Diterbitkan pada 13 Disember 2025, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Nilai kemanusiaan sentiasa menjadi teras utama dalam usaha Kerajaan MADANI memperkasakan ekonomi negara serta memperluas penggunaan teknologi tinggi bagi memastikan kemajuan negara yang seimbang dan berterusan.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kuala Lumpur dan Putrajaya, YBrs. Encik Zairudin Hashim, ketika merasmikan Program Forum Kefahaman Malaysia MADANI yang dianjurkan YADIM dengan kerjasama Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), di Dewan A, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), pada 10 Disember lalu.

Menurut Encik Zairudin, pembangunan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek material dan fizikal semata-mata, bahkan perlu disertai pembinaan akhlak, nilai moral serta kemanusiaan yang kukuh.

Katanya, pendekatan tersebutlah yang menjadi asas kepada gagasan Malaysia MADANI.

“Malaysia MADANI merupakan satu gagasan besar untuk membina negara bangsa yang maju, seimbang, progresif dan beretika.

“Kemajuan teknologi dan ekonomi perlu berjalan seiring dengan pengukuhan nilai akhlak, keadilan sosial serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau menambah, gagasan tersebut turut mengambil inspirasi daripada sejarah kegemilangan tamadun Islam seperti pembangunan kota Madinah dan Andalusia, yang berjaya melahirkan masyarakat berilmu serta maju tanpa mengabaikan nilai agama dan kemanusiaan.

“Konsep pembangunan berteraskan nilai Islam dan prinsip murni ini bertujuan melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak, sejahtera serta bersatu padu dalam kepelbagaian kaum dan latar belakang,” ujarnya.

Program Forum Kefahaman Malaysia MADANI merupakan sebahagian daripada lebih 1000 program dakwah yang dirancang dan dianjurkan YADIM di seluruh negara sempena Program Dakwah Negara 2025.

Program Dakwah Negara 2025 telah dirasmikan penganjurannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar mulai 19 November 2025.

Program serta aktiviti dakwah yang dianjurkan sehingga 15 Disember 2025, bertemakan “Membangun Adab, Membina Negara” selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang memandu agar program dakwah dapat dilaksanakan dengan pendekatan yang tersusun, inklusif dan berimpak tinggi.

Forum berkenaan menampilkan tiga tokoh akademik dan pendakwah sebagai panelis, iaitu YBrs. Profesor Dr. Haji Azizan Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Dr. Zulaiha Ali Othman dari UKM, serta Ustaz Abu Bakr Mohd Sidek dari Akademi Baitul Maqdis.

Sesi forum dikendalikan oleh Dr. Razali Maarof dari HALUAN selaku moderator.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi