Diterbitkan pada 19 November 2025, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Shariah Forum 2025 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Maybank Islamic membuka medan perbincangan nasional mengenai tafsiran asnaf fi sabilillah dengan mengemukakan pandangan ulama silam dan moden bagi memantapkan rujukan global dalam pengagihan zakat.

Forum yang bertemakan “Dimensi Baharu Agihan Zakat Asnaf fi Sabilillah: Analisis Pandangan Syarak” ini berjaya menghimpunkan sebanyak 150 orang peserta daripada pelbagai agensi agama seluruh Malaysia, seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji, institusi zakat, jabatan mufti negeri dan institusi kewangan Islam serta ahli akademik.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, YBrs. Profesor Dr. Jamia Azdina Jamal, forum ini memainkan peranan penting bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap isu muamalat dan cabaran semasa.

Katanya, “Dalam dunia yang penuh cabaran ini, isu muamalat termasuk zakat memerlukan pendekatan yang bersifat holistik, berasaskan syarat hukum serta pemahaman konteks semasa.”

“Sejarah Islam membuktikan bahawa zakat merupakan instrumen penting untuk mengurangkan jurang kemiskinan.

“Namun begitu, kutipan zakat meningkat setiap tahun, dan tidak akan memberikan makna sekiranya pengagihan tidak dilaksanakan dengan cekap, adil dan berstrategi,” jelas beliau.

“Forum ini amat penting sebagai platform untuk membincangkan isu syariah kontemporari untuk mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan dan memperkukuh hubungan akademia dan industri dalam memimpin agenda pemikiran kewangan Islam,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Maybank, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Aznan Hasan berkata, zakat merupakan satu daripada rukun Islam yang memainkan peranan besar dalam membentuk sistem sosial ekonomi yang adil berlandaskan Syariah Islam.

“Satu daripada perbincangan penting berkaitan zakat ialah isu tafsiran asnaf fi sabilillah bagi menentukan bentuk agihan yang dibenarkan oleh syariah di bawah kategori tersebut.

“Hal ini menuntut kita untuk merujuk semula pandangan ulama terdahulu dan kontemporari,” jelasnya.

“Konteks agihan zakat pada masa ini juga memerlukan satu kajian terperinci bagi menetapkan tafsiran asnaf fi sabilillah yang paling sesuai dengan waqi’ atau realiti Malaysia, malah sesuai dengan konteks dunia global,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap forum ini dapat menghasilkan rumusan jelas yang boleh dijadikan asas dalam pengagihan zakat pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dalam sesi rumusan, para peserta turut mengemukakan cadangan masing-masing agar satu garis panduan khusus berkaitan dengan asnaf fi sabilillah dibangunkan sebagai rujukan standard kepada semua institusi zakat di negara ini.

Ahli Lembaga Pengarah Maybank Islamic, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Aznan Hasan (dua dari kiri) menyampaikan geran penyelidikan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi , YBrs. Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal (dua dari kiri) yang turut diiringi oleh Dekan, Fakulti Pengajian Islam UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Izhar Ariff Mohd Kashim (kiri) dan Pengerusi, Jawatankuasa Syariah, Maybank Islamic, YBrs. Dr. Akhtarzaite Abdul Aziz (kanan).
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi