Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 7 Oktober 2025, genap dua tahun peristiwa Operasi Taufan al-Aqsa. Peristiwa ini menarik perhatian dunia terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis di Palestin dan meningkatkan kesedaran tentang krisis kemanusiaan yang berlaku.
Gerakan Masyarakat Sivil
Kita pula jangan menyangka bahawa penduduk dunia yang merdeka minda dan jiwanya hanya duduk berteleku di tepian tanpa berusaha dengan kemampuan terbaik mereka. Tidak sama sekali.
Rombongan rakyat marhaen yang mengharungi lautan untuk menyampaikan bantuan makanan dan ubatan buat saudara kita di Gaza telah digerakkan beberapa kali. Bermula dengan kapal Madleen yang berlayar dari Catania, Itali pada 1 Jun 2025, sebelum disusuli oleh kapal Handala pada 13 Julai 2025 yang bertolak dari Siracusa, Itali.
Walaupun Madleen dan Handala tidak berjaya sampai ke Gaza akibat serangan rejim Zionis, terbukti jiwa yang merdeka sesekali tidak pernah putus harapan dan daya juang. Pada 31 Ogos 2025 bersamaan dengan ulang tahun kemerdekaan watan tercinta, rombongan Global Sumud Flotilla dengan kira-kira 52 buah kapal berlayar dari Barcelona, Sepanyol menuju ke Gaza.
Global Sumud Flotilla mempunyai keunikannya yang tersendiri. Inisiatif maritim antarabangsa ini umpama simbol kecekalan yang diambil daripada semangat rakyat Gaza dan para pejuangnya, yang tetap bertahan dan tidak berganjak dari tanah mereka walaupun tempohnya sudah genap dua tahun dan sedang menuju ke tahun ketiga.
Dengan jumlah rombongan yang begitu besar, Global Sumud Flotilla berjaya menarik perhatian antarabangsa. Dalam perjalanannya menuju ke zon kuning, Itali dan Sepanyol menghantar beberapa buah kapal tentera laut bagi mengiringi rombongan tersebut. Hal yang lebih penting ialah kumpulan armada bantuan ini menjadi saksi dan demonstrasi abadi bahawa Palestin pada hari ini mendapat sokongan global yang kian meluas.
Kerusi Kosong, Naratif Penuh: Dunia Tinggalkan Israel
Kebiasaannya, ucapan mana-mana Perdana Menteri Israel di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) dinanti-nantikan oleh para delegasi antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana suara Israel selama ini dianggap sebagai “suara yang berani di tengah lautan keganasan”.
Namun begitu, segala-galanya berubah menjadi detik bersejarah apabila ucapan Benjamin Netanyahu di UNGA pada 23 September 2025 ditinggalkan secara beramai-ramai oleh para delegasi diplomat. Netanyahu juga dicela dan disoraki secara hina oleh beberapa delegasi.
Keadaan ini jelas menggambarkan bahawa naratif antarabangsa telah berubah. Dunia tidak lagi melihat Israel sebagai mangsa terselamat bukan pilihan (underdog survivor), sebaliknya negara haram itu tidak lari menjadi sebuah entiti yang paling rendah martabatnya di mata dunia.
Peristiwa tersebut menjadi kemenangan naratif dan moral yang besar bagi Palestin. Imej kerusi kosong lebih kuat daripada sekadar kenyataan politik, sekali gus menjadi bukti visual yang memaparkan bahawa dunia tidak lagi mahu dengar naratif “pertahanan diri” Israel.
Refleksi Sejarah dan Harapan
Jika dilihat sejarah perjuangan Palestin dari detik Nakbah pada tahun 1948, kemudian intifadah demi intifadah, Oslo yang gagal sehingga Taufan al-Aqsa 2023, dunia menyaksikan sebuah bangsa yang tidak pernah tunduk kepada penindasan, kezaliman dan penjajahan.
Setiap generasi melahirkan syuhada, tahanan dan pejuang baharu, seolah-olah bumi Palestin sendiri menjadi sebuah Madrasah al-Sumud yang mendidik umat manusia tentang makna sebenar harga diri. Solidariti dunia juga tidak pernah padam, dari suara kecil yang terpinggir dan marginal sehinggalah terbentuknya Global Sumud Flotilla yang kini menjadi simbol kebangkitan kolektif antarabangsa.
Refleksi sejarah ini menyalakan harapan baharu yang terus menyinar. Gelombang pengiktirafan negara besar terhadap Palestin membuka ruang legitimasi yang semakin luas pada pentas antarabangsa. Generasi muda sama ada yang berada di Timur dan Barat, tampil sebagai lidah kebenaran yang menembusi sempadan dan propaganda dusta rejim Zionis.
Di tengah hipokrasi kuasa besar, gerakan sivil menjadikan Palestin sebagai simbol penentangan terhadap dominasi dan ketidakadilan dunia. Harapan ini membara, seakan-akan menegaskan bahawa walaupun jalan menuju kebebasan masih panjang, dunia semakin bergerak ke arah yang benar, dan Palestin tetap menjadi mercu tanda keteguhan yang akan sentiasa mengatasi kezaliman.