Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDari sudut bahasa, sumud membawa maksud keteguhan, ketabahan dan ketahanan. Dalam konteks yang berlaku di negara Palestin pada ketika ini pula, sumud merujuk falsafah dan strategi rakyat Palestin untuk mengekalkan kehadiran mereka di tanah air sendiri bagi meneruskan kehidupan harian dan budaya mereka walaupun menghadapi pendudukan, tekanan dan kekerasan terutamanya daripada pihak Israel dan sekutunya.
Bagi menyahut seruan untuk membantu rakyat Palestin yang kebanyakan kini bergelut dengan kelaparan dan kebuluran, terdapat beberapa organisasi dan pertubuhan yang mengambil langkah drastik dengan menyelaraskan konvoi rakyat yang diasaskan oleh Malaysia dengan pelibatan beberapa buah negara lain di zon Asia Tenggara termasuklah Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand. Langkah ini bertujuan mengadaptasi konsep ketabahan (sumud) rakyat Palestin dan menterjemahkan solidariti Asia Selatan dan Asia Tenggara, khususnya dalam usaha memecahkan sekatan di Gaza.
Bukan itu sahaja, terdapat negara di seluruh dunia termasuklah negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam menyahut seruan misi ini sehinggalah terhasilnya suatu gerakan yang dinamakan Global Sumud Flotilla (GSF) yang melibatkan lebih daripada 600 orang sukarelawan dari 45 buah negara di seluruh dunia. Misi mereka adalah untuk menjejakkan kaki di bumi Gaza demi menghantar bantuan kemanusiaan dengan selamat.
Ketika makalah ini ditulis, kumpulan GSF berada pada kedudukan 400 batu nautika yang memisahkan armada flotila dengan pantai Gaza, Palestin. Kapal yang terlibat dengan misi bantuan GSF pada ketika ini dijangka akan melintasi zon kuning, kawasan yang penuh dengan risiko, ujian dan cabaran sebelum memasuki kawasan zon merah yang lebih mencabar. Ada yang masih meneruskan perjalanan dari awal, tidak terkecuali ada yang sebaliknya dan pulang semula ke negara asal.
Misi pada kali ini dianggap lebih mencabar kerana sebanyak 42 buah kapal dari seluruh dunia belayar tanpa perlindungan lagi oleh kapal pengiring dari Itali dan Sepanyol. Mereka kini hanya bergerak bersama, bertawakal sepenuhnya pada Allah SWT dan bergantung pada doa kita semua.
Zon kuning ini sudah cukup berbahaya kerana kemungkinan diserang atau ditawan oleh komando elit musuh sangat tinggi. Selepas itu, menanti pula zon merah, iaitu lautan terakhir sebelum kumpulan GSF tiba di Gaza. Zon ini jauh lebih mencabar kerana sejarah membuktikan bahawa banyak misi bantuan melalui laut disekat dan ditahan, bahkan diserang di kawasan itu.
Di zon ini juga, kesemua kapal misi mula dikesan oleh radar sistem pertahanan Israel dan kebanyakan dron peninjau berlegar di udara bagi mendapatkan maklumat terkini tentang operasi GSF. Suara amaran kedengaran di radio dengan nada yang penuh angkuh seolah-olah lautan yang terbentang luas tersebut adalah hak mutlak mereka.
Zon tersebut juga pernah menjadi saksi Women’s Boat to Gaza pada tahun 2016 telah dipintas dari awal sehingga tidak dapat menyempurnakan misi mereka bagi menghantar bantuan ke Palestin. Namun begitu, yang lebih mendebarkan kita adalah untuk menyaksikan kapal yang akan bergerak ke zon merah nanti, iaitu sekitar jarak 100 batu nautika dari Gaza yang diibaratkan sebagai kemuncak kepada cabaran misi GSF pada kali ini.
Sejarah lalu mencatatkan beberapa peristiwa, antaranya termasuklah misi Mavi Marmara yang telah diserang oleh pasukan komando Israel pada tahun 2010 sehingga menyebabkan sebanyak 10 orang aktivis gugur sebagai syuhada dan ratusan yang lain cedera parah. Selain itu, MV Rashel Corrie juga pada tahun yang sama menyebabkan peralatan misi mereka dirampas dengan kejam dan ada aktivis yang ditahan seterusnya dihantar pulang ke negara asal. Tidak terkecuali misi Madleen pada tahun 2023 yang juga dihalang dan seterusnya dibawa menuju ke pelabuhan Israel.
Menariknya mengenai misi GSF pada kali ini, mereka memiliki sistem perhubungan yang lebih tersusun antara satu dengan lain walaupun peserta daripada latar belakang negara, agama dan bangsa yang berbeza-beza.
Matlamat mereka cuma satu, iaitu ingin menyantuni rakyat Palestin yang ketika ini dalam kebuluran dan kesusahan melampau.
Kebanyakan kapal yang terlibat dengan misi ini membawa sejumlah ubatan, makanan dan minuman yang berkhasiat untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang dalam kesusahan.
Penulis sendiri begitu kagum dengan sukarelawan yang menyertai misi GSF pada kali ini dari seluruh dunia. Ada daripada kalangan mereka merupakan pakar perubatan, namun sanggut mengambil cuti tanpa gaji dan bersedia untuk dibuang kerja sekiranya tidak diberikan pelepasan oleh majikannya bagi menyertai misi GSF.
Walaupun rakyat Palestin merupakan penganut Islam, namun hal tersebut tidak menghalang mereka untuk mengambil risiko yang besar kerana isu yang berlaku di Palestin kini merupakan isu kemanusiaan yang serius sehingga ada bayi yang baharu lahir meninggal dunia akibat tiada sumber makanan dan minuman untuk meneruskan kehidupan.
Tidak terkecuali, sebanyak 34 orang sukarelawan dari Malaysia turut dinanti-nantikan kehadirannya, tidak kira pagi, petang mahupun lewat malam. Masyarakat di tanah air juga sentiasa mengikuti perkembangan mereka melalui media sosial. Antaranya termasuklah pempengaruh terkenal, Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA, yang memberikan liputan terkini keadaan sukarelawan di sana.
Penulis juga tertarik akan perkongsian yang dilakukan oleh Tuan Norazman Ishak yang juga merupakan seorang daripada anggota misi GSF mengenai pengorbanan anggota misi yang terlibat, termasuklah terpaksa mencatu bekalan makanan bagi memudahkan perjalanan sampai ke destinasi yang ingin dituju kerana di situ terletaknya 2.3 juta jiwa yang sedang terkepung serta dinafikan hak kemanusiaan mereka.
Nama ahli misi GSF yang lain seperti Danish Nazran, Ustaz Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau PU Rahmat, Ustaz Muhammad, Hareez (Haroqs) Haikal, Nur Ilham Fansuri, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzzaman dan Abdul Rahim Azhari antara watak orang muda dari negara kita yang tampil berani dengan satu hasrat sama, iaitu untuk memecahkan kepungan Israel di Gaza. Hal ini membuktikan soladariti masyarakat kita terutamanya generasi muda yang begitu cakna akan saudara kita di Palestin yang di sana terletaknya kiblat pertama umat Islam dan lokasi persinggahan Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj.