Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTahukah anda bahawa umat Islam pernah menguasai pelbagai ilmu yang dikuasai oleh Barat pada hari ini?
Kenyataan sebegini mungkin janggal jika diucapkan pada era 1980-an atau 1990-an. Namun begitu, atas kesedaran dalam kalangan umat Islam malah masyarakat Barat yang menilai semula sejarah tamadun dunia, mereka mengakui bahawa umat Islam pernah membina sebuah tamadun dunia yang hebat. Artikel ini mengajak pembaca menyelami Zaman Keemasan Islam suatu ketika dahulu.
Wahyu dan Hadis Mengangkat Keilmuan
Permulaan budaya ilmu dalam Islam tentu sekali bermula dengan penurunan wahyu pertama melalui firman Allah SWT yang ulung, iaitu “iqra’” yang bermaksud “bacalah”. Dr. Raghib al-Sirjani dalam bukunya, Sumbangan Peradaban Islam pada Dunia menyatakan ketakjuban beliau ketika menghitung kalimah ilmu dalam al-Quran yang mencapai sebanyak 779 kali. Hal ini menunjukkan al-Quran mengangkat tema ilmu sebagai unsur penting dalam kehidupan manusia.
Begitu juga hadis yang mengangkat darjat orang yang berilmu sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Para ulama ialah pewaris nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, sebaliknya hanya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mengambil bahagian yang lengkap (daripada harta pusaka para nabi).” (Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis ini menunjukkan ketinggian darjat orang berilmu sebagai pewaris tugas kenabian, iaitu memelihara, menyebarkan dan menghidupkan ajaran Islam dalam masyarakat. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, bahkan memastikan umat terus berada pada landasan yang benar serta membina peradaban yang berasaskan wahyu. Oleh itu, kedudukan ulama dihormati kerana peranan besar mereka untuk menjamin kelestarian agama dan kesejahteraan ummah.
Masjid Bukan Sekadar Tempat Ibadah
Bayangkan anda berada di masjid pada zaman sahabat. Pada ketika itu, anda melihat halaqah ilmu di sana sini dengan orang di sekeliling halaqah tersebut khusyuk mendengar setiap butir kalimah yang disampaikan. Demikian realiti yang berlaku pada zaman sahabat. Ketika zaman sahabat, Masjid Nabawi menjadi medan umat Islam mempelajari ilmu.
Dikisahkan oleh seorang ulama tabiin, Makhul ibn Abi Muslim, bahawa para sahabat dan tabiin pada zaman awal Islam sering berkumpul dalam halaqah ilmu di masjid untuk mengingatkan masyarakat tentang keutamaan al-Quran. Para sahabat utama seperti Abu Hurairah, Jabir bin Abdillah dan al-Bara’ bin Azib turut memiliki halaqah ilmu tersendiri. Melalui halaqah tersebut, ilmu hadis, tafsir dan pengajaran al-Quran disebarkan dengan meluas kepada generasi selepas mereka.
Di dalam sebuah masjid, terkadang terdapat beberapa halaqah ilmu pada waktu yang sama. Contohnya masjid Amru bin al-Asr di Fustat, Mesir mencatatkan sebanyak 40 halaqah yang menjadi pusat ilmu. Kegiatan ilmu di masjid ini sentiasa mendapat sambutan luar biasa. Masjid al-Azhar yang selesai pembinaanya pada tahun 361H juga pernah menjadi pusat keilmuan tersohor dalam dunia Islam dan para penuntut ilmu di masjid tersebut mencapai sebanyak 750 000 orang yang terdiri daripada orang Arab dan bukan Arab.
Infak Pemerintah dan Pembesar
Antara rahsia kejayaan kepesatan gerakan memakmurkan majlis ilmu termasuklah peranan khalifah pada ketika itu yang sentiasa memastikan berlaku perkembangan ilmu. Mereka percaya bahwa infak kepada perkembangan ilmu perlu sentiasa menjadi keutamaan.
Sebagai contoh, Universiti Nizamiyyah Baghdad yang selesai dibangunkan pada tahun 459H diberikan infak oleh Nizam al-Mulk bagi membiayai pensyarah dan ilmuwan sebanyak 300 ribu dinar setahun. Khalifah al-Muntasir Billah, khalifah ke-11 dalam khilafah Abbasiyah pada setiap hari Khamis dalam bulan Rejab turun ke Sekolah al-Muntasyiriyyah bersama-sama dengan segala pembesarnya. Baginda akan memberikan jamuan kepada pensyarah, pelajar serta alim ulama yang dijemput dari seluruh penjuru dunia.
Sultan Muhammad al-Fateh tatkala mendengar terdapat ilmuwan yang memerlukan keperluan atau ditimpa kemudaratan, baginda akan segera menitahkan agar segala keperluan mereka diselesaikan secepatnya. Bukan sahaja khalifah, para pembesar dan saudagar kaya turut menjadikan rumah mereka sebagai pusat ilmu untuk masyarakat dan mereka turut menyediakan saraan kepada setiap pelajar yang hadir.
Lonjakan Penghasilan Buku
Untuk menggambarkan betapa pesatnya perkembangan ilmu pada zaman tersebut, perhatikan sahaja jumlah buku yang tersimpan di perpustakaan besar ketika itu. Pada era awal penggunaan teknologi kertas, setiap buku masih ditulis dan disalin sepenuhnya dengan tangan. Walaupun begitu, koleksi ilmu yang terkumpul sangat menakjubkan. Universiti Cordoba, misalnya, memiliki sekitar 600 000 jilid buku merangkumi pelbagai bidang.
Ibn Miskawayh, seorang ahli sejarah, ketika meneliti perpustakaan milik menteri Ibn al-‘Amid pada zaman Bani Buwaihah berkata, “Tidak ada sebuah perpustakaan pun yang menandingi kehebatan perpustakaan ini. Jumlah bukunya begitu banyak, merangkumi segala disiplin ilmu dan perbahasan, daripada hukum hingga adab, hampir mencapai seratus wiqr.” (Satu wiqr merujuk muatan yang boleh dipikul oleh seekor binatang tunggangan seperti unta.)
Al-Qalqasyandi, pegawai kerajaan pada era Mamluk, turut mencatatkan bahawa koleksi buku dalam dunia Islam terbahagi kepada tiga yang terbesar. Yang pertama ialah koleksi khalifah Abbasiyah di Baghdad, yang jumlah bukunya tidak dapat dihitung dan tiada tandingannya dari segi mutu. Koleksi kedua terbesar berada di Kaherah, manakala yang ketiga ialah koleksi Cordoba.
Bagi menggambarkan betapa luasnya khazanah ilmu di Baitul Hikmah, para sejarawan menyatakan bahawa ketika tentera Mongol menyerang Baghdad pada tahun 1258, Baitul Hikmah turut musnah bersama-sama kota itu. Ribuan buku dan manuskrip yang menjadi khazanah ilmu umat Islam dibakar atau dicampakkan ke dalam Sungai Tigris. Tragedi ini sering disebut sebagai satu daripada kehilangan intelektual terbesar dalam sejarah Islam, sekali gus menandakan runtuhnya sebuah era keilmuan yang gemilang.
Daripada himpunan kisah tersebut, terserlah betapa hebatnya ilmu diangkat dalam ketamadunan Islam. Bermula dengan semulia-mulia al-Quran dan hadis, terserlah dalam amalan para sahabat, khalifah serta rakyat jelata. Hal yang demikian membuktikan Islam membangunkan tamadun ilmu yang bergerak searah dan seragam. Umat Islam dan ilmu tidak boleh dipisahkan. Keadaan umat yang teraniaya seperti di Gaza, menjadi peringatan bahawa gerakan ilmu tidak boleh ditangguhkan lagi agar kemuliaan dan penghormatan terhadap umat Islam kembali terangkat.