Diterbitkan pada 3 Oktober 2025, 11:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa seluruh dunia kini menumpukan perhatian terhadap perkembangan di Gaza, khususnya berhubung dengan tindakan pihak Zionis menahan sukarelawan kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Palestin.

Baginda menegaskan tidak wajar sama sekali bagi sukarelawan yang menghulurkan bantuan kemanusiaan ditahan dan dihalang daripada melaksanakan misi mereka.

“Lebih mendukacitakan lagi sekiranya mereka diperlakukan dengan cara yang tidak sewajarnya, kerana tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip hak asasi manusia,” ujar baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Persidangan Bilangan 5/2025 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) semalam bagi membincangkan perkembangan terkini yang melibatkan para Sukarelawan Global Sumud Flotilla di persempadanan Gaza, Palestin.

Titah baginda, sejak 8 April 2025, seluruh masjid di Perlis telah melaksanakan bacaan Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti dan doa untuk rakyat Palestin.

“Sayugia MAIPs menyeru agar umat Islam, khususnya rakyat Perlis, terus memperteguh doa, memperbanyak amal soleh, serta bersatu hati dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas,” tegas baginda.

Pada masa yang sama, MAIPs juga menyeru seluruh dunia tanpa mengira bangsa, agama dan negara agar berusaha sedaya upaya memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat.

Seruan ini dibuat bagi memastikan tiada sekatan atau penindasan dalam misi kemanusiaan demi menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan rakyat Palestin.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan kemenangan kepada umat Islam di Palestin, serta melindungi para sukarelawan yang berjuang demi kemanusiaan,” titah baginda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi