Diterbitkan pada 26 November 2025, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Muktamar Belia Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kali ke-54 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) pada Sabtu menumpukan keperluan pemerkasaan belia Islam melalui pembinaan ilmu, adab dan kepakaran bagi melahirkan agen perubahan sosial yang matang dan berwibawa.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam ucapan dasar beliau menggariskan keutamaan ABIM ketika ini adalah untuk mengatasi krisis kemanusiaan domestik dan global menerusi dakwah, advokasi serta khidmat masyarakat.

Bertemakan “Generasi Nusa Madani: Menerajui Anjakan Masa Hadapan”, beliau berkata pendekatan pencerahan yang lebih segar dan terbuka amat penting untuk gerakan tersebut terus relevan dan mampu berinteraksi dengan golongan muda dalam kalangan Generasi Z.

Selain itu, Setiausaha Agung ABIM, Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri dalam suatu kenyataannya berkata, muktamar pada kali menjadi satu titik peralihan penting dalam hala tuju strategik ABIM sebagai gerakan kepimpinan belia Islam bagi mendepani realiti Generasi Z dan cabaran dunia pascanormal.

”Muktamar berkenaan turut memperkukuh fokus perjuangan ABIM termasuk visi Generasi Nusa Madani sebagai asas pembinaan negara bangsa beradab yang berteraskan nilai Ilahi, selain memperteguh amalan Fiqh al-Tamkin sebagai mekanisme membina masyarakat berintegriti,” jelas Ahmad Fawwaz.

Tambah beliau, ABIM dalam ketetapan muktamarnya menyeru kepimpinan negara agar lebih berhati-hati dalam percaturan geopolitik serantau serta memastikan suara masyarakat MADANI diperkasakan.

”Dari aspek pembangunan belia, ABIM menegaskan iltizamnya memperkukuh kepimpinan generasi muda melalui pelbagai platform seperti Youth-Adult Partnership, Naqib dan Akademi Nuqaba serta institusi pendidikan ABIM,” katanya lagi.

”Usaha memperkasakan masyarakat juga diberikan perhatian melalui advokasi pendidikan awal kanak-kanak dan keselamatan sosial keluarga muda,” jelas beliau.

Dalam perkembangan yang lain, Seminar Peradaban MADANI 2025 turut diadakan bersempena dengan muktamar berkenaan dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (tengah) ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Seminar Peradaban MADANI 2025.

”Bagi membina semula peradaban dalam suasana dunia yang tidak menentu, keadaan tersebut tidak boleh hanya dibina dengan slogan, sebaliknya memerlukan asas pemikiran yang jelas sebagai panduan,” jelas beliau dalam ucapan perasmiannya.

Ujar Zulkifli, Gagasan MADANI penting untuk direalisasikan sebagai proses islah dan tajdid yang menyeluruh kerana gagasan itu menjadi kerangka pemikiran peradaban yang bertujuan mengangkat kembali nilai manusiawi.

Sementara itu, muktamar tersebut turut menyaksikan Ahmad Fahmi Mohd Samsudin kekal menyandang jawatan Presiden ABIM setelah barisan kepimpinan baharu pertubuhan itu bagi sesi 2025–2027 diumumkan.

Selain itu, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff pula terpilih memegang jawatan Timbalan Presiden manakala Muhamad Aliemran Norasid, Dr. Fatin Nur Majdina Nordin, Adli Zakuan Zairakithnaini, Dr. Mohamad Haeqal Ishak dan Salman Mohd Yusop sebagai Naib Presiden.

Barisan kepimpinan pertubuhan itu yang dipilih bagi penggal akan datang juga memperlihatkan Muhammad Dzul Aiman Zulkefly menjawat jawatan Penolong Setiausaha Agung dan Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim selaku Setiausaha Kewangan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi