Diterbitkan pada 29 Oktober 2025, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia menzahirkan bahawa kemajuan hanya akan bermakna apabila keberadaannya menyatukan, bukan memisahkan; memelihara, bukan merosakkan; dan menegakkan kemanusiaan, bukan mengorbankan.

Acara persidangan antarabangsa merupakan medan dialog yang signifikan bagi menentukan kemaslahatan sesebuah rantau atau blok secara bersama, khususnya dalam aspek politik dan ekonomi. Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 26 hingga 28 Oktober 2025 menterjemahkan prinsip ta’awun (saling membantu) dan hikmah siasah kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi yang memacu agenda serantau.

ASEAN sebagai Jambatan Selatan Global

Ketika lensa dunia tertumpu pada kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, hakikatnya perkara yang lebih besar dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini ialah kebangkitan blok Selatan Global sebagai kuasa baharu yang menuntut keadilan dan keseimbangan dalam sistem antarabangsa.

Satu daripada pencapaian utama dalam sidang tersebut ialah peluasan jaringan strategik antara ASEAN dengan Selatan Global, termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebelum ini, selain kehadiran Brazil, Rusia dan Afrika Selatan dalam Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20. Langkah ini menandakan kebangkitan diplomasi Selatan–Selatan yang sedang membina blok majoriti global, iaitu satu kerangka geopolitik baharu berasaskan keadilan, kesamarataan dan kemanusiaan sejagat.

Dalam konteks dunia pascapandemik dan perubahan iklim, konsep Selatan Global yang membentuk naratif majoriti global bukan lagi dianggap sebagai simbol retorik semata-mata, tetapi suatu gerakan nyata yang menuntut reformasi sistem antarabangsa agar lebih adil, meliputi aspek pembiayaan pembangunan, keadilan iklim dan kesaksamaan ekonomi digital. Malaysia menerusi blok ASEAN, berpeluang tampil sebagai jurubicara progresif dan mampu mengimbangi suara kuasa besar dengan gagasan dunia berteraskan nilai kemanusiaan.

Sidang ini turut memperlihatkan keberanian ASEAN membentuk tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang apabila kuasa lunak serta moral kemanusiaan diangkat lebih tinggi daripada kekuatan material. Malaysia memainkan peranan penting sebagai penghubung antara dunia Islam, Asia Timur, Afrika dan Amerika Latin dengan suatu kedudukan geopolitik yang pernah digagaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam karya beliau, The Asian Renaissance.

Timor-Leste: Babak Baharu dan Penghormatan kepada Pejuang Bangsa

Kemuncak penting Sidang ASEAN kali ini ialah kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN yang menandakan penyempurnaan keluarga besar ASEAN selepas hampir lima dekad penubuhannya. Peristiwa bersejarah berkenaan mencerminkan semangat keterangkuman, kebersamaan serta komitmen ASEAN terhadap pembangunan seimbang dan keadilan serantau.

Bagi rakyat Timor-Leste, detik ini amat dinanti-nantikan dan diraikan setelah menempuh perjalanan panjang yang penuh pengorbanan. Susuk seperti Kay Rala Xanana Gusmão terpahat sebagai lambang perjuangan bangsa, ikon ketabahan dan idealisme kemerdekaan. Dari medan perjuangan gerila ke meja rundingan diplomatik, beliau menjadi simbol keberanian moral yang mempertautkan nilai kemerdekaan dan kemanusiaan.

Sewaktu beliau berdiri di pentas perasmian sidang kemuncak itu untuk menyampaikan ucapan penghargaan kepada Malaysia atas peranannya sebagai Pengerusi ASEAN, suasana yang dirasai oleh delegasi Timor-Leste serta seluruh perwakilan amat menyentuh hati. Sebagai pemerhati, penulis menyaksikan wajah seorang negarawan yang membawa luka sejarah dan harapan masa hadapan bangsanya, selain dapat melihat Malaysia dihormati sebagai jambatan yang menghidupkan impian sebuah negara kecil yang gigih mencari tempatnya di dunia yang lebih luas. Peristiwa ini mengingatkan kita bahawa ASEAN ibarat keluarga besar yang saling menyokong, membangunkan dan menyembuhkan luka sejarah.

Rakyat dan Generasi Muda: Denyut Nadi ASEAN Baharu

Kekuatan sebenar ASEAN tidak hanya terletak pada institusi, tetapi pada rakyatnya, terutama generasi muda yang menjadi nadi masa hadapan rantau ini. Berdasarkan laporan rasmi Sekretariat ASEAN, populasi belia di rantau ini dianggarkan berjumlah sekitar 213 juta orang, iaitu hampir 34 peratus daripada keseluruhan penduduk ASEAN.

Dalam dunia yang berubah dengan begitu pantas, belia ASEAN berperanan sebagai penghubung nilai dan inovasi yang mampu menyalakan semula semangat kebersamaan serantau berasaskan kemanusiaan sejagat merentasi sempadan negara. Walau bagaimanapun, di sebalik potensi besar itu, mereka berhadapan dengan cabaran ketidaksamaan sosioekonomi, kekeliruan nilai dan krisis identiti digital yang semakin membimbangkan. Oleh itu, pelibatan belia dalam agenda ASEAN mesti dijadikan agenda reformasi sosial serantau.

Sebagai gerakan masyarakat MADANI, ABIM menegaskan bahawa generasi muda hendaklah dilibatkan secara langsung dalam pembentukan dasar, diplomasi rakyat dan agenda masa hadapan ASEAN. Mereka bukan hanya pemerhati, tetapi penerus Manhaj Aseani, yakni generasi yang membina perdamaian, menegakkan keadilan sosial dan memperjuangkan kesejahteraan sejagat dengan idealisme dan ilmu.

Dalam konteks ini, ASEAN menzahirkan komitmen terhadap pemerkasaan belia apabila ASEAN Prize 2025 dianugerahkan kepada Persekutuan Kesatuan Belia Kemboja (UYFC) atas sumbangan badan tersebut dalam usaha memperkukuh pelibatan belia dan memajukan integrasi serantau. Pengiktirafan ini memperlihatkan keyakinan bahawa masa hadapan ASEAN terletak pada tangan generasi muda yang memiliki semangat kepimpinan, ketajaman pemikiran dan kesedaran nilai kemanusiaan.

Sehubungan dengan itu, program dialog belia serantau, pertukaran pemimpin muda dan jaringan komuniti ASEAN perlu diperkukuh untuk melahirkan generasi yang berupaya menjadi penentu arah moral rantau ini.

Malaysia dan Aspirasi ASEAN 2045: Kepimpinan Nilai untuk Dunia Baharu

Wawasan Komuniti ASEAN 2045 memberikan hala tuju jangka panjang bagi membina sebuah rantau yang bersatu, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat. Malaysia bertindak menterjemahkan visi ini melalui kepimpinan berasaskan nilai, hikmah, keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Tegas Perdana Menteri dalam ucapannya, “masa hadapan ASEAN tidak akan ditentukan oleh keadaan, tetapi oleh pilihan yang kita buat pada hari ini.” Pilihan Malaysia memimpin dengan prinsip menjadikan negara ini suara moral dan penentu arah kepada pembentukan tatanan dunia baharu yang lebih adil serta berperikemanusiaan.

Tuntasnya, kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 menggambarkan bahawa hikmah, prinsip dan kemanusiaan mampu menjadi asas kepimpinan antarabangsa. Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia menzahirkan bahawa kemajuan hanya akan bermakna apabila keberadaannya menyatukan, bukan memisahkan; memelihara, bukan merosakkan; dan menegakkan kemanusiaan, bukan mengorbankan.

Marcapada, Malaysia memilih jalan diplomasi nilai dan keberanian moral, memimpin ASEAN sebagai suara kedamaian, kebersamaan dan harapan baharu bagi dunia.

Selaku tuan rumah, Malaysia telah berusaha sedaya upaya menyediakan “hospitaliti Malaysia” sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini. Namun begitu, setiap usaha yang besar, pasti wujud kekurangan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Dalam semangat ASEAN, setiap kelebihan dan kekurangan perlu dijadikan pelajaran untuk memperkukuh perjalanan ke hadapan. Perkara yang utama bukan kesempurnaan pada zahir, tetapi ketulusan pada niat serta tekad untuk terus membina rantau ini bertunjangkan hikmah dan permuafakatan.

Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua pihak yang menjayakan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, bermula daripada barisan kepimpinan tertinggi negara, pasukan petugas kerajaan dan diplomat, hinggalah para petugas, sukarelawan, masyarakat, petugas media serta semua pihak yang memainkan peranan penting mengangkat maruah, darjat dan martabat Malaysia di pentas dunia.

Penghargaan ini juga ditujukan kepada semua ketua negara anggota ASEAN dan para pemimpin dunia yang hadir atas komitmen, kepercayaan dan semangat persaudaraan sepanjang persidangan ini berlangsung. Semoga semangat kebersamaan ini terus subur dan menjadi landasan kepada rantau yang damai, makmur dan berjiwa insani, selaras dengan aspirasi ASEAN 2045 untuk membina Asia Tenggara sebagai rumah bersama yang adil, seimbang dan menjunjung kemuliaan insan.


Ahmad Fahmi Mohd Samsudin ialah seorang aktivis kemanusiaan di Malaysia. Beliau merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sejak 2023.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi