Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 18 September 2025, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar berucap mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab–Islam pada Isnin, 15 September 2025 di Doha, Qatar. Yang berikut diperturunkan teks ucapan penuh kenyataan negara yang disampaikan oleh beliau.


Yang Amat Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Amir Negara Qatar;
Duli-Duli Yang Maha Mulia, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Terutama,

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas kota Doha. Mengebom ibu kota sebuah negara berdaulat ialah tindakan rakus, biadab, dan tidak dapat dipertahankan sama sekali. Tindakan tersebut merupakan pencabulan terhadap kedaulatan Qatar, pelanggaran undang-undang antarabangsa, serta provokasi berbahaya yang menggugat keselamatan rantau.

Betapa parahnya jenayah ini dan pencabulan seumpamanya lantas meningkat saat kita mulai sedar akan peranan penting Qatar sebagai perantara dan perunding perdamaian. Di bawah kepemimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Qatar dengan sabar, cermat dan bijaksana menggerakkan usaha dialog ke arah perdamaian. Serangan ini jelas bertujuan meruntuhkan iktikad dan usaha murni tersebut.

Menyerang Qatar bererti menyerang kita semua yang mendambakan keamanan dan kestabilan rantau.

Serangan ke atas kota Doha merupakan serangan terancang yang tidak mengenal sempadan demi memenuhi kerakusan Zionis Israel.

Sementara itu, Gaza terus hancur di hadapan mata kita. Rakyatnya ditindas tanpa belas, keluarga musnah, hospital dibedil, anak-anak kecil dikorbankan. Di Tebing Barat, dasar aparteid yang merampas tanah rakyat Palestin tidak pernah terhenti. Kekejaman ini kini meluas ke Lubnan dan Syria, ke Yaman dan Iraq, bahkan sehingga Iran. Corak kezalimannya jelas, yakni menolak sebarang asas peradaban dan menghina tatacara dunia (world order).

Israel telah mengisytiharkan bahawa negara Palestin tidak akan pernah wujud. Maka itu, benar telahan kita bahawa mereka berhasrat untuk mengekalkan sikap bengis, meneruskan aparteid dan menolak sebarang campur tangan dan usaha ke arah penyelesaian secara damai. Hal ini merupakan penolakan yang nyata terhadap setiap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan penafian hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib dan masa depan mereka sendiri.

Rakyat kita sudah jemu dengan retorik semata-mata. Mereka telah menyaksikan kecaman demi kecaman dan kenyataan demi kenyataan, sedangkan Israel semakin menggila setiap saat. Generasi akan datang akan mempersoalkan tindakan kita pada hari ini, dan apakah kita mempunyai keberanian untuk bertindak?

Duli-Duli Yang Maha Mulia, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Terutama,

Negara yang mempunyai hubungan khusus dengan Amerika Syarikat menanggung amanah yang lebih besar. Ketika Amerika Syarikat mengajak untuk berdialog dengan Iran, Israel menjawab dengan bom. Ketika Washington menggalakkan usaha perdamaian dengan Hamas, Israel melancarkan serangan ke atas Doha.

Hari ini, sewaktu kita berhimpun, sebuah flotila sedang belayar menuju Gaza. Pelayaran tersebut tidak membawa senjata, tetapi membawa harapan untuk rakyat yang dikepung. Pelayaran tersebut ialah misi kemanusiaan. Kita wajib memastikan misi ini tiba ke destinasinya.

Jika sekali lagi dihalang dengan kekerasan, maka kita telah mengkhianati amanah dan hati nurani kita, iaitu untuk mempertahankan mereka yang lemah, melindungi yang tertindas, dan memberi makan kepada yang lapar.

Kecaman semata-mata tidak akan menghentikan peluru berpandu yang bertali arus membedil. Kenyataan sahaja tidak akan membebaskan Palestin. Oleh itu, tindakan tegas mesti diambil, hubungan diplomatik dengan Israel perlu dihentikan, perdagangan mesti digantung, dan hukuman seadilnya mesti ditegakkan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita keberanian untuk bertindak dan kekuatan untuk terus bertahan demi masa depan keamanan dan kemanusiaan sejagat.


Demikian kenyataan negara oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Semoga ucapan beliau menjadi titik tolak kepada tindakan yang lebih berkesan, seterusnya membuahkan hasil demi keamanan manusia sejagat.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi