Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTiada sesiapa menyangka serangan roket Briged al-Qassam pada pagi Sabtu, 7 Oktober 2023 dari Semenanjung Gaza ke arah sempadan Gaza–Israel akhirnya menjadi titik tolak kepada anjakan paradigma dalam kalangan majoriti penduduk dunia pada hari ini terhadap isu Palestin.
Sejak peristiwa Nakbah pada 15 Mei 1948 sehingga berlakunya ratusan, bahkan mungkin ribuan konflik di bumi Palestin yang terus terjajah, masyarakat dunia umumnya hanya menggelarkan pergolakan ini sebagai Konflik Arab–Israel.
Terma ini jelas menunjukkan bahawa konflik tersebut dilihat dalam skop yang sempit, seolah-olah senario berkenaan hanya melibatkan dua bangsa atau dua buah negara yang berbeza. Lantaran itu, perhatian masyarakat dunia terhadapnya turut menjadi terbatas, yang melibatkan bangsa Arab atau umat Islam semata-mata.
Apatah lagi pada era kemuncak perjuangan pembebasan Palestin yang dipelopori oleh kumpulan Fatah dan Barisan Rakyat untuk Pembebasan Palestin (PFLP) dari tahun 1970-an hingga tahun 1980-an, pelbagai gelaran seperti pengganas, pemberontak, serta label dan naratif buruk lain sering dilemparkan kepada mereka.
Naratif sebegini ternyata membentuk persepsi negatif dalam kalangan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan tersebut. Namun begitu, kita melihat semua keadaan ini berubah secara dramatik selepas tercetusnya Operasi Taufan al-Aqsa.
Solidariti Global
Pascaperistiwa 7 Oktober 2023, dunia menyaksikan gelombang perubahan dan anjakan paradigma yang berlaku dengan begitu pesat. Tanpa menunggu masa yang lama, rakyat di kota London tampil menggerakkan himpunan solidariti pada 21 Oktober 2023 yang berjaya mengumpulkan kira-kira 100 000 orang peserta. Gerakan yang berakar umbi daripada suara rakyat ini kemudiannya tersebar ke pelbagai negara lain seperti Perancis, Amerika Syarikat (AS), Australia dan beberapa kota utama di seluruh dunia.
Gerakan solidariti Palestin benar-benar mencapai kemuncaknya tatkala mahasiswa di lebih 100 buah universiti di AS dan Eropah bangkit melakukan gerakan perkhemahan protes (protest camp) di kawasan kampus masing-masing. Fenomena ini mengingatkan kita akan sejarah gerakan mahasiswa di AS yang pernah memainkan peranan besar bagi menamatkan Perang Vietnam pada tahun 1975.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa konflik selama puluhan tahun yang dahulunya dianggap sekadar pertikaian antara bangsa Arab dengan Yahudi kini berubah menjadi perlawanan antara kemanusiaan dengan kezaliman.
Naratif Rakyat dan Media Sosial
Peralihan naratif sedang berlaku dalam kalangan rakyat jelata di seluruh pelosok dunia ketika ini. Meskipun terdapat kerajaan yang masih mengekalkan pendirian untuk menyokong rejim Israel, keadaan tersebut tidak mencerminkan suara sebenar majoriti rakyat mereka.
Kita seharusnya mengetahui bahawa tokoh terkemuka dalam bidang jurnalis dan kewartawanan seperti Candance Owens, Tucker Carlson dan Ta-Nehisi Coates turut mengubah naratif mereka setelah menyaksikan kekejaman berterusan oleh Israel yang meragut lebih daripada 65 000 nyawa rakyat Palestin.
Bermula dengan tokoh utama yang berpengaruh seperti mereka, gelombang kesedaran itu akhirnya berubah menjadi ombak yang menderu dan menjadi siulan rakyat kebanyakan di jalanan, pentas lakonan, kaca televisyen, audio siar, serta platform media sosial; mereka semua melaungkan naratif Palestin dengan penuh keyakinan.
Seakan-akan naratif Palestin pada hari ini menjadi suara yang paling absah. Sesiapa yang cuba menentangnya pasti akan menjadi buntu dan tersungkur akibat daripada kelemahan pasak kezaliman rejim Zionis yang kian terdedah hari demi hari.
Kesan terhadap Israel dan Sekutunya
Selama berdekad-dekad, Israel sering kali mengatakan bahawa pasukan tenteranya paling bermoral di dunia dan kononnya berusaha untuk menghapuskan entiti pengganas yang bertapak di Gaza.
Di sebalik alasan dusta ini, mereka memusnahkan hampir semua prasarana di ‘penjara terbesar’ itu sehingga kebanyakan kawasannya kini ranap menjadi runtuhan. Anak kecil, warga tua dan wanita dibunuh tanpa belas kasihan.
Pada akhirnya, laungan kosong mereka yang selama ini dipertontonkan kepada dunia terbuka pekungnya. Dunia Barat kini hilang kepercayaan terhadap naratif Israel yang penuh kepalsuan.
Kesannya amat luar biasa rentetan daripada kebangkitan kesedaran ini. Tentera Israel yang bercuti di negara Eropah dimalukan dan dihalang daripada memasuki premis perniagaan di Itali dan Sepanyol. Dalam arena sukan pula, para atlet dari pelbagai negara enggan berjabat tangan, malah menolak untuk bertanding dengan atlet Israel sebagai tanda boikot dan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Yang terkini, beberapa sekutu kuat Israel seperti United Kingdom, Perancis, Kanada dan Australia menyatakan kesediaan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat. Perkembangan ini lantas mengubah lanskap diplomasi antarabangsa, meletakkan Palestin sebagai subjek sah dalam politik global, bukan lagi entiti pelarian.
Bersambung …