Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam dunia yang semakin dikuasai oleh teknologi digital, kehidupan manusia seolah-olah terapung dalam lautan maklumat yang tidak pernah surut. Media sosial, portal berita dan pelbagai platform maya telah menjadi nadi interaksi harian. Namun begitu, di sebalik kemudahan ini wujud satu fenomena yang semakin membimbangkan, iaitu gelombang fitnah siber yang mampu meracuni minda, melunturkan akhlak dan menghakis keimanan.
Dalam konteks ini, konsep tazkiyah al-nafs atau penyucian jiwa hadir sebagai penyelesaian yang relevan. Islam sejak awal mengajarkan bahawa kebersihan jiwa menjadi asas akhlak mulia dan kesejahteraan masyarakat. Tazkiyah al-nafs merupakan sebuah proses yang memerlukan usaha berterusan untuk membebaskan jiwa daripada sifat mazmumah yang menjadi punca utama penyebaran fitnah.
Tazkiyah dari sudut bahasa bermaksud menyucikan, membersihkan, dan menyuburkan, manakala al-nafs pula merujuk jiwa atau diri manusia. Dalam kerangka Islam, tazkiyah al-nafs bererti menyucikan jiwa daripada segala kotoran maksiat, syirik, hasad dengki, takbur, dan hawa nafsu yang melampau, serta menyuburkannya dengan iman, takwa dan akhlak mahmudah. Allah SWT menegaskan hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud:
Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.
(Surah al-Syams 91:9–10)
Ayat ini menunjukkan bahawa kejayaan hidup manusia bergantung pada usaha menyucikan jiwa, sebaliknya kegagalan terbesar apabila jiwa dibiarkan kotor dan tenggelam dalam dosa.
Fenomena fitnah siber diibaratkan sebagai asap beracun yang merebak dengan pantas, mencemari suasana maya dan membutakan pandangan hati. Kejahatan ini hadir dalam bentuk berita palsu, gosip tidak sahih, manipulasi gambar atau video, serta serangan peribadi yang mengaibkan. Kesemuanya berupaya mencetuskan perbalahan, mengundang kebencian dan meruntuhkan silaturahim sesama manusia. Menurut perspektif Islam, perbuatan menyebarkan berita palsu merupakan dosa besar. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah al-Hujurat 49:6)
Oleh itu, setiap maklumat perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum disebarkan kerana khabar dusta boleh membawa kepada kerosakan dan penyesalan.
Peranan Tazkiyah al-Nafs
Pertama: Melindungi Diri daripada Menjadi Penyebar Fitnah
Tazkiyah al-nafs bertindak sebagai benteng batin yang melindungi seseorang daripada menjadi agen penyebar fitnah. Jiwa yang suci akan sentiasa berhati-hati, memelihara lidah dan mengawal jari-jemari daripada menulis perkara yang boleh mencederakan maruah orang lain. Hati yang melalui proses tazkiyah akan menyedari bahawa setiap kata, status atau komen yang dimuat naik dalam media sosial akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak. Kesedaran ini melahirkan sifat muraqabah dalam diri dengan perasaan bahawa setiap tindakan dalam kehidupan sentiasa diawasi oleh Allah SWT.
Kedua: Membina Sifat Sabar dan Berlapang Dada
Selain itu, tazkiyah al-nafs membina sifat sabar dan berlapang dada ketika berhadapan dengan serangan fitnah siber. Dunia digital diakui penuh dengan provokasi, namun jiwa yang bersih tidak mudah melatah atau membalas dengan kata-kata kesat. Malah, golongan ini gemar memilih pendekatan berhikmah, mengawal emosi dan memelihara ketenangan hati. Inilah cerminan sifat ihsan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu beribadah seolah-olah melihat Allah SWT dan merasakan Allah SWT sentiasa melihat hamba-Nya.
Ketiga: Mengutamakan Nilai Kebenaran
Proses penyucian ini juga mengajar manusia mengutamakan nilai kebenaran (al-haq) berbanding dengan hawa nafsu. Fitnah lazimnya tersebar kerana manusia cenderung mempercayai perkara yang sensasi tanpa menyemak kesahihannya. Jiwa yang bersih akan mendahulukan tabayun, iaitu proses menyaring maklumat dengan penuh teliti. Langkah ini selari dengan prinsip Islam yang menolak sikap gopoh, prasangka buruk dan suka menokok tambah cerita. Apabila hati dipenuhi rasa takut kepada Allah SWT (khauf) dan harapan kepada rahmat-Nya (raja’), seseorang akan lebih cermat menilai sesuatu berita.
Keempat: Menjadi Agen Kedamaian
Fitnah siber bukan sahaja memberikan kesan kepada individu, malah menggugat keharmonian masyarakat secara keseluruhan. Penyebarannya mampu mencetuskan krisis sosial dan menghakis kepercayaan sesama insan. Dalam keadaan ini, tazkiyah al-nafs berperanan mengembalikan keseimbangan. Apabila banyak individu dalam masyarakat melakukan penyucian jiwa, mereka akan menjadi agen kedamaian yang menyebarkan kebaikan dan menutup pintu kejahatan. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Seorang Muslim (yang sejati) ialah orang yang tidak menyakiti orang Muslim lain melalui tutur katanya atau perbuatannya … .
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 10)
Jika prinsip ini diamalkan dalam dunia siber, media sosial akan menjadi wadah dakwah dan penyebaran ilmu, bukan gelanggang permusuhan.
Kelima: Menanamkan Sifat Qanaah
Proses penyucian jiwa menanamkan sifat qanaah, iaitu rasa cukup dengan apa-apa yang ada sekali gus mengelakkan diri daripada iri hati dan hasad dengki yang menjadi punca fitnah. Hasad dilihat sebagai penyakit hati yang berbahaya kerana mendorong seseorang untuk menjatuhkan orang lain demi kepuasan diri. Jiwa yang telah disucikan akan memandang kejayaan orang lain dengan kesyukuran, bukan dengan perasaan sakit hati. Mereka mendoakan kebaikan untuk orang lain kerana meyakini bahawa rezeki setiap insan telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Keenam: Mengamalkan Zikrullah Secara Konsisten
Di samping itu, tazkiyah al-nafs menuntut seseorang mengamalkan zikrullah secara konsisten. Ingatan berterusan kepada Allah SWT melembutkan hati dan menenangkan fikiran. Jiwa yang tenang sukar diganggu oleh provokasi dunia maya. Golongan ini tidak akan terpengaruh dengan komen negatif atau berita palsu yang bersifat hasutan. Bahkan, mereka menjadi sumber inspirasi kepada orang lain dengan menyebarkan kata-kata yang menyejukkan hati dan menyemai kedamaian.
Ketujuh: Menahan Diri daripada Terlibat dalam Budaya Toksik
Begitu juga proses ini melibatkan jihad melawan hawa nafsu (jihad al-nafs). Rasulullah SAW pernah mengungkapkan bahawa jihad yang paling besar ialah kesungguhan melawan nafsu sendiri. Dalam konteks fitnah siber, jihad al-nafs membawa makna menahan diri daripada terlibat dalam budaya toksik seperti siber buli dan penyebaran aib. Jiwa yang melalui proses tazkiyah akan memilih diam daripada berkata dusta sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
… barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 6018)
Kelapan: Mengajak Manusia Kembali kepada al-Quran dan Sunah
Tazkiyah al-nafs mengajak manusia kembali kepada al-Quran dan sunah sebagai panduan utama. Al-Quran ialah sumber penyucian agung yang menyinari hati dengan hidayah. Setiap ayat yang dibaca dan dihayati menjadi penawar kepada penyakit hati. Sunah Rasulullah SAW pula memberikan teladan praktikal tentang perihal mengurus emosi, mengawal lidah dan menjaga adab dalam berinteraksi. Apabila kedua-duanya dijadikan pedoman, jiwa akan menjadi teguh dan tidak mudah goyah dengan arus fitnah.
Kesimpulannya, tazkiyah al-nafs merupakan pelindung spiritual yang sangat penting bagi menghadapi gelombang fitnah siber. Perkara ini bukan sahaja menyelamatkan individu daripada dosa, tetapi turut menjamin keharmonian masyarakat. Dunia digital tidak akan pernah sunyi daripada provokasi, tetapi jiwa yang telah disucikan mampu menjadi penapis yang menolak keburukan dan menyebarkan kebaikan. Proses penyucian jiwa merupakan perjalanan sepanjang hayat, memerlukan kesedaran, kesungguhan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Dengan tazkiyah al-nafs, dunia maya boleh menjadi ladang pahala, bukannya medan dosa.