Diterbitkan pada 25 November 2025, 00:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penindasan terhadap Muslim Moro bermula sejak Filipina dijajah oleh Sepanyol pada kurun ke-14, dan diikuti oleh Amerika Syarikat pada tahun 1898. Penghijrahan penduduk dari utara ke selatan Filipina mengakibatkan jumlah masyarakat Muslim Moro semakin berkurangan. Kesan kolonialisme menjadikan mereka sebagai komuniti minoriti di Filipina. Keadaan ini bertambah buruk apabila Pemerintah Republik Filipina (GRP) melaksanakan dasar pentadbiran yang menindas Muslim Moro.

Konflik di Filipina kemudiannya memuncak sejurus terjadinya peristiwa pembunuhan penganut Islam di Pulau Corrigedor pada 18 Mac 1968. Peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai Jabidah (Jabidah Massacre) yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan GRP, dilihat sebagai rancangan pembunuhan umat Islam secara besar-besaran. Tragedi tersebut menjadi pencetus kebangkitan gerakan pemisah di Filipina.

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) merupakan gerakan yang telah mencapai persetujuan dengan pemerintah Filipina sewaktu pentadbiran Presiden Benigno Aquino III. Menurut Ruhanas Harun (2017), suatu perjanjian yang dikenali sebagai Comprehensive Agreement on The Bangsamoro telah ditandatangani pada 27 Mac 2014. Melalui pemeteraiannya, MILF bersetuju menggugurkan tuntutan penubuhan negara merdeka dan menggantikannya dengan pentadbiran autonomi yang lebih luas. Namun begitu, gerakan ini sering dilabelkan sebagai pengganas. Sorotan sejarah turut menyatakan bahawa wujudnya unsur keganasan dalam perjuangan MILF. Berdasarkan persepsi inilah timbul persoalan, adakah teras pembebasan Islam MILF bermatlamatkan perdamaian (pasifisme) atau mempunyai elemen ekstremis (terorisme) dalam perjuangan? Penulisan ini bakal menjawab persoalan tersebut dengan merujuk dua keratan akhbar The Canberra Times yang menjadi rujukan utama serta beberapa rujukan lain sebagai hujah sokongan.

Keratan Akhbar Pertama: “The Philippines Moslems Agree to Truce”

Keratan akhbar ini bertarikh 18 Januari 1987. Media telah melaporkan bahawa berlakunya pertempuran antara tentera Filipina dengan MILF. Jumlah korban dianggarkan sekitar 50 000 orang. Peristiwa ini merupakan insiden keganasan yang paling buruk dalam tempoh sedekad. Situasi tersebut berlaku ketika Presiden Corazon Aquino dalam perjalanan untuk berunding dengan MILF. Pada masa yang sama, beliau juga berkempen untuk meraih undi rakyat Filipina serta melakukan perundingan tuntutan kuasa autonomi Muslim Mindanao.

Pada pandangan Ariel R. Caculitan (2005) dalam penulisannya yang berjudul Negotiating Peace with The Moro Islamic Liberation Front in The Southern Philippines, pertempuran tersebut mencerminkan pendekatan ketenteraan dan strategi gerila MILF sebagai “organisasi politik–ketenteraan”. Situasi ini dibuktikan dengan kewujudan sayap ketenteraan MILF, iaitu Angkatan Bersenjata Islam Bangsamoro (BIAF). Shamsuddin L. Taya (2009) dalam bukunya, Strategies and Tactics of The Moro Islamic Liberation Front (MILF) in The Southern Philippines berpendapat bahawa adaptasi ketenteraan yang digunakan oleh MILF ialah taktik serang dan berundur (hit-and-run) sejak penubuhannya, iaitu dari tahun 1970-an hingga awal tahun 1990-an. Dalam tempoh ini, MILF telah mempunyai beberapa kem tentera yang kebanyakannya berpusat di Mindanao Tengah.

Keratan akhbar ini juga memaparkan dua tuntutan utama MILF terhadap GRP, iaitu tuntutan semula kemerdekaan serta penubuhan negara dan kerajaan Islam yang berdaulat. Mohd Irwan Syazli Saidin dan Mohammad Agus Yusoff (2022) dalam Separatisme dan Terorisme di Asia Tenggara: Kajian Kes GAM, MILF dan PULO berkata, tuntutan MILF tersebut meliputi aspek ekonomi, hak politik, kebebasan mengamalkan ajaran Islam, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan wilayah. Agenda menubuhkan negara dan kerajaan Islam bertujuan mengembalikan zaman kegemilangan Selatan Filipina di bawah pemerintahan Islam dari kurun ke-14 hingga kejatuhan institusi kesultanan terakhir, Sultan Jamal ul-Kiram II (1894–1936).

Pengasas dan pemimpin MILF, Salamat Hashim menegaskan bahawa gerakan pemisah tersebut tidak akan menerima sebarang penyelesaian selain kemerdekaan. Bagi beliau, tiada entiti yang merdeka selain penubuhan negara dan berkerajaan sendiri. Oleh itu, MILF memperkenalkan struktur pentadbiran Islam, termasuk Tribunal Tertinggi Revolusi Islam dan Majlis As-Syurah. Sebagai contoh, Mahkamah Agung Islam MILF ditubuhkan sebagai asas kepada pembentukan negara dan kerajaan yang ditadbir melalui syariah dan undang-undang Islam. Majlis As-Syurah MILF pula berperanan sebagai badan legislatif dalam penggubalan undang-undang dan pembentukan dasar berpandukan kerangka Islam.

Sebagai sebuah gerakan pembebasan Islam, MILF turut berjuang bagi menegakkan kalimah tauhid. Mereka memberikan jaminan kepada umat Islam bahawa istilah “jihad” mempertahankan hak Bangsamoro merupakan sebahagian daripada perjuangan memuliakan kalamullah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan menjadi milik Allah agama itu keseluruhannya tetapi jika mereka berhenti, maka sesesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

(Surah al-Anfal 8:39)

Keadaan ini menyebabkan MILF menganggap perjuangan membebaskan hak Bangsamoro daripada kawalan politik, ekonomi, sosial dan budaya GRP merupakan tanggungjawab melaksanakan peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Hasilnya, MILF bertindak menolak sistem sekular GRP dan ingin melaksanakan sistem Islam dalam semua aspek ketatanegaraan.

Keratan Akhbar Kedua: “The Fragile Peace”

Keratan akhbar ini bertarikh 30 Januari 1987. Laporan akhbar berkaitan dengan kewujudan gerakan pembebasan lain, iaitu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF). MILF bukanlah satu-satunya gerakan pemisah di selatan Filipina yang menggunakan pendekatan paramilitari untuk melaksanakan perjuangannya. Pada peringkat awal, MILF merupakan sebahagian daripada anggota MNLF. Perpecahan dalam jawatankuasa pusat MNLF disebabkan oleh perbezaan ideologi dan pendapat antara Nur Misuari dengan Salamat Hashim membawa kepada kemunculan MILF.

Pada tahun 1977, Salamat Hashim mengetuai gerakan pemisah yang terdiri daripada pejuang dari Mindanao Tengah setelah berlakunya perselisihan dengan MNLF. Kebanyakan anggotanya daripada etnik Maguindanao, Maranao dan Iranun. MILF sebagai gerakan baharu menekankan kepentingan pembaharuan Islam sebagai sebahagian daripada perjuangan penentuan nasib sendiri.

Selain itu, interaksi antara GRP dengan MILF turut dinyatakan dalam keratan akhbar tersebut. Pada awalnya, kepimpinan MILF menyedari keperluan diplomasi dengan GRP, tetapi berlaku perselisihan dalaman tentang hal tersebut. Dalam situasi ini, beberapa Ahli Jawatankuasa Pusat MILF menentang rundingan damai GRP–MILF kerana melihat usaha itu sia-sia. Yolanda Tandio et.al. (2017) dalam penulisan yang bertajuk Faktor Pendorong Moro Islamic Liberation Front (MILF) untuk Menandatangani Framework Agreement of Bangsamoro (FAB) dengan Pemerintah Filipina pada Tahun 2012 berpandangan bahawa MILF juga melihat kegagalan perjanjian damai GRP–MNLF sebelumnya, Perjanjian Tripoli yang ditandatangani pada tahun 1976.

Pemeteraiannya merupakan tuntutan autonomi dan rundingan perdamaian yang begitu rapuh antara kedua-dua belah pihak. Tambahan pula, terdapat insiden pemberontakan terhadap kerajaan walaupun MILF telah menandatangani perjanjian gencatan senjata. Isu pergolakan antara GRP–MILF sentiasa berterusan, bermula dari tahun penubuhannya pada tahun 1977 hingga awal 2000-an. Keadaan itu masih berlarutan sehingga perjanjian damai yang melibatkan campur tangan beberapa buah negara luar muktamad pada tahun 2014.

Kesimpulannya, laporan kedua-dua akhbar menunjukkan bahawa MILF terlibat dalam insiden pertempuran, tuntutan kemerdekaan dan penubuhan negara berkerajaan Islam, perpecahan daripada gerakan pemisah terdahulu serta hubungan dengan GRP. Kesemuanya membentuk karakter dan dinamika hala tuju perjuangan MILF. Tuntutan MILF yang dikemukakan melalui saluran politik dan beberapa siri rundingan sering kali menemui kegagalan. Keadaan ini mendorong MILF tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan kekerasan untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa umumnya dan GRP khususnya untuk menyuarakan tuntutan mereka.

Berdasarkan analisis hujah yang telah dikemukakan, gerakan MILF cenderung ke arah terorisme berbanding dengan pasifisme. Secara tidak langsung, hal ini menggambarkan bahawa MILF sebagai kumpulan ekstremis Muslim di Filipina. Dari perspektif Islam, setiap perjuangan mestilah berlandaskan niat kerana Allah SWT semata-mata. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan Allah SWT memberikan satu misalan, sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah SWT itu, maka Allah SWT menimpakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan hal yang mereka telah lakukan.

(Surah al-Nahl 16:112)

Dalam ayat lain, Allah SWT turut menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud:

Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.

(Surah al-An‘am 6:82)

Ayat ini menjelaskan bahawa segala keadaan huru-hara, kezaliman dan peperangan yang berlaku disebabkan oleh kecenderungan manusia kepada keganasan berbanding dengan jalan perdamaian bagi memikul amanah mentadbir sesebuah negara.


Muhamad Afiq Azizi Razali merupakan pelajar dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi