Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bertawakallah kepada Allah yang hidup abadi serta tidak mati. Dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui secara mendalam dosa-dosa hamba-Nya.”
(Surah al-Furqan 25:58)
Imam al-Ghazali dalam karyanya, Ihya’ Ulum al-Din mentakrifkan tawakal sebagai kebergantungan hati insani semata-mata kepada Allah SWT, meyakini sepenuhnya bahawa kejayaan sesuatu usaha dan ikhtiar hanya dicapai dengan izin Allah SWT.
Tawakal dan berserah diri kepada Allah SWT dalam setiap usaha dan ikhtiar merupakan satu kewajipan seorang mukmin selaras dengan ayat 58 Surah al-Furqan. Sifat tawakal berkaitan rapat dengan rukun iman keenam, iaitu beriman kepada qadak dan qadar. Imam al-Ghazali menggariskan kesempurnaan tawakal terdiri daripada tiga rukun seperti yang berikut:
Pertama: Meyakini bahawa Allah SWT merupakan Tuhan yang Maha Menentukan segalanya.
Kedua: Orang yang bertawakal tidak berserah melainkan kepada Allah SWT.
Ketiga: Tawakal hendaklah disertai dengan beramal, berusaha dan berikhtiar.
Kisah para rasul dan salafussoleh sarat dengan nilai tawakal. Sewaktu Rasulullah SAW bersembunyi bersama-sama dengan Sayidina Abu Bakar r.a. di dalam Gua Thur tatkala berhijrah ke Madinah, Baginda bertawakal kepada Allah SWT terhadap keselamatan dirinya. Ibu Nabi Musa a.s. bertawakal sepenuh keyakinan kepada Allah SWT ketika menghanyutkan anaknya di Sungai Nil; begitu juga tawakal Nabi Ibrahim a.s. saat dibakar oleh Namrud; dan tawakal Nabi Musa a.s. untuk menyeberangi Laut Merah bersama-sama dengan pengikut baginda sewaktu dikejar oleh Firaun.
Terbukti Allah SWT mengurniakan pertolongan kepada mereka yang bertawakal kepada-Nya. Terkini, tawakal diperlihatkan oleh sekumpulan pemuda Mesir mengalirkan botol-botol berisi makanan ke laut dengan niat mahu membantu penduduk Gaza melalui program “Dari Laut ke Laut – Sebotol Harapan untuk Gaza” amat menginsafkan dan menjentik perasaan ummah yang menjiwai nilai kemanusiaan.
Selain itu, sifat tawakal turut memiliki keutamaan dan kelebihan tersendiri, antaranya termasuklah:
Pertama: Allah SWT mencintai hamba yang sentiasa bertawakal dan berserah diri kepada-Nya sebagaimana dalam firman-Nya:

Maksudnya: “… kemudian, apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”
(Surah Ali ‘Imran 3:159)
Kedua: Tawakal menatijahkan rezeki dan keperluan yang mencukupi untuk kehidupan seorang mukmin. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Talaq 65:3)
Ketiga: Sifat tawakal mendidik mukmin agar bersedia menerima ketentuan takdir Ilahi. Sesuatu yang menjadi sunnatullah untuk umat Islam berusaha dan berikhtiar, di samping berdoa, bersolat hajat, beristikharah, bermusyawarah, memohon restu, seterusnya berserah dan bertawakal kepada Allah SWT.
Seandainya hasrat yang diimpikan tercapai, maka segeralah bersyukur kepada-Nya. Jika sebaliknya yang berlaku, maka reda dan pasrahlah kepada takdir dan ketentuan Ilahi dengan keyakinan bahawa pasti ada hikmah dan kebaikan yang Allah SWT lebih mengetahui. Sikap demikian menatijahkan ketenangan dan kekuatan dalam diri insan ketika menghadapi ujian kehidupan.
Keempat: Tawakal mengukuhkan kesabaran seorang mukmin yang reda dan pasrah kepada ketentuan Ilahi; penawar mujarab merawat kegagalan, kekalahan, kesedihan, tekanan perasaan dan kemurungan.
Sebahagian daripada umat Islam juga terkhilaf memahami konsep tawakal yang hanya bertawakal dan berserah diri tanpa berusaha dan berikhtiar. Sebagai contoh, perbuatan membaca doa ketika menaiki kenderaan tetapi tidak memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar, atau memandu kenderaan melebihi had laju dengan alasan sudah bertawakal.
Pesakit yang hanya berserah kepada Allah SWT, berdoa mohon disembuhkan daripada penyakit, tetapi tidak mahu berubat, tidak mengawal pengambilan makanan, tidak beriadah dan tidak berehat secukupnya. Sikap berserah kepada Tuhan semata-mata tanpa dilengkapi usaha dan ikhtiar merupakan kefahaman yang bertentangan dengan konsep tawakal yang sebenar.
Tawakal menuntut mukmin agar berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu impian dan cita-cita, sama ada duniawi mahupun ukhrawi. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang tidak menambat tunggangannya kerana semata-mata bertawakal kepada Allah SWT. Sabda Baginda SAW:

Maksudnya: “… tambatlah ia (unta itu) dan selepas itu kamu bertawakal.”
(Hadis riwayat Ibn Hibban)
Berbekalkan akal dan kebijaksanaan berfikir dengan panduan syariat daripada Ilahi, hal yang perlu difahami bahawa hukum sebab musabab atau sunnatullah menjadi pedoman kepada manusia berusaha dan berikhtiar. Orang yang berusaha bersungguh-sungguh insya-Allah akan dikurniakan pertolongan, kejayaan dan kemenangan.
Seorang bapa wajib keluar mencari rezeki untuk menafkahi keluarganya. Seorang ibu wajib mendidik anak-anak dengan ilmu dan iman untuk menjadikan mereka insan soleh. Seorang guru hendaklah sabar, tekun, bersungguh dan ikhlas mengilmukan muridnya. Seorang pelajar wajib bersungguh-sungguh menelaah dan mengulang kaji pelajaran untuk berjaya. Seorang peniaga hendaklah bijak dan arif menguruskan perniagaannya demi memperoleh keuntungan. Seorang pemimpin wajib jujur dan ikhlas berusaha mencari penyelesaian terbaik terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
Sehubungan dengan itu, umat Islam sewajarnya menghayati tiga perkara utama berikut agar nilai tawakal menjadi sumber kekuatan rohani dalam kehidupan:
Pertama: Ummah yang bertawakal kepada Allah SWT setelah berusaha, berikhtiar dan berdoa ialah ummah terpuji yang dikurniakan ganjaran pahala serta kebaikan di dunia dan akhirat.
Kedua: Usaha yang disertakan dengan tawakal menjadikannya hampir kepada kejayaan dan memperoleh pertolongan Ilahi, menjemput keberkatan dalam kehidupan, membuktikan pergantungan dan perdampingan dengan Allah SWT, selain menatijahkan ketenangan dan ketenteraman dalam jiwa insani.
Ketiga: Masalah seperti kemurungan, kurang keyakinan, kecewa, berputus asa dan sebagainya boleh ditangani dengan kefahaman dan penghayatan yang betul terhadap sifat tawakal. Sifat tawakal menjadi penawar tatkala ummah berhadapan dengan kegagalan, kekecewaan dan saat kesedihan, iaitu Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan orang yang bertawakal.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 19 September 2025, bertajuk “Kelebihan Tawakal”)