Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFenomena penggunaan rokok elektronik (vap) dalam kalangan remaja Muslim di Malaysia pada hari ini bukan lagi satu isu terpencil. Vap telah menjadi simbol gaya hidup yang semakin dianggap normal di sekolah, taman permainan, pusat beli-belah, malah di kawasan sekitar masjid. Peranti yang kelihatan moden dan “tidak berbahaya” ini sering dipromosikan dengan pelbagai perisa, reka bentuk menarik, serta imej digital yang menyeronokkan. Namun begitu, di sebalik keadaan tersebut tersembunyi perangkap halus yang sedang menghakis kekuatan fizikal, mental dan rohani para remaja.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukkan bahawa terdapat peningkatan penggunaan vap dalam kalangan remaja, khususnya mereka yang berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun. Angka ini bukan sekadar statistik kesihatan, tetapi cerminan keruntuhan akhlak dan kefahaman agama. Usia remaja merupakan fasa pembangunan akal, akhlak dan identiti. Suatu tahap bagi seseorang Muslim membentuk keupayaan membuat keputusan moral berdasarkan ilmu dan petunjuk wahyu. Oleh itu, akal perlu dipelihara dan dijaga, bukan diserahkan kepada racun halus seperti nikotin.
Kesan penggunaan vap tidak berlaku secara serta-merta. Nikotin akan memberikan kesan terhadap sistem saraf pusat secara perlahan-lahan menyebabkan gangguan tumpuan, ketidakstabilan emosi dan berpotensi mengakibatkan kemurungan. Vap mungkin tidak meninggalkan bau seperti rokok, tetapi menjadikannya lebih berbahaya dalam konteks sosial remaja kerana mudah disembunyikan dan digunakan secara diam-diam.
Lebih membimbangkan, budaya menghisap vap dipromosikan secara agresif dalam media sosial, seterusnya menjadi umpan halus kepada minda remaja yang melihat vap bukan suatu ketagihan, tetapi sebagai “gaya hidup”, “kreativiti asap” dan “kebebasan diri”. Akibatnya, banyak remaja mula terbuai dengan sedutan peranti ini yang kononnya penuh versatil dan elegan, sesuai dengan trend semasa.
Pengalaman remaja di lapangan juga mendedahkan bahawa kurangnya kesedaran membolehkan ketagihan bermula. Dalam satu bengkel kaunseling, seorang pelajar Tingkatan Empat mengakui,
Saya fikir vap ini tidak salah. Tak rasa macam merokok. Kawan-kawan semua buat, cikgu pun tidak kisah.
Kenyataan ini menimbulkan satu persoalan penting bahawa apakah masyarakat terlalu lambat bertindak atau terlalu malu untuk bersuara?
Vap dan Kehormatan Akal dalam Perspektif Islam
Dalam Islam, akal ialah asas taklif. Penganugerahan akal membezakan manusia daripada makhluk lain dan menjadikannya layak menerima tanggungjawab syariat. Akal juga termasuk lima perkara yang wajib dipelihara dalam maqasid syariah menerusi al-daruriyyat al-khams. Sebarang perkara yang merosakkan akal sama ada secara langsung atau tidak, wajib dielakkan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
… dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan … .
(Surah al-Baqarah 2:195)
Pada masa yang sama, hadis Rasulullah SAW turut menegaskan perkara ini melalui sabdanya yang bermaksud:
Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan.
(Hadis riwayat Ibn Majah, no. 2341)
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 21 Disember 2015 telah memutuskan bahawa penggunaan vap adalah haram kerana memudaratkan kesihatan, bersifat pembaziran dan tidak memberikan sebarang manfaat syarie. Pandangan ini turut senada dengan institusi fatwa di Mesir dan Indonesia. Ulama silam turut menyentuh isu ini secara prinsip. Sebagai contoh, Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyebut bahawa:
Apa-apa sahaja yang membawa kepada kebinasaan akal termasuk larangan syarak walaupun datang dalam bentuk baharu.
Sementara itu, Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulumuddin menyatakan bahawa kerosakan akal membawa kepada kerosakan agama kerana akal ialah kunci mengenal Allah SWT. Maka, sebarang perbuatan yang merosakkan akal seperti penggunaan vap dan bahan ketagihan lain merupakan ancaman kepada kestabilan agama dan kehidupan masyarakat.
Pemerkasaan Remaja melalui Pendidikan dan Komuniti
Remaja hari ini tidak dapat dibentuk hanya melalui larangan atau ceramah yang berbentuk peringatan mahupun hukuman. Mereka perlu difahamkan dan diberikan alat untuk berfikir. Pendekatan psikopendidikan Islam yang menekankan aspek hifz al-‘aql berupaya menjadi jalan penyelesaian yang tepat. Melalui program ini, remaja dibimbing untuk membina kawalan diri, memahami tekanan sosial dan menguatkan prinsip hidup berdasarkan nilai Islam.
Masjid perlu kembali memainkan peranan sebagai pusat bimbingan remaja. Aktiviti seperti halakah mingguan yang membincangkan isu remaja, penganjuran forum dan bengkel kepimpinan menjadi jambatan antara institusi agama dengan belia. Pendakwah muda yang memahami gaya komunikasi remaja sangat diperlukan bagi menyampaikan mesej agama dengan nada mesra, santai dan berkesan.
Di samping itu, NGO dan institusi pendidikan boleh membangunkan modul interaktif berbentuk penerbitan dalam talian seperti e-buku, siri dakwah dalam platform media sosial seperti TikTok, dan permainan digital yang memupuk nilai murni sambil mendidik. Ibu bapa dan guru juga mesti menjadi model teladan yang menyediakan ruang perbualan terbuka, mendidik anak dengan kasih sayang, dan peka terhadap perubahan emosi mereka sebagai langkah awal untuk menangani isu ini.
Akal sebagai Cahaya Umat
Tuntasnya, vap menjadi simbol pertembungan antara dua dunia, iaitu dunia kemajuan teknologi yang melalaikan dengan dunia nilai yang menuntut pengorbanan dan kefahaman. Anugerah akal bukan milik peribadi yang boleh dibentuk sesuka hati, sebaliknya amanah Ilahi yang mesti dijaga dan dipelihara.
Usaha menangani isu vap merupakan perjuangan menegakkan maqasid syariah, memelihara akal, dan menyelamatkan umat daripada kekaburan identiti. Kerosakan akal akan membawa kepada kerosakan iman kerana akal ialah pintu hidayah dan penentu jalan hidup.
Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama membantu remaja Muslim hari ini untuk keluar daripada “kabus nikotin” dan mengembalikan mereka agar dapat melihat cahaya petunjuk dengan jelas. Kita bukan sekadar mempertahankan tubuh mereka, tetapi juga akal yang bakal memimpin umat ini pada masa hadapan.