Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT yang bermaksud, “Dia (Nabi Muhammad SAW) bermasam muka dan berpaling. Kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu, barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)? Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberikan manfaat kepadanya.” (Surah ‘Abasa 80:1-4).
Ayat tersebut merupakan teguran Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang memalingkan muka tatkala didatangi oleh seorang buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum. Peristiwa berkenaan kekal tercoret dalam sirah dunia Islam yang pastinya dapat diertikan dengan pelbagai tafsiran dalam konteks kemanusiaan. Hal ehwal golongan yang tidak mampu melihat ini kemudiannya silih berganti diceritakan dalam sejarah manusia baik di Timur mahupun di Barat.
Hari Tongkat Putih Sedunia yang jatuh pada 15 Oktober setiap tahun merupakan tarikh penting untuk kita merenung sejenak tentang kewujudan orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, pelbagai kemajuan serta kemudahan perisian ataupun peranti telah terhasil untuk mereka yang lazimnya disebut sebagai buta. Kemajuan teknologi itu termasuklah penghasilan peralatan untuk mereka mendalami pengetahuan berkaitan dengan Islam, khususnya bagi membangkitkan upaya literasi terhadap kitab suci al-Quran.
Cerita Golongan Buta dalam Masyarakat
Sebelum Hari Tongkat Putih Sedunia dimasyhurkan, perihal golongan OKU penglihatan di dunia telah pun menghiasi catatan dalam lipatan sejarah. Kisah Ibn Ummi Maktum yang disebutkan sebelum ini antara cerita yang popular mengenai kehadiran golongan tersebut dalam masyarakat sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Peristiwa tersebut memberikan mesej bahawa Islam bukan sebagai agama diskriminasi kerana perihal golongan OKU tidak terkecuali daripada ruang sosial peradaban agung tersebut.
Seiring dengan perubahan waktu, dunia Barat kemudiannya turut menyumbang kepada kemudahan bagi golongan OKU ini untuk terlibat sama dalam perkembangan masyarakat. Peristiwa Louis Braille (1809–1852) dari Perancis yang buta sejak kecil telah mendorong beliau mencipta aksara tulisan Braille yang mempunyai enam titik bagi membentuk abjad A hingga Z serta nombor dan simbol matematik. Sumbangan beliau kemudiannya tersebar ke seluruh dunia yang membolehkan setiap OKU penglihatan membaca buku dan menghasilkan penulisan buat manfaat diri secara khusus dan masyarakat secara amnya.
Tidak ada yang mustahil sekiranya kita mempunyai iltizam untuk berjaya dalam kehidupan asalkan perkara itu berteraskan kesungguhan dan usaha serius. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa0apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra‘d 13:11).
Bagi penulis, firman Allah itu mempunyai roh jihad serta semangat motivasi yang cukup besar untuk direnungi oleh OKU penglihatan. Hanya usaha yang hadir daripada diri sendiri untuk memperoleh kebaikan dan kemajuan dalam hidup dapat bertindak sebagai asas untuk mencapai kejayaan.
Sebagai suri tauladan, kisah Taha Husain wajar untuk dicontohi kerana beliau merupakan seorang buta yang dapat menyumbang idea dalam perkembangan ilmu pengetahuan dunia Islam. Beliau menulis tesis PhD tentang Ibn Khaldun dan pernah menjawat jawatan dalam kementerian di Mesir, bahkan kisah mengenainya turut dimuatkan dalam buku, Arabic Thought in the Liberal Age 1798-1939 tulisan ahli sejarah Timur Tengah yang prolifik, iaitu Albert Hourani.
Dewan Bahasa dan Pustaka juga pernah menerbitkan terjemahan buku Taha Husain yang bertajuk, Fitnah Terbesar dalam Sejarah Islam yang mengandungi penulisan sejarah era Khulafa’ al-Rasyidin. Kejayaan beliau berjaya meyakinkan masyarakat, bahkan beliau telah berkahwin dengan seorang wanita yang disifatkan oleh Hourani sebagai “mata” buat Taha Husain.
Di Malaysia, hak dan kebajikan golongan OKU penglihatan ini terjamin di bawah Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 [Akta 685] yang digubal oleh kerajaan. Kenyataan ini memberikan isyarat bahawa kedudukan OKU penglihatan di Malaysia tidak terabai, bahkan terdapat pelbagai insentif untuk membangunkan kelompok masyarakat ini seperti program latihan dan kerjaya di samping penyediaan elaun pekerja cacat.
Kementerian Sumber Manusia pada masa ini giat melaksanakan program untuk memastikan golongan OKU penglihatan terjamin dari segi kerjaya dan hala tuju hidup. Peluang kerjaya seumpama ini wajar diberikan kerana keupayaan OKU penglihatan jika digunakan dan sesuai pada tempatnya, pasti akan memberi perolehan yang cukup besar dan bermakna. Allahyarham Profesor Datuk Dr. Ismail Salleh misalnya, pernah dilantik menjadi Senator di Dewan Negara semasa pentadbiran Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, malah beliau merupakan seorang pakar ekonomi.
Di Universiti Malaya, Dr. Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus telah berkhidmat selama lebih 30 tahun di Jabatan Sejarah sebagai seorang ahli akademik yang bukan sahaja arif tentang sejarah pentadbiran Malaysia, malah mampu menyelia pelajar pada peringkat sarjana serta doktor falsafah. Keupayaan intelektual ini membolehkan beliau dianugerahkan pelantikan sebagai salah seorang anggota dalam Majlis Sejarawan Negara yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 8 September 2025.
Pada lapisan masyarakat awam pula, individu seperti Mohd Rosli Ibrahim turut aktif sebagai aktivis dan penulis meskipun beliau sendiri mempunyai kekangan dari segi penglihatan. Dalam komuniti pembaca dan industri perbukuan, pastinya karya Rosli sememangnya tidak asing terutamanya dalam kelantangan untuk menyuarakan hak OKU melalui buku-bukunya, OKU Bangkit (2014), Gelap Mata: Percikan Renungan Seorang OKU Penglihatan (2015) dan Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU (2023).
Berdasarkan pengalaman penulis ke Arkib Negara Amerika Syarikat di Washington D.C., terdapat pengusaha vendor bernama Mahazher yang mengendalikan kafe di bangunan tersebut biarpun beliau seorang yang buta keseluruhan. Inisiatif ini diperoleh melalui dasar kerajaan Amerika Syarikat di bawah Akta Randolph-Sheppard 1936 yang memberikan peluang kepada OKU penglihatan untuk mengusahakan perniagaan di bangunan pentadbiran kerajaan. Lantaran itu, Hari Tongkat Putih Sedunia ternyata menyimpan beraneka catatan mengenai perjalanan OKU penglihatan dalam tawarikh dunia.