Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam konteks dunia semasa, dakwah kontemporari berhadapan dengan landskap yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu. Kehidupan manusia hari ini berlangsung dalam dua alam secara serentak, iaitu dunia nyata dan dunia maya. Kedua-duanya saling bertindih, saling membentuk dan saling mempengaruhi, menjadikan pengalaman sosial serta keagamaan manusia semakin kompleks. Oleh itu, pendekatan dakwah yang dahulunya memadai dengan ceramah bersemuka, khutbah di masjid atau penulisan dalam akhbar, kini perlu diperluas kepada ruang digital yang tidak mengenal sempadan.
Dalam dunia maya, manusia membina identiti kedua yang sering kali berbeza daripada realiti kehidupan sebenar. Media sosial memberikan peluang untuk menonjolkan sisi terbaik, namun pada masa yang sama membuka ruang kepada fenomena flexing, iaitu perbuatan mempamerkan kemewahan, kejayaan, atau gaya hidup mewah untuk meraih perhatian. Fenomena ini mencetuskan budaya perbandingan sosial yang tidak sihat, menimbulkan rasa rendah diri, iri hati, bahkan tekanan jiwa dalam kalangan pengguna khususnya belia. Sedangkan dalam dunia nyata, realiti ekonomi, sosial dan spiritual tidak seindah paparan maya lalu jurang antara kedua-duanya semakin menjerut jiwa.
Selain itu, arus globalisasi menjadikan dunia benar-benar tanpa sempadan. Keadaan yang berlaku di Barat, baik budaya, fesyen mahupun ideologi, menembusi ruang sosial di Timur dengan pantas melalui media digital. Keadaan ini membawa kebaikan dari sudut keterbukaan maklumat dan akses ilmu, tetapi turut mendedahkan masyarakat Islam dengan nilai yang asing daripada kerangka wahyu. Ideologi sekularisme, liberalisme dan relativisme moral diterima tanpa penapisan kritis. Hal yang dianggap normal di Barat, termasuk gaya hidup hedonis atau norma keluarga yang menyimpang, mempengaruhi pemikiran anak muda Muslim di Timur.
Hedonisme dan konsumerisme semakin mengakar sebagai budaya dominan dalam masyarakat moden. Ukuran kejayaan tidak lagi dinilai berdasarkan akhlak, ilmu atau sumbangan kepada masyarakat, tetapi lebih banyak ditentukan oleh kuasa membeli, kekayaan harta benda, jumlah pengikut dan bilangan tanda “suka” dalam media sosial. Kehidupan yang dahulunya sederhana dan berpaksikan nilai kini dipenuhi dengan keghairahan mengejar imej, gaya hidup mewah dan keseronokan tanpa batas. Situasi berkenaan diperkuat lagi oleh kemunculan pusat membeli-belah serba gah, hiburan maya yang sentiasa tersedia, serta budaya segera (instant culture) yang mengutamakan kepuasan pantas berbanding dengan kesabaran dan usaha berterusan.
Akibatnya, ruang untuk kontemplasi rohani dan budaya ilmu semakin menyempit. Masa yang sepatutnya digunakan untuk tadabur, refleksi dan pengembangan pemikiran intelektual digantikan dengan tontonan tanpa henti, belanja berlebihan dan hiburan yang melalaikan. Lambat-laun, masyarakat kehilangan sensitiviti terhadap nilai adab, kesederhanaan dan kesejahteraan batiniah. Jiwa yang dulunya terikat oleh makna dan tujuan, kini semakin kosong lalu diganti dengan kepuasan material yang hanya bersifat sementara.
Hakikatnya, hedonisme dan konsumerisme menghakis kepekaan spiritual (rohani). Individu cenderung mencari makna hidup melalui material, hiburan dan pengiktirafan sosial, sedangkan makna hakiki hanya boleh dicapai melalui hubungan dengan Allah SWT, nilai kebenaran, serta amal yang memberikan manfaat kepada orang lain. Inilah cabaran besar dakwah kontemporari, iaitu mengembalikan masyarakat kepada keseimbangan antara keperluan material dengan tuntutan rohani agar tidak tersesat dalam dunia yang penuh tipu daya.
Lebih membimbangkan, keadaan ini melahirkan krisis identiti pada semua peringkat masyarakat, sama ada kanak-kanak, belia atau dewasa. Mereka berhadapan dengan tiga dunia nilai:
Pertembungan ketiga-tiga dunia ini sering menimbulkan kekeliruan kepada belia tentang diri mereka sebenarnya. Ada yang memilih untuk meniru sepenuhnya budaya luar, ada yang cuba hidup dalam kepura-puraan antara dua dunia, dan ada yang akhirnya terperangkap dalam nihilisme sehingga merasakan hidup tidak lagi bermakna.
Dalam situasi inilah, Model 3As (Awareness–Awaken–Action) menawarkan satu kerangka dakwah yang segar, terangkum, dan relevan dengan cabaran kontemporari.
Pertama: Awareness (Kesedaran)
Mad‘u (orang yang didakwahi) dipandu untuk melihat realiti semasa menerusi mata ilmu, bukan sekadar menerima arus tanpa soal. Kesedaran ini membantu mereka mengenali fitnah media sosial, bahaya hedonisme dan risiko krisis identiti, sekali gus membentuk pandangan alam yang lebih kritis.
Kedua: Awaken (Kebangkitan)
Hati manusia disentuh agar sedar bahawa ilmu semata-mata tidak cukup tanpa nilai. Ilmu yang kering daripada sentuhan iman hanya melahirkan kepintaran teknikal, tetapi tidak memberikan makna dan arah dalam kehidupan. Kebangkitan spiritual inilah yang menghidupkan kesedaran bahawa segala pengetahuan perlu dipandu oleh iman, dizahirkan dalam tindakan beradab, dan ditujukan kepada tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT di bumi. Kehidupan di dunia ditanggapi sebagai amanah yang perlu ditunaikan dengan penuh hikmah.
Di sinilah proses tazkiyah al-nafs berlaku, iaitu pembersihan hati daripada sifat tercela seperti takbur, riyak dan cinta dunia yang melampau. Hati yang suci menjadi wadah penerimaan cahaya hidayah dan kebenaran. Kebangkitan rohani ini merupakan syarat penting dalam pembentukan insan berhikmah dan mampu memaknakan pengetahuan dalam tindakan yang adil, penuh kasih sayang dan berkesan.
Ketiga: Action (Tindakan)
Ilmu dan nilai yang telah disemai diterjemahkan dalam bentuk amalan nyata. Transformasi insan tidak lagi berada pada tahap teori atau retorik. Tindakan menjadi bukti kesedaran dan kebangkitan hati yang dialami. Inilah dimensi praktikal dakwah dengan hikmah, yang menuntut konsistensi antara kata dengan perbuatan, serta melahirkan keberkesanan dalam teladan kepada masyarakat.
Tindakan yang berasaskan hikmah menyuburkan kembali empat hubungan utama dalam kehidupan:
Apabila kesemua hubungan ini dipelihara, maka lahirlah keseimbangan dalam diri individu dan keharmonian dalam masyarakat.
Inilah kemuncak proses 3As, iaitu melahirkan insan berhikmah yang menjadikan amal soleh atau perbuatan yang baik sebagai jalan menuju kesejahteraan sejati. Keberkesanan dakwah kontemporari tidak boleh hanya bergantung pada saluran tradisional, tetapi mesti berakar pada transformasi insan. Dakwah dengan hikmah membimbing manusia untuk hidup dengan makna, tujuan dan nilai. Keberkesanannya membina bangsa berhikmah yang menterjemahkan ilmu yang dimiliki dalam tindakannya.