Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam era globalisasi, umat Islam sering kali berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha mengekalkan identiti dan jati diri. Satu daripada aspek yang kritikal untuk memelihara kepentingan ummah adalah dengan memastikan kepimpinan yang dibentuk berpaksikan nilai Islam.
Sayidatina Aisyah r.a., isteri Rasulullah SAW meriwayatkan hadis yang bermaksud, “Aisyah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW telah keluar menuju ke Badar (bagi tujuan perang). Apabila sampai di Harratul Wabarah, mereka telah didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki itu dikenali sebagai sangat berani dan boleh mendapatkan kemenangan (dalam perang). Lalu bergembiralah para sahabat Rasulullah SAW ketika melihat kedatangan lelaki tersebut.
Apabila lelaki tersebut sampai kepada Rasulullah SAW, dia pun berkata: ‘Aku datang untuk mengikutimu (wahai Rasulullah SAW) dan berperang bersama-samamu.’ Lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Tidak.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Pulanglah, kerana sesungguhnya kami tidak akan meminta bantuan daripada lelaki musyrik.’”
Petikan hadis ini memperlihatkan Rasulullah SAW menolak tawaran daripada orang kafir untuk memperjuangkan agama Allah SWT. Perjuangan mendaulatkan Islam mestilah dipimpin oleh kaum Muslimin sendiri. Satu daripada tugas kepimpinan dalam Islam adalah untuk membangunkan serta memperjuangkan agama Allah SWT, maka sebaik-baiknya pemimpin dilantik dalam kalangan Muslim. Hanya urusan tertentu yang diberikan kelonggaran untuk menerima kepimpinan bukan Islam.
Dalam Islam, pengurusan pentadbiran bukan sekadar mentadbir negara, tetapi memelihara Islam itu sendiri. Oleh sebab itu, Imam al-Mawardi menyebutkan:
Kepimpinan ialah kesinambungan peninggalan kenabian dalam hal menjaga agama dan mentadbir urusan dunia.
Allah SWT menegaskan dalam al-Quran bahawa kepimpinan kaum Muslimin seharusnya diamanahkan kepada Muslim. Tidak seharusnya Muslim melantik bukan Muslim menjadi pemimpin. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 141 yang bermaksud, “Dan Allah tidak menjadikan jalan buat orang kafir (untuk menjadi pemimpin) bagi orang mukmin.”
Menurut Al-Maududi, pemimpin juga disebut dengan panggilan uli al-amr dalam al-Quran. Panggilan uli al-amr hanya dimaksudkan kepada yang beriman kerana ketaatan kepada pemimpin (uli al-amr) yang disebutkan dalam Surah al-Nisa’, ayat 59 adalah hanya mentaati pemimpin yang benar-benar beriman dan yang menjalankan segala perintah Allah SWT dan rasul-Nya. Maka itu, jelaslah bahawa kewajipan untuk taat kepada seorang pemimpin itu hanyalah pada Muslim yang berpegang teguh pada syariat Allah SWT.
Di Malaysia, isu kepimpinan Islam sering menjadi topik utama dalam setiap kali pilihan raya umum diadakan. Baru-baru ini, terdapat pelbagai perbincangan mengenai calon yang bertanding dan sejauh mana mereka mampu membawa agenda Islam dalam pentadbiran negara. Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh rakyat dalam pemilihan pemimpin Islam yang sebenar-benar berwibawa. Antaranya termasuklah isu integriti dan kejujuran calon yang bertanding.
Selain isu tersebut, dapat dilihat krisis kepimpinan yang membelenggu dunia Islam. Dari Asia Barat hingga ke Afrika Utara, negara Islam menghadapi cabaran besar bagi mengekalkan kestabilan politik dan sosial. Krisis ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan rakyat, bahkan memberikan kesan terhadap imej Islam pada mata dunia.
Syria juga berhadapan dengan krisis kepimpinan yang berlarutan sejak berlakunya perang saudara yang bermula pada tahun 2011. Konflik ini tercetus akibat protes terhadap pemerintahan Presiden Bashar al-Assad yang dikritik kerana tindakannya yang zalim dan tidak adil. Peperangan yang berpanjangan mengakibatkan kematian ratusan ribu rakyat Syria dan memaksa jutaan lagi melarikan diri. Krisis ini menunjukkan betapa pentingnya kepimpinan yang adil dan beretika bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Di Yaman, krisis kepimpinan menyebabkan berlaku perang saudara yang menghancurkan negara tersebut. Pertempuran antara pasukan kerajaan yang disokong oleh Arab Saudi dengan pemberontak Houthi yang disokong oleh Iran telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan krisis kemanusiaan yang teruk. Kekurangan makanan, air bersih dan kemudahan perubatan telah menyebabkan penderitaan yang tidak terhingga kepada rakyat Yaman. Konflik ini merupakan contoh yang jelas bahawa kepimpinan yang gagal dan tidak berlandaskan prinsip Islam boleh membawa kepada bencana kemanusiaan.
Sebagai kesimpulan, kepimpinan Islam yang adil, amanah dan telus bukan sahaja penting untuk umat Islam, bahkan untuk kesejahteraan dan kestabilan negara. Pemimpin yang beriman dan berpegang teguh pada ajaran Islam akan memastikan bahawa segala tindakan dan keputusan yang dilakukan berlandaskan keadilan dan kebenaran.
Bagi menghadapi cabaran globalisasi dan perubahan zaman, umat Islam perlu memastikan bahawa pemimpin dilantik daripada kalangan individu yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia. Hanya dengan kepimpinan sedemikian, ummah dapat terus maju dan berkembang dengan jayanya.
Penulis merupakan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Artikel merupakan penulisan bersama-sama dengan pelajar FPI UKM, Puteri Nur Aishah Muhamad Azhar dan Nur Nadiah Zainal Abidin.