Diterbitkan pada 24 November 2025, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam kehidupan moden pada hari ini, masyarakat berhadapan dengan pelbagai cabaran yang tidak dijangka. Media sosial misalnya, menjadi tempat pertembungan nilai. Banyak yang pada mulanya menggunakan teknologi untuk kebaikan, namun pada akhirnya terperangkap dengan budaya negatif seperti penyebaran berita palsu, perbalahan maya atau terikut-ikut dengan gaya hidup hedonistik yang melalaikan.

Tidak kurang juga ada yang sanggup meninggalkan prinsip agama demi mengejar keuntungan dunia yang sementara. Terdapat segelintir pempengaruh menggunakan media sosial untuk menyebarkan fitnah dan berita tertentu kerana ingin mendapat keuntungan berbayar hasil daripada jumlah tanda suka dan perkongsian oleh ratusan hingga ribuan pengguna media sosial yang lain. Tidak kurang juga media sosial digunakan dengan pelawaan melakukan kebaikan seperti bersedekah dan wakaf oleh pihak berkepentingan tertentu.

Media sosial ialah medium penyebaran dan perkongsian maklumat awam. Kewujudannya menjadikan pengguna terdedah kepada maklumat yang benar dan palsu. Ada perkongsian yang positif, begitulah sebaliknya ada perkongsian dan paparan kandungan yang berisiko. Keadaan ini menjadikan kita sering berasa “lemas” dalam arus fitnah yang seolah-olah tidak berkesudahan.

 

Penyelesaian Nabawi

Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya menerusi sabda Baginda yang bermaksud, “Bersegeralah melakukan kebaikan demi kebaikan sebelum datang keburukan fitnah demi fitnah yang bagaikan potongan malam yang gelap. Pada waktu pagi seseorang masih beriman, tetapi pada waktu petang dia sudah menjadi kafir. Pada waktu petang dia masih beriman, tetapi pada waktu pagi dia sudah menjadi kafir. Dia menjual agamanya kerana keuntungan dunia.” (Hadis riwayat Muslim, no. 118).

Hadis ini sangat relevan dalam kehidupan kita pada masa ini. Pertama, hadis ini memberikan panduan proaktif agar kita tidak mudah tenggelam dalam pengaruh negatif persekitaran, sama ada daripada manusia mahupun budaya hidup yang rosak. Dengan bersegera melakukan amal soleh, kita mengukuhkan diri agar tidak mudah tersungkur dalam kelekaan.

Kedua, hadis ini membawa mesej langkah preventif; menyeru kita agar konsisten dengan prinsip kebaikan serta membudayakan hidup soleh. Amal soleh yang dilakukan secara berterusan akan melatih jiwa untuk lebih kukuh menghadapi dugaan, sekali gus mengelakkan diri daripada hanyut dalam fitnah dunia yang melalaikan.

Ketiga, Rasulullah SAW menekankan bahawa amalan soleh yang disegerakan seperti lebih awal dikerjakan dan lebih banyak dari aspek kuantitinya akan membantu kita mengatasi anasir buruk yang sering datang secara tiba-tiba. Sebagai contoh, seseorang yang istiqamah dengan solat tepat pada waktunya akan lebih mudah menolak ajakan maksiat berbanding dengan individu yang suka melengah-lengahkan kewajipan. Amal soleh yang dilakukan dengan segera bagaikan benteng awal sebelum musuh sempat menyerang.

Keempat, hadis ini juga memberikan harapan bahawa amalan soleh yang kita lakukan dengan segera akan menjadi pendinding daripada tipu daya manusia yang berpura-pura, bermuka-muka atau yang tidak tetap imannya. Pada zaman ini, kita sering bertemu individu yang kelihatan baik di luar tetapi sanggup menipu dan mengkhianati demi kepentingan dunia. Dalam situasi ini, amal soleh yang konsisten akan memelihara hati dan akal agar tetap berada pada jalan kebenaran.

Kelima, hadis ini menganalogikan keburukan dan fitnah seperti malam yang gelap gelita. Dalam kegelapan malam, mata manusia tidak mampu melihat jelas objek di hadapan. Begitu jugalah dengan fitnah yang licik, sering hadir tanpa kita sedari. Namun begitu, amal soleh yang segera dan berterusan akan berperanan sebagai lampu suluh, yang membantu jiwa “melihat” dan “mengenali” keburukan yang tersembunyi. Amal soleh itu menjadi cahaya yang memandu langkah agar tidak terjerumus dalam perangkap dunia.

 

Empat Langkah Penyelamat

Berdasarkan mafhum hadis “Bersegeralah melakukan amal soleh sebelum datang fitnah bagaikan malam yang gelap”, dirumuskan empat langkah untuk seseorang berhadapan dengan risiko penggunaan media sosial secara bijak:

  1. Segera memilih kandungan yang bermanfaat.

Usah bertangguh untuk mengikuti akaun, saluran atau bahan bacaan yang membawa ilmu, motivasi dan kebaikan. Hal ini akan menjadi benteng awal bagi seseorang daripada terjebak dengan kandungan media sosial yang merosakkan akhlak.

  1. Amalkan disiplin kerohanian secara digital.

Tetapkan masa yang jelas untuk penggunaan media sosial agar tidak leka. Amal soleh seperti membaca al-Quran atau berzikir selepas menggunakan media sosial boleh menjadi imbangan rohani yang segera. Pilihlah kandungan kerohanian digital sama ada dalam akaun media pempengaruh yang soleh ataupun aplikasi kerohanian bagi meningkatkan amal ibadah dan jiwa.

  1. Berani menolak godaan negatif.

Sematkanlah dalam diri dan minda bahawa Allah SWT Maha Melihat segala amal perbuatan. Jika terlihat berita palsu, fitnah atau hiburan yang melalaikan, segera ambil tindakan dengan menapis, menegur secara hikmah, atau memilih untuk keluar daripada ruang tersebut. Amal menegah kemungkaran walaupun kecil ialah perlindungan iman.

  1. Gunakan media sosial sebagai “lampu suluh” kebaikan.

 

Amalan Soleh dalam Medan Digital

Amal soleh akan dapat menyelamatkan manusia daripada tenggelam dalam arus fitnah, sekali gus menjadi penyuluh kehidupan yang mendekatkan kita kepada Allah SWT.  Oleh itu jadikan media sosial platform untuk menyebarkan mesej Islam, nasihat, ilmu dan inspirasi. Bersegeralah berkongsi perkara baik akan mencerahkan suasana media sosial yang gelap dengan fitnah.

Antara kebaikan yang boleh dilakukan secara digital dalam media sosial termasuklah:

  1. Menyebarkan ayat al-Quran atau hadis dengan terjemahan ringkas dan mesej yang mudah difahami sebagai peringatan harian. Pastikan maklumat tepat dan sahih sebelum disebarkan.
  2. Berkongsi doa dan zikir harian untuk diamalkan bersama-sama rakan maya.
  3. Mengajak kepada kebaikan dengan menulis status serta menghasilkan poster atau video pendek yang memberikan inspirasi.
  4. Menyebarkan ilmu agama melalui artikel, nota kuliah, audio siar atau ringkasan ceramah yang bermanfaat. Sebarkan pautan ilmu kepada orang lain.
  5. Memberikan sokongan moral dengan komen, mesej atau ucapan positif yang boleh menguatkan semangat orang lain. Elakkan menulis secara negatif dan terlibat dengan aktiviti pembulian siber terhadap orang lain.
  6. Menggunakan kemahiran digital untuk dakwah, seperti menghasilkan infografik, animasi atau video islamik yang menarik.
  7. Menyalurkan sedekah digital melalui platform dalam talian yang sah dan telus, serta mengajak orang lain untuk turut bersedekah.
  8. Mendoakan orang lain secara terbuka. Contohnya, “Semoga Allah memberkati urusan saudara” bagi menzahirkan dan membudayakan ukhuwah mesra dalam ruang maya.
  9. Mencegah kemungkaran secara berhikmah dengan melaporkan, menegur atau menasihati secara sopan terhadap kandungan yang menyesatkan.
  10. Membina komuniti kebaikan dengan mewujudkan kumpulan WhatsApp, Telegram atau Facebook untuk perkongsian ilmu, motivasi dan sokongan spiritual.

 

Berdasarkan mafhum hadis yang dibincangkan, jelaslah bahawa setiap orang Islam, khususnya pengguna media sosial perlu dan mampu melaksanakan amal soleh dengan segera, tanpa bertangguh, serta berkualiti dan berkuantiti. Perkara tersebut memberikan impak besar ke atas diri dan juga kepada pengguna lain. Semoga amalan soleh pada skrin yang kecil memberikan pahala yang besar serta menyelamatkan kita daripada keburukan dunia digital.


Penulis ialah Pensyarah Kanan dan Penyelidik Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi