encik Riedznan Sutrisno dan Ketua Jabatan Sastera Ikhtisas dan Sains Sosial KMPh, YBrs. Puan Umi Khalsum Ab Aziz.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi